12
Sel, Dis
884 ARTIKEL BARU

Oktober Fest Bertentangan Dengan Hasrat TN50 Yang Sedang Digubal

Editorial
Typography

CADANGAN untuk menganjur Pesta Arak ‘ Better Beer Festival 2017 oleh kerajaan negeri Selangor yang kini dirujuk sebagai “October Fest” menimbulkan kerisauan di kalangan masyarakat bukan Islam terutamanya di kalangan masyarakat India. PAS serta Pertubuhan Agama Hindu telah terang-terangan mengecam kerajaan Selangor atas cadangan menganjurkan temasya ini kerana ianya bertentangan dengan bukan sahaja ajaran Islam yang merupakan agama rasmi Persekutuan, malah lain-lain agama yang menjadi anutan warga Malaysia. Sehingga kini lebih dua puluh lima Badan Bukan Kerajaan (NGO) telah menghantar memorandum kepada pejabat Sultan Selangor supaya campur tangan membatalkan acara tersebut. Namun, hasrat Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohd. Azmin Ali, untuk meneruskan pesta arak tersebut, kononnya menghormati kaum bukan Islam jelas kelihatan bertentangan dengan hasrat Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor untuk memelihara kedaulatan agama Islam pada setiap masa di Selangor.

Pada masa yang sama, ahli Parlimen Kawasan Seputeh merangkap Ahli EXCO Kanan Negeri Selangor, daripada parti DAP, Teresa Kok Suh Sim, mengelirukan warga bukan Islam dengan kenyataan bahawa larangan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk mengadakan pesta arak itu adalah merupakan satu langkah tidak menghormati malah mencabuli hak asasi kaum Cina dan India, sedangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak baru-baru ini menyatakan kerajaan akan terus memelihara hak kaum Cina dan India dalam negara ini. Apakah Teresa Kok tidak faham kerajaan BN tidak pernah halang warga bukan Islam minum minuman keras atau alkohol di tempat persendirian atau ‘private place’ seperti di rumah dan pub dan sebagainya. Tidak pernahkah beliau melihat kaum bukan Islam minum minuman keras di kedai-kedai kopi, bar dan restoran di Kelantan, negeri yang dikuasai PAS?

Selain itu, Teresa Kok juga dilapor mengatakan bahawa pesta ‘ Better Beer Festival 2017’ diadakan untuk menarik pelancong ke Malaysia. Malaysia menjadi destinasi pelancong asing kerana Malaysia merupakan sebuah negara yang berjaya mengurus kepelbagaian dalam menjamin rakyat berbilang kaum hidup aman dan damai. Jadi, pengurusan kepelbagaian masyarakat majmuk menjadi tarikan pelancong dan bukan penjualan beraneka jenis arak yang memenuhi cita rasa pelancong seperti didakwa oleh Teresa Kok.

Dalam pada itu, pihak penganjur pesta arak perlu memahami minuman arak bukan sahaja dilarang dalam agama Islam bahkan agama-agama lain yang menjadi anutan warga bukan Melayu, seperti agama Hindu, Budhha, Sikh malah ajaran Tao juga melarang penganutnya minum arak. Sebagai contoh, sebuah kitab suci masyarakat Tamil, Thirukural, yang menjadi panduan dan pedoman hidup kepada kaum Tamil sejak 2000 tahun dahulu, pernah menganjurkan budaya dan nilai-nilai menolak minuman arak. Antara ayatnya yang berbunyi ‘ One who is asleep is no different from the dead, one who consume alcohol forever consumes poison’ jelas menunjukkan amalan minum arak adalah ditolak sama sekali kerana minum arak adalah bersamaan dengan meminum racun.

Agama Buddha juga melarang minum arak seperti tertera dalam ‘The Fifth Precept of Buddhism’ yang berbunyi, “saya bersetuju untuk menghindarkan diri saya dari alkohol dan arak, yang akan menyebabkan saya hilang kawalan dir”.  Begitu juga, fahaman Taoism tidak menggalakkan penganutnya minum arak kerana amalan minum arak dipercayai memendekkan hayat seseorang. Agama Sikh juga melarang minum arak kerana minuman arak adalah antara lima larangan asas yang dituntut dalam agama Sikh.

Dengan itu, jelas bahawa Pesta Arak 2017 atau ‘Oktober Fest’ adalah bertentangan dengan tuntutan agama warga bukan Islam. Selain itu ia turut bertentangan dengan hasrat murni kepimpinan negara, iaitu Pelan Transformasi Nasional (TN50). Pelan TN50 yang sedang digubal bermatlamat membina sebuah bangsa Malaysia `berteraskan pembangunan holistik’, iaitu bukan semata-mata membina bangunan pencakar langit, pengangkutan laju dan moden, tetapi adalah memelihara dan menyuburkan budaya dan nilai hidup tinggi di kalangan warga Malaysia.

Dengan itu, taktik DAP mempolitikkan larangan kerajaan menganjurkan pesta arak bukan sahaja dilihat sebagai menghina warga bukan Islam, malah dijangka akan mengundang tabiat hedonisme di kalangan warga muda pada masa akan datang.

 

Oleh: DATUK M.PERIASAMY

Penulis ialah Felo JASA, Jabatan Hal Ehwal Khas, Kementerian Komunikasi dan Multimedia. Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan KLXpress.