12
Sel, Dis
884 ARTIKEL BARU

Mahathir Tidak Pedulikan Sabah & Sarawak

Editorial
Typography

Seorang pemimpin pembangkang telah mendedahkan sikap Tun Dr Mahathir Mohamad yang tidak pedulikan Sabah dan Sarawak semasa beliau menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun.

Ketika itu, beliau mengingatkan Dr Mahathir bahawa Sabah amat memerlukan perumahan, pendidikan, prasarana dan banyak lagi manakala rakyat Sabah mahu dilayan sama rata dengan rakyat di Malaysia Barat.

Malangnya, Dr Mahathir akan menepis komen beliau walaupun mengakui kebimbangan ahli politik itu mengenai Sabah.

Sikap bekas Perdana Menteri ini didedahkan oleh Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah Datuk Seri Lajim Ukin.

FMT melaporkan kenyataan Lajim Ukin yang berkata beliau sentiasa menghormati Dr Mahathir sebagai pemimpin negara tetapi bekas perdana menteri itu tidak pedulikan Sabah dan Sarawak.

“Kalau dia selalu fikirkan mengenai negeri Borneo, Sabah mungkin dalam keadaan lebih baik berbanding sekarang. Mungkin akan sama tahap dengan negeri di Semenanjung,” katanya.

Kerana itu Lajim Ukin dilaporkan akan berhati-hati menerima janji Dr Mahathir Mohamad yang akan mengkaji semula Perjanjian Malaysia 1963 jika pembangkang menang pilihan raya umum ke-14.

“Saya harap bila pembangkang menang, beliau akan ingat janji itu dan menebus maruahnya selepas berdekad pelanggaran terhadap Sabah dan Sarawak semasa pentadbirannya,” katanya seperti yang dilaporkan FMT.

Semua tahu bahawa Mahathir telah diberikan masa yang amat panjang untuk membangunkan Sabah dan Sarawak. 22 tahun memerintah tetapi Sabah dan Sarawak diketepikan dan kini bukan masa beliau lagi.

Sebaliknya, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak terbukti tidak lupa kepada Sabah dan Sarawak.

Sejak Najib Razak mengambil alih tampuk pentadbiran negara, peruntukan yang besar telah diluluskan saban tahun untuk Sabah dan Sarawak khususnya bagi pelbagai program rakyat seperti menyediakan bekalan air dan elektrik agar rakyat yang hidup di kawasan luar bandar dan pedalaman dapat menikmati kemudahan asas ini, geran perladangan komoditi sawit dan getah agar rakyat dapat berdikari dan mempunyai sumber pendapatan yang stabil.

Lebuhraya Pan Borneo sepanjang 2,300 kilometer dari Semantan, Sarawak ke Serudong, Sabah bakal memberi manfaat yang besar buat rakyat di pedalaman Sabah dan Sarawak.  Projek ini pasti akan membawa pertumbuhan ekonomi yang pesat di Sabah dan Sarawak.

Dan lebuhraya Pan Borneo ini tiada tol.

Projek Perumahan Rakyat (PPR) juga dilaksanakan di Sabah. Projek-projek yang menjana ekonomi negeri juga dirancang seperti projek Ammonia Urea Sabah (Samur) di Sipitang, Lahad Datu Palm Oil Industrial Cluster (POIC) dan Terminal Minyak dan Gas Sabah (SOGT) di Kimanis.

Selain daripada itu, Bajet  turut menekankan keperluan lain di Sabah dan Sarawak seperti keseragaman harga barangan, pengangkutan penumpang udara domestik kelas ekonomi bagi laluan Rural Air Services yang dikecualikan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dan perkhidmatan Klinik Bergerak 1Malaysia di pedalaman.

Pada 16 September 2013, Najib Razak berkata sejak tahun 2010, kerajaan memperuntukkan RM2 bilion bagi melaksanakan sejumlah 79 projek pembangunan infrastruktur asas luar bandar di Sabah dan Sarawak. RM207 juta telah diperuntukkan dalam Koridor Pembangunan Sabah bagi melaksana beberapa projek infrastruktur dan pertanian, tambahnya lagi.

Pada tahun 2017, 25 peratus daripada RM5 bilion peruntukan bajet kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah adalah untuk Sabah.

Malah semasa kepemimpinan Najib Razak, ramai wakil dari Sabah dilantik dalam kabinet pusat. Mereka ialah Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman, Menteri Tenaga, Menteri Sanis, Teknologi dan Inovasi Datuk Madius Tangau, 2 menteri di Jabatan Perdana Menteri iaitu Datuk Seri Rahman Dahlan dan Tan Sri Joseph Kurup.

Kepimpinan Sabah ini juga merupakan suara rakyat Sabah yang sentiasa diperjuangkan oleh kerajaan Persekutuan hari ini.

Kesimpulannya, hari ini adalah masa Najib Razak untuk membangunkan negeri Sabah dan Sarawak, bukannya Mahathir dan puak pembangkang.