17
Sel, Okt
760 ARTIKEL BARU

Netizen, Rakyat `Tidak Makan’ Fitnah Pembangkang

Editorial
Typography

PEMBOHONGAN pembangkang terutama gemar memfitnah dan mengadu-domba isu yang bukan-bukan terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN) akhirnya memakan diri mereka. Meskipun suatu ketika netizen dimomokkan kononnya tidak memihak kepada kerajaan, rupa-rupanya yang kalah di gelanggang laman sosial terbukti adalah pembangkang.

Kajian firma penyelidikan media sosial, Politweet mendapati seramai 5.8 juta pengguna Facebook di Malaysia berusia 21 tahun ke atas, cenderung kepada BN.

Ia hampir seganda daripada 3.1 juta pengguna yang menyokong parti pembangkang pada Julai, menurut Politweet yang menyebut, sebanyak 3.3 juta atau 51.6 peratus daripada 6.4 juta pengguna Facebook berusia 21 tahun ke atas, berminat dengan BN.

Sebanyak 600,000 pengguna atau 9.4 peratus pula secara khususnya menyokong parti pembangkang.

Kira-kira 2.5 juta pengguna atau 39.1 peratus menyatakan sokongan bercampur antara pembangkang dan BN.

Julai lalu, UMNO mendapat sokongan tertinggi iaitu 4.4 juta pengguna atau 68.8 peratus daripada 6.4 juta pengguna di negara ini.

Ia diikuti PKR dengan 1.8 juta pengguna (28.1 peratus), DAP dengan 1.3 juta (20.3 peratus), PAS dengan 950,000 pengguna (14.8 peratus).

MCA pula mencatat 740,000 pengguna (11.6 peratus), Gerakan dengan 150,000 pengguna (2.34 peratus) dan terakhir MIC dengan 81,000 pengguna (1.3 peratus).

Daripada jumlah 6.4 juta pengguna, 56.3 peratus adalah lelaki, selebihnya perempuan.

Golongan netizen semakin sedar propaganda dan pembohongan pembangkang.

Bagaimana mungkin sebuah negara dan ekonomi yang dituduh gagal dan bankrap mampu membina dan merealisasikan projek mega contohnya seperti Transit Aliran Massa atau dikenali sebagai MRT? Demikian juga dengan projek ikonik Rangkaian Rel Pantai Timur (ECRL) yang disempurnakan pelancarannya oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Stesen Utama KotaSAS di Kuantan, Pahang sebelum ini.

MRT adalah sebuah projek amat besar dengan teknologi amat moden dan maju. Tidak mungkin termampu dibina oleh negara yang kononnya akan bankrap tidak lama lagi.

Projek ini meskipun menelan belanja berbilion ringgit tetapi adalah projek tepat yang akan mengubah landskap Kuala Lumpur dan Malaysia.

Sebelum itu kehadiran Perdana Menteri di Kuantan dengan sendirinya menggambarkan kepenti­ngan Projek ECRL terhadap pembangunan negara membabitkan laluan rel kereta api sepanjang 600.3 kilometer merentasi sebahagian Selangor, Pahang, Terengganu dan Kelantan.

Projek mega bernilai kira-kira RM55 bilion yang dijangka siap pada 2024 itu adalah pengangkutan awam penumpang dan kargo yang berupaya memendekkan perjalanan dari Tumpat, Kelantan ke Gombak, Selangor kepada hanya lima jam. Ini sekali gus dapat meningkatkan pertumbuhan ekonomi sehingga 1.5 peratus bagi negeri di Pantai Timur, sete­rusnya menawarkan banyak pe­luang pekerjaan kepada penduduk tempatan.

Dua projek besar ini adalah jawapan kepada tohmahan-toh­mahan yang menghina negara. Selama ini pemimpin DAP, Lim Kit Siang sering mendakwa Malaysia sedang menuju ke arah negara yang gagal.

Hakikatnya, ekonomi negara tetap berkembang pada kadar lebih 4 peratus pada separuh pertama tahun ini dan tidak pula tersungkur ke tahap negatif seperti 1998. Malangnya, ada kelompok telah menyebarkan fitnah mengatakan kemerosotan ekonomi negara disebabkan faktor politik semata-mata. Walhal, kerajaan sedia ada yang berjaya mempertahankan pertumbuhan ekonomi negara.

Rakyat termasuk golongan netizen yang sebahagian besarnya orang muda  tidak akan mudah terpedaya dengan fitnah dilemparkan pembangkang.

Politweet membuktikan kebenaran itu.