24
Jum, Nov
946 ARTIKEL BARU

Bajet Negeri Dihentam Menunjuk-nunjuk

Editorial
Typography

Pembentangan Bajet negeri telah dihujani dengan pelbagai persoalan yang menjurus kepada ketidakmampuan puak pembangkang untuk mentadbir negeri.

Nampak sangat Kerajaan negeri cuba ingin ‘lebih baik’ daripada Kerajaan BN Persekutuan sehinggakan perkara penting yang melibatkan masaalah rakyat negeri tidak diutamakan.

Malah, ianya mengesahkan lagi bahawa DAP itu ialah Developers Action Party yang mengutamakan pemaju-pemaju.

Yang paling jelas ialah taktik kerajaan DAP di Pulau Pinang yang sengaja membentangkan bajet yang dibuat secara berlebih-lebih untuk menunjukkan keberkesanan pengurusan kewangan.

Datuk Jahara Hamid, ADUN Teluk Air Tawar, berkata, tindakan Kerajaan DAP Pulau Pinang membentangkan bajet defisit seolah-olah untuk menunjukkan kononnya kerajaan negeri berjimat-cermat sedangkan tindakan tersebut hanya memanipulasi angka.

“Selama hampir 10 tahun DAP memerintah negeri ini, belanjawan mereka akan dinaikkan supaya terdapat lebihan pada akhir tahun dan kononnya nanti ada penjimatan,” katanya.

Untuk rekod, Bajet 2018 Kerajaan DAP Pulau Pinang adalah bajet deficit ketujuh berturut-turut dengan anggaran RM748.5 juta.

Lebih nampak tidak ikhlas dan cuba untuk tunjuk hebat, kerajaan DAP dikritik kerana ‘pemberian bonus kepada penjawat awam negeri yang akan diberikan hujung tahun 2017.

“Ini pertama kali saya dengar peruntukan untuk tahun hadapan diberikan tahun ini, adakah kerajaan negeri sengaja mahu memperlekehkan Kerajaan Pusat dan seolah-olah mahu tunjuk hebat?” kata Datuk Dr Farid Saad, ADUN Pulau Betong.

Satu lagi isu besar yang menunjukkan berlakunya pembaziran dan kemungkinan wujud unsur rasuah ialah projek pembinaan laluan jalan basikal

Rafizal Abdul Rahim,  Ketua Pemuda UMNO Pulau Pinang telah menimbulkan 2 soalan besar.  

“Pertama, mengapa kosnya terlalu mahal sedangkan berdasarkan anggaran kos membina lorong basikal yang sama panjang di Amerika Syarikat, sepatutnya kos membina laluan basikal di Pulau Pinang hanya menelan belanja sebanyak RM6 juta sahaja, dan bukannya RM30 juta, itupun berdasarkan 60 peratus kadar mark-up.

“Kedua, mana mungkin syarikat pemaju mengeluarkan kos yang begitu besar tanpa ada timbal balik. Lagi pula jika kita melihat lorong basikal yang dicat berwarna hijau yang berkongsi dengan laluan pejalan kaki itu, ianya boleh mengundang bahaya kerana keluasannya terhad.

“Jadi, dengan hasil kerja yang ‘asal ada’ ini, tidak mungkin kosnya mencecah RM30 juta. Atau mungkin ada perjanjian yang tersirat dan mendatangkan keuntungan kepada Dap maka ia diluluskan walau pada hakikatnya Ahli Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) sendiri telah mengakuinya sebagai satu kesilapan,” ujar Rafizal.

Contoh mudah ialah laluan basikal di Kuala Lumpur, kosnya jauh lebih murah malah keluasan dan keselesaannya amat baik.

Banyak lagi isu-isu besar yang terbit daripada bajet negeri yang dibentangkan oleh Lim Guan Eng. Tetapi dalam masa yang sama, beliau perlu sapu balik ludah sendiri. Sebelum ini beliau mengatakan bahawan Bajet 2018 hanya untuk bantu BN menang.

‘Jelas’ sekali, bajet yang Guan Eng bentangkan itu ‘bukan untuk bantu DAP menang kembali negeri’! Memualkan!

 

Daftar melalui perkhidmatan langganan e-mel percuma kami untuk menerima pemberitahuan apabila maklumat baru diperolehi.