24
Jum, Nov
946 ARTIKEL BARU

Hasil GST Sepenuhnya Dibelanja Untuk Kebajikan Rakyat

Editorial
Typography

MESKIPUN GST yang dilaksanakan oleh kerajaan sejak 1April 2015 telah mendatangkan banyak manfaat kepada rakyat, Pakatan Harapan asyik   mengadu domba menimbulkan persepsi  dikalangan rakyat kononnya pelaksanaan GST meningkatkan harga barangan keperluan harian. Dakwaan Pakatan Harapan ini adalah tidak berasas malah tidak benar kerana  sebahagian besar barangan  dan perkhidmatan, termasuk makanan asas dan   keperluan harian, malah ubat-ubatan, pengangkutan awam dan toll  dikecualikan cukai GST.

Pada hakikatnya, GST diharapkan akan mengurangkan harga barang dalam pasaran kerana kos  pengeluaran prodak (kilang) dikurangkan dengan system pengilang dibenarkan menuntut balik cukai yang dikenakan atas barangan yang digunakan untuk mengeluar prodak daripada kerajaan. GST terbukti sebagai satu kaedah yang terbaik untuk menambah hasil Negara. Ini menyebabkan lebih 160 buah negara dalam dunia amalkan GST. Apapun, GST  telah terbukti  menampung kekurangan hasil Malaysia  akibat  kejatuhan harga minyak dan komoditi negara. GST kini merupakan penyumbang besar kepada bajet dimana hasil   daripada  GST telah  mencecah RM 41 bilion pada tahun 2017. 

Dengan hasil daripada GST, kadar cukai yang dikutip daripada individu atas pendapatan dan daripada syarikat  atas  keuntungan dapat dikurangkan. Sebagai contoh, hampir 2.3 juta pembayar cukai   dikurangkan cukai dua mata peratusan bagi banjaran pendapatan bercukai dalam  bajet 2018. Malah, tambahan hasil Negara telah membantu mengurangkan  fiskal   negara  daripada  6.7 peratus  (2009)  kepada 3 peratus (2017) dan dijangka turun ke 2.8 peratus pada akhir tahun 2018. Kekurangan kadar fiskal pula telah membantu pihak agensi penarafan kewangan dunia letakkan Malaysia dalam kategori A. Penarafan ini pula telah membantu meningkatkan keyakinan pelabur asing melabur di Malaysia. 

Persoalanya, apakah hasil daripada GST dapat dibelanjakan untuk kebaikan rakyat? Ya. Penambahan hasil daripada GST dibelanja dengan hemah malah mendorong kepimpinan kerajaan menyedia Bajet 2018  dalam memenuhi hasrat dan aspirasi  rakyat pelbagai kaum. Bajet 2018 melibatkan perbelanjaan RM 280.25 bilion berbanding dengan  RM 260.8 bilion pada tahun 2017. Selain  itu, pelbagai initiatif  baru dilaksanakan untuk membela dan membantu rakyat Malaysia.  Antaranya, biasiswa sebanyak RM 2.2 bilion, Geran  bangunan dan penyelidikan pendidikan  di tingkatkan dua kali kanda iaitu  dari RM 235 juta kepada RM400 juta, sejumlah  1.6  juta   penjawat awam disediakan  bantuan khas RM1500 dan pesara perkhidmatan awam  pula disediakan bantuan RM750.

Pada masa yang sama, pada pertama kalinya dalam sejarah Malaysia,  sejumlah RM 6.5 bilion disediakan sebagai bantuan khas bagi kelompok pesawah, petani, peladang nelayan, pekebun kecil, penternak dan penoreh getah. Begitu juga, pada pertamakalinya, kanak-kanak yang lahir bermula 1 Januari 2018 sehingga 2022, di hadiahkan  RM 200  melalui PNB dibawah Skim  Amanah Dana Anak Malaysia 2050 (ADAM50).

Tambahan hasil juga membantu kerajaan terus menyediakan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BRIM) kepada tujuh juta orang berpendapatan rendah dan sederhana meliputi RM  6.8 bilion, sejumlah  3.2 juta murid dapat menikmati bantuan persekolahan sebanyak RM100. Tambahan pula, sebanyak RM 4.9 bilion di sediakan untuk pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional  (TVET). Selain itu, kerajaan juga mampu menyediakan perkhidmatan kesihatan yang terbaik kepada rakyat dengan menambah peruntukan bagi sektor kesihatan sebanyak  RM 27 bilion pada bajet 2018. Kaum India  juga  disediakan  peruntukan khas sebanyak RM 1.5 bilion melalui PNB dalam menjayakan Pelan Tindakan Pembangunan Kaum India atau Blue Print (MIB) .       

Sesungguhnya, GST telah membantu meletakkan Malaysia dalam landasan ekonomi yang betul dalam persekitaran ekonomi global yang tidak stabil. GST tidak menyusahkan rakyat seperti didakwa   oleh Pakatan Harapan, tetapi menyelamatkan negara daripada dilanda kegawatan ekonomi. Justeru, segala dakwaan Pakatan Harapan terhadap GST adalah tidak benar malah satu pembohongan bermotif politik. Jadi, GST tidak wajar dipolitikkan kerana GST membawa berkat memakmurkan negara dan mensejahterakan rakyat. 

Ditulis Oleh,

Datuk M.Periasamy

 

 Penganalisis Politik /Pensyarah Komunikasi Strategik

Daftar melalui perkhidmatan langganan e-mel percuma kami untuk menerima pemberitahuan apabila maklumat baru diperolehi.