24
Jum, Nov
946 ARTIKEL BARU

Shafie! Jangan Berselindunglah Di Sebalik Imuniti Parlimen

Editorial
Typography

TIDAK ada gunanya bekas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berselindung di sebalik imuniti Parlimen dalam siasatan rasuah yang sedang dihadapinya.

Cubaan melibatkan `anak buah’ Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman dalam kes rasuahnya yang dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)  jelas bertujuan mahu mewujudkan persepsi negatif dalam kalangan rakyat terhadap ketua menteri itu.

Benar kata Musa bahawa Mohd. Shafei perlu lebih tenang dalam mendepani keadaan itu. Dan bukannya melemparkan tuduhan terhadap pihak lain dan cuba membabitkan orang lain.

Tidak perlu panik. Tiada apa yang perlu ditakutkan sekiranya anda tidak bersalah seperti kata peribahasa Melayu “berani kerana benar, takut kerana salah.

Bulan lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad melawat Loji Rawatan Air Sungai Intan yang terletak di Semporna, kawasan Parlimen Mohd. Shafie, ketika siasatan berhubung dakwaan penyelewengan RM1.5 bilion daripada dana pembangunan luar bandar untuk Sabah sedang berjalan.

Mohd. Shafie seharusnya bersikap lebih ‘gentleman’ dan tidak menggunakan imuniti Parlimen dan taktik berdolak-dalik untuk mengalihkan tumpuan daripada dirinya.

Benar kata Musa. SPRM telah menahan individu sama ada daripada parti politik kerajaan dan juga pembangkang dalam menyiasat kes-kes rasuah di negara ini.

Isu kes ini kononnya bermotifkan politik langsung tidak berasas kerana SPRM telah menahan individu daripada parti pemerintah dalam banyak kes lain.

SPRM perlu dibiarkan menjalankan siasatan rasmi tanpa rasa takut atau pilih kasih dan pastinya tanpa perlu menggembar-gemburkannya secara dramatik.

Ingatan sama turut dibangkitkan Pengerusi Gerakan Akar Umbi Malaysia (Gaum), Datuk Zulkarnain Mahdar yang menyifatkan bekas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah itu cuba lari dari topik asal mengenai kes salah guna kuasa membabitkan peruntukan berbilion ringgit yang kini disiasat SPRM.

Sebaliknya, beliau mencabar Mohd. Shafie menyenaraikan peruntukan yang dikhaskan untuk pembangunan rakyat luar bandar sebanyak RM7.5 bilion dengan kerajaan negeri pernah dibawa berbincang bersama mengenainya  semasa beliau  masih lagi berjawatan menteri.

“Cubaan melibatkan `anak buah’ pemimpin berkenaan  jelas bertujuan mahu mewujudkan persepsi negatif dalam kalangan rakyat terhadap Ketua Menteri Sabah.

“Tidak logik sama sekali untuk cuba mengaitkan apa sahaja aktiviti perniagaan seluruh kaum keluarga ketua menteri dengan Datuk Seri Musa. Malahan jika benar dakwaan Mohd. Shafie projek tersebut adalah daripada bekas kementeriannya, adalah jelas isunya di sini mengaitkan Ketua Menteri Sabah dengan pemberian projek tersebut sesuatu yang amat salah.

“Ini memandangkan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah jelas di bawah Kementerian Persekutuan dengan Mohd. Shafie adalah menterinya sebelum ini sedangkan Ketua Menteri Sabah hanya terlibat dalam pentadbiran Sabah," katanya.

Daftar melalui perkhidmatan langganan e-mel percuma kami untuk menerima pemberitahuan apabila maklumat baru diperolehi.