24
Jum, Nov
946 ARTIKEL BARU

Azmin `Pendek Akal’ Takut Bayang-bayang Sendiri

Editorial
Typography

BIMBANG dengan pendedahan bertali arus media arus perdana terhadap kegagalan Menteri Besar Datuk Seri  Mohamed Azmin Ali menyelesaikan isu-isu berkepentingan rakyat di Selangor menyebabkan kerajaan PKR negeri itu dicap sebagai `pendek akal’.

Ini berikutan surat pekeliling yang ditandatangani setiausaha kerajaan negeri itu bertarikh 9 November yang  terpaksa mengeluarkan peringatan sekali lagi mengarahkan  pemberhentian langganan akhbar kumpulan Utusan dan Berita Harian  bagi semua jabatan, agensi dan anak-anak syarikat kerajaan negeri.

Azmin sekarang cuak kerana liabiliti pentadbirannya yang lompang terbongkar dari isu kegagalan menyediakan perumahan rakyat, bekalan air, isu tanah yang mahal dan kesihatan terutama penyakit denggi yang naik mendadak di negeri itu.

Apatah lagi pengerusi badan perhubungan UMNO negeri itu, Tan Sri Noh Omar kini merupakan menteri yang bertanggungjawab terhadap isu-isu perbandaran begitu agresif menyelesaikan isu-isu berkaitan di setiap negeri termasuk Selangor.

Amalan turun padang Noh yang diikuti kenyataan atau sidang akhbar meluluskan peruntukan tertentu menyelesaikan isu berkenaan di situ juga membimbangkan Azmin.

Dan inilah yang dilaporkan oleh akhbar Utusan Malaysia, Kosmo! serta Berita Harian dan Harian Metro.

Azmin seolah-olah takut dengan bayang-bayang sendiri kerana meskipun langganan akhbar-akhbar arus perdana berkenaan dihentikan langganannya di seluruh agensi kerajaan negeri itu, kakitangan dan pegawainya tidak boleh disekat untuk mengikuti perkembangan isu-isu di Selangor yang gagal dibereskan oleh Azmin.

Bahkan, mereka boleh mengikuti berita-berita berkenaan di online, portal serta blog yang bercambah.

Jadi, tidak hairanlah apabila Noh sebelum inii menyelar kerajaan Selangor di bawah kepimpinan Azmin Ali  disifatkan hanya pandai berpolitik namun gagal selesai isu kesihatan yang membelenggu rakyat.

Selangor, katanya, merupakan ‘juara’ kes denggi apabila mencatatkan kes tertinggi selama enam tahun berturut-turut selain turut merekodkan kes kencing tikus yang tinggi.

“Di peringkat negeri katanya rakyat pentingkan isu kesihatan, dia (Mohamed Azmin) kata dia lancar kad peduli kesihatan, tetapi dari segi keseluruhan Selangor mencatatkan dua rekod iaitu denggi paling tinggi dalam negara hingga ada kematian dan penyakit kencing tikus, ini juga (Selangor) ‘johan’.

Pada 9 Mei lalu, sebanyak 12 badan bukan kerajaan (NGO)  gagal bertemu Azmin  bagi membincang pelbagai isu rakyat termasuk ketidakmampuan membeli rumah kos rendah di negeri ini.

Seramai 20 wakil NGO berkenaan berkumpul di hadapan pagar bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor untuk meminta berjumpa dengan Azmin namun, mereka disekat pengawal keselamatan dan polis yang bertugas bagi mengelak kekecohan.

Wakil kumpulan NGO itu yang juga Presiden Kelab Harmoni Selangor (KHS) Dr V. Sunder berkata, mereka bertindak demikian selepas beberapa surat rasmi bagi menetapkan temu janji dengan menteri besar itu sejak tiga tahun lepas, tidak mendapat maklum balas daripadanya.

Lebih 50 memorandum kepada pejabat Menteri Besar bagi meminta campur tangannya menyelesaikan pelbagai masalah rakyat terutamanya berkaitan perumahan tetapi maklum balas yang diterima tidak memberangsangkan.

Inilah yang ditakuti Azmin sehingga surat pekeliling kali kedua terpaksa dikeluarkan untuk menghentikan langganan akhbar Kumpulan Utusan dan Berita Harian.

Daftar melalui perkhidmatan langganan e-mel percuma kami untuk menerima pemberitahuan apabila maklumat baru diperolehi.