24
Jum, Nov
946 ARTIKEL BARU

Ada Melayukah Dalam DAP?

Editorial
Typography

SUDAH terang lagi bersuluh, tiada pemenang dari kalangan orang Melayu yang terplilih menduduki Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP yang baharu hari ini. Kalaupun Ahli Parlimen Bukit Bendera,  Zairil Khir Johari  terselit dalam 20 orang yang terpilih itu, dia bagaimanapun bukan berdarah Melayu.

Bapanya bernama Howard Lim dan ibunya, Rose Christine Lim dengan nama sebenar Zairil adalah Christopher Ross Lim. Dia menukar nama kepada `Zairil Khir Johari’ pada usia 13 tahun selepas Rose Christine mengahwini Tan Sri Khir Johari.

Dan 19 anggota CEC DAP yang baru terpilih hari ini semua maklum siapa mereka.  Selepas pengundian mengumumkan pemenang, barulah pucuk pimpinan DAP  `berkenan’ melantik Tengku Zulpuri Shah Raja Puji sebagai salah seorang daripada kalangan lima Naib Presiden. Sekadar nak mengaburi mata orang Melayukah

Realitinya pemimpin, ahli biasa bahkan penyokong tegar DAP tidak teruja langsung mahu meletakkan orang Melayu di barisan hadapan kepimpinan parti itu walaupun berulang kali menyebut parti itu berbilang kaum.

Itu di peringkat Pusat. Di peringkat negeri pun serupa. Semasa pemilihan 15 Ahli Majlis Eksekutif DAP yang menganggotai Jawatankuasa Tertinggi DAP Negeri Selangor pada November 2015 pun tiada seorang pemenang pun Melayu. Bahkan, kelibat calon India juga tidak nampak naik pentas. Begitu juga pada pemilihan ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) 2012 - tidak ada Melayu yang terpilih.

Mungkin yang masih diingati pemimpin Melayu dalam DAP ialah Allahyarham Ahmad Nor yang menang kerusi Parlimen Bayan Baru, Pulau Pinang pada Pilihan Raya Umum (PRU) 1990. Itu pun populariti beliau diwarnai penglibatan aktifnya dalam sebuah kesatuan sekerja.

Kalau hendak dikira pemilihan calon Melayu dalam menggalas cabaran DAP memang boleh dikira dengan jari. Antaranya, penyandang kerusi DUN seperti Ibrahim Singgeh (1969), Tapah Road, Perak; Hassan Ahmad (1969) Si Rusa, Perak; Fadzlan Yahya (1982), Pasir Berdamar, Perak; Fadzlan Yahya (1986), Pasir Berdamar, Perak; Fadzlan Yahya (1990), Lahat, Perak dan Mohd. Asri (1990), Dermawan, Perak.

Ini termasuklah  wakil rakyat DAP di Raub (Datuk Mohd. Ariff Sabri Abdul Aziz).

Selepas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim membuat keputusan keluar parti pada 14 Mei 2012, hampir tidak ada pemimpin Melayu DAP yang cukup dikenali.

Yang menyerlah hanyalah DAP sebagai parti anak-beranak Lim Kit Siang dan mendiang Karpal Singh.

Walaupun dua perkataan iaitu kronisme dan nepotisme menjadi ‘modal besar’ DAP mengutuk kerajaan Barisan Nasional (BN) namun hakikatnya, dua unsur itulah yang menjadi anutan pe­mimpin DAP dan sekutu parti itu, Anwar Ibrahim yang mana si ayah menjadi ketua umum (PKR), si ibu menjadi presiden dan si anak pula naib presiden.

Struktur kepemimpinan DAP tidak pernah melalui perubahan sebenar sejak kewujudannya pada 1966. Supremo parti itu masih Kit Siang dan anaknya, Guan Eng - yang berubah hanya jawatan.

Nepotisme berada di kedudukan tertinggi dalam DAP, sehinggakan para penyokong parti sosialis itu mempersenda DAP sebagai sebuah syarikat sendirian berhad - “DAP Sdn. Bhd.”.

 

 

Daftar melalui perkhidmatan langganan e-mel percuma kami untuk menerima pemberitahuan apabila maklumat baru diperolehi.