14
Kha, Dis
882 ARTIKEL BARU

Muslihat & Pembohongan : Parti Mahathir & Pakatan Harapan Diharamkan?

Editorial
Typography

Kita tentu akan berasa mual apabila membaca artikel blog MSOmelayu yang membuat pelbagai tuduhan melulu tentang PM Datuk Seri Najib Razak dan isu pendaftaran Pakatan Harapan.

Penyokong tegar Mahathir itu mendakwa kononnya ‘bolak balik dan ketidaklulusan Pakatan Harapan menunjukkan ketakutan Najib’ dan ‘perbagai alasan tidak masuk akal dan nampak sangat tektik untuk tidak meluluskannya diberikan’.

Mohd Sayuti Omar berbohong kerana media melaporkan Dr Mahathir Mohamad mengakui Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang diterajuinya, punca proses mendaftarkan gabungan pembangkang di bawah nama Pakatan Harapan, masih terbantut.

Pengerusi PPBM itu berkata, partinya gagal menyelesaikan masalah dalaman yang dihadapi, manakala punca lain yang melambatkan kelulusan pendaftaran nama pakatan itu adalah disebabkan DAP.

Jelas bahawa blogger MSOmelayu ini gagal (atau sengaja buat-buat tidak tahu) untuk memahami bahawa isu pendaftaran PH ini adalah disebabkan oleh parti PPBM dan DAP itu sendiri.

Parti DAP masih menunggu laporan rasmi firma audit bebas, Grant Thornton. Parti DAP telah mengadakan pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP pada 12 November lalu. Difahamkan bahawa DAP mempunyai 60 hari untuk menyerahkan laporan tersebut kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS).

Tetapi timbul satu isu iaitu DAP berkemungkinan besar akan melambat-lambatkan proses penghantaran laporan CEC DAP tersebut.

Mereka mahu pendaftaran Pakatan Harapan tidak dapat diselesaikan sebelum PRU14 kerana DAP tidak mahu menggunakan lambang Pakatan Harapan.

Parti itu lebih yakin dengan lambang sendiri dan tahu bebanan yang mereka perlu pikul apabila berdepan dengan penyokong-penyokong parti itu.

DAP sedia maklum wujudnya ketidakpuasan dan protes penyokong-penyokong mereka yang tidak setuju dengan tindakan DAP bersekongkol dengan Dr Mahathir Mohamad. Diantaranya :

  • Tindakan 4 wakil rakyat DAP Melaka yang keluar parti kerana tidak bersetuju dengan kerjasama antara DAP dan Dr. Mahathir.
  • ADUN Tanjung Bu­ngah pernah berkata, selain disebabkan ahli-ahli DAP telah diajar bermusuh dengan Dr Mahathir sejak sekian lama, kehadiran Mahathir dalam pembangkang ketika ini menimbulkan keraguan kerana tidak mempunyai misi yang jelas.
  • Lim Kit Siang sendiri mengaku tidak akan lupa dan tiada keraguan mengenai peranan Dr Mahathir dalam semua skandal yang dilakukan oleh bekas perdana menteri itu.
  • Kit Siang juga gagal menjawab dan terpaksa memberi dongengan berbelit-belit dan tidak tepat apabila ditujukan soalan sama ada pembangkang bimbang kehilangan penyokong apabila berkerjasama dengan Mahathir. Veteran tua DAP itu juga tidak terkejut apabila ahli dan penyokong DAP tidak puas hati dengan tindakan beliau itu.

Bukan itu sahaja. Parti DAP sedang berdepan dengan isu besar seperti parti rasis apabila tidak ada satu pun calon Melayu yang menang semasa pemilihan CEC DAP, kronisme melampau yang melibatkan anak beranak dinasti Lim, korupsi yang sangat teruk dan kerajaan negeri yang gagal mentadbir serta menzalimi rakyat negeri.

Kerana itu parti DAP berkemungkinan besar akan mencari alasan untuk melengah-lengahkan proses penghantaran keputusan CEC DAP. Menuding jari kepada pihak lain adalah satu perkara yang wajib bagi parti rasis tersebut.

Malah, kita semua sedia maklum bahawa parti PPBM berdepan dengan pembatalan pendaftaran kerana melanggar perlembagaan partinya sendiri.

1. Setelah setahun tetapi Perhimpunan Agung penubuhan parti masih belum ditepati.

  • ROS menerima permohonan untuk menangguh perhimpunan agung parti tetapi tidak ada fasal atau peruntukkan mesyuarat agung tahunan boleh ditangguh.
  • Merujuk perlembagaan PPBM, peringkat cawangan perlu mengadakan mesyuarat dalam tempoh 14 hari sebelum peringkat bahagian mengadakan mesyuarat perwakilan, manakala peringkat bahagian pula perlu mengadakan mesyuarat perwakilan dalam tempoh 60 hari sebelum AGM. Tetapi PPBM belum melaksanakannya.

2. Parti Mahathir telah berbohong apabila mesyuarat agung khas (EGM) pada 2 November 2016 sebenarnya hanyalah mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM.

  • Minit Mesyuarat Agung Khas PPBM 2016 membuktikan hanya 12 orang yang hadir iaitu ahli Majlis Pimpinan Tertinggi.
  • Kesalahan yang lain ialah mereka membuat pindaan semasa mesyuarat itu sedangkan Fasal 28 Perlembagaan PPBM menyatakan pindaan hanya boleh dibuat melalui mesyuarat agung tahunan dan mesyuarat agung khas.

3. Tidak wujud istilah Armada dalam Perlembagaan PPBM. Cuma ada Pemuda sahaja.

Malah, yang sebenarnya ialah ahli-ahli PPBM itu sendiri yang membuat laporan dan juga mendesak supaya ROS membatalkan pendaftaran PPBM selepas mereka mendedahkan mereka ditipu kepimpinan parti itu.

Tetapi ROS bersikap professional dan berkata bahawa tindakan itu tidak boleh diambil selagi siasatan mengenai isu pelanggaran Akta Pertubuhan 1966 belum selesai.

Jelas bahawa Mohd Sayuti Omar, blogger MSOmelayu telah memperbodoh-bodohkan dirinya dengan cuba menegak benang yang basah.

 

Sumber:

https://www.bharian.com.my/berita/politik/2017/11/353052/ppbm-dap-punca-daftar-pakatan-harapan-terbantut-dr-mahathir

http://msomelayu.blogspot.my/2017/11/ketidaklulusan-permhonan-ph-tanda-najib.html

http://www.astroawani.com/berita-malaysia/ppbm-sendiri-langgar-perlembagaan-mereka-ros-160603

https://www.malaysiakini.com/news/333304