14
Kha, Dis
882 ARTIKEL BARU

Lagi Mahu `Auta’ Kah Mahathir?

Editorial
Typography

INILAH `auta’ Pengerusi Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Kalau tidak dikilas dengan fakta, dia akan `menerawang’ dengan autanya dengan lebih jauh lagi.

Mahathir mendakwa kononnya dia adalah bekas perdana menteri yang paling cermat dalam menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) berbanding tiga perdana menteri sebelumnya.

Kata Mahathir, dia hanya menangkap seramai 1,200 orang, berbanding di zaman Tunku Abdul Rahman dan Tun Abdul Razak (masing-masing lebih 2,000 orang) manakala Tun Hussein Onn (kira-kira 4,000).

Kalau `gebang’, Mahathir bijak lah, namun fakta dan realitinya ialah tangkapan yang ramai semasa era tiga Perdana Menteri sebelum Mahathir terdiri daripada pengganas komunis dan mereka yang terlibat dengan kegiatan subversif.

Kerajaan Malaya telah menggubal ISA bagi menyambung Ordinan Darurat 1948 hanya untuk menangani ancaman pemberontakan komunis

Sebelum ISA diperkenalkan, Ordinan Darurat 1948 - 1960 telah diisytiharkan oleh pihak British bagi menangani pemberontakan komunis.

Namun British berdepan dengan cabaran getir sehinggalah berlaku insiden mengejutkan yang mengorbankan Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaya, Sir Henry Gurney. Pada 7 Okotober 1951, Gurney ditembak mati dalam satu serang hendap oleh pasukan bersenjata Parti Komunis Malaya yang dikatakan diketuai oleh Chin Peng.

Tepat 12 kilometer sebelum sampai pusat peranginan mewahnya di Bukit Fraser,  mendiang terkorban, namun isterinya yang turut berada di dalam kereta tidak dicederakan.

Sejurus selepas itu semua tentera, baik anak watan mahupun tentera upahan asing digerakkan secara besar-besaran memburu pengganas komunis.

Apabila ISA diperkenalkan pada 1960, Perdana Menteri ketika itu, Tunku Abdul Rahman, timbalan beliau Tun Abdul Razak serta Menteri Dalam Negeri.Tun Dr Ismail Abdul Rahman telah memberi jaminan di Parlimen bahawa akta tersebut akan digunakan secara bertanggungjawab dan hanya terhadap komunis, pengganas dan anasir subversif.

Pemberontakan komunis kemudian berakhir secara rasmi pada 1989 apabila Perjanjian Keamanan Haadyai ditandatangani.

Namun, ISA digunakan secara rakus oleh Mahathir, antaranya insiden yang paling diingati yang turut melibatkan tangkapan tanpa bicara rakan rapat Mahathir sekarang, Lim Kit Siang.

Pada 27 Oktober 1987, polis melancarkan tangkapan besar-besaran buat kali pertama sejak peristiwa 13 Mei 1969. Operasi yang dikenali sebagai Ops Lalang itu menyaksikan 106 orang ditangkap tanpa bicara di bawah ISA.

Operasi yang dijalankan selepas enam tahun Mahathir memegang jawatan Perdana Menteri ini menyebabkan aktivis NGO, ahli politik, ahli akademik dan mahasiswa ditangkap. Kalau ikut kata kerajaan dan polis pada waktu itu, tindakan itu `perlu sebab isu-isu keselamatan’.

Tunku, Tun Razak dan Tun Hussein tidak menjadi sasaran kecaman ISA  berbanding Mahathir kerana ketiga-tiga mereka menggunakan ISA dengan tindakan yang bertanggungjawab.

Di Dewan Rakyat pada 21 Jun 1960, Allahyarham Tun Razak berkata, bukan niat kerajaan untuk sesuka hati menangkap seseorang individu tetapi ia adalah satu kemestian untuk mengawal keamanan dalam negara.

“Saya suka terangkan di sini (bahawa) kerajaan tidak suka hendak memberi perintah supaya seseorang itu ditahan. Akan tetapi oleh sebab difikirkan kadang-kadang mustahak kerana keselamatan negeri, maka terpaksa digunakan kuasa ini.

“Apabila seseorang itu telah ditahan, kerajaan berusaha supaya mereka itu dapat dilepaskan dengan seberapa segera,” kata Tun Abdul Razak.

Lagi mahu `auta’ kah Mahathir?