20
Rab, Sep
664 ARTIKEL BARU

Saya Yakin Dibebaskan - Anwar Ibrahim

Liputan Khas
Typography

KUALA LUMPUR: Ketua Umum Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin keputusan berhubung kes liwatnya membabitkan pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan yang akan diketahui pada 10 Februari ini akan memihak kepadanya.

Menurut Anwar, berdasarkan perincian fakta dan undang-undang kukuh yang telah dibentang di hadapan panel Mahkamah Persekutuan baru-baru ini, beliau yakin akan dibebaskan.

“Saya menerima maklumat yang menyatakan Mahkamah Persekutuan telah menetapkan 10 Februari hadapan sebagai tarikh penghakiman bagi rayuan kes saya di peringkat Mahkamah Persekutuan di Istana Kehakiman Putrajaya.

“Berdasarkan penghujahan pasukan guaman, saya yakin akan dibebaskan berdasarkan perincian fakta dan undang-undang kukuh yang telah dibentangkan di hadapan panel Mahkamah Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan yang di muat naik di laman Twitternya, sebentar tadi

Katanya lagi, kes keputusan liwat ini disifatkannnya sebagai fitnah tidak wajar dijadikan senjata politik dan diberi ruang untuk memporak-perandakan negara.

Bagaimanapun, Anwar, 67, yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh berharap agar keadilan dapat ditegakkan.

“Saya panjatkan doa pada Allah Yang Maha Esa agar keadilan dapat ditegakkan dan saya dibebaskan,” katanya.

Mahkamah Rayuan sebelum ini mendapati Anwar bersalah dan menjatuhkan hukuman lima tahun penjara. Namun, beliau dilepaskan dengan ikat jamin sebanyak RM10,000 dan seorang penjamin.

Bagaimanapun, beliau membuat rayuan selepas tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Rayuan berhubung tuduhan meliwat Mohd Saiful Bukhari di sebuah kondominium di ibu negara pada Jun 2008.