21
Sel, Nov
913 ARTIKEL BARU

Jangan Salah Guna Konsep Jihad Atas Nama Agama - Agong

Liputan Khas
Typography

Yang Dipertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah dalam ucapan pembukaan penggal ke 13 sesi parlimen menyeru rakyat berwaspada dan mengawasi anggota keluarga agar tidak terpedaya dakyah menyalahguna konsep jihad atas nama agama.

Baginda menyambut baik usaha berterusan pasukan keselamatan membendung penularan fahaman ekstrem dalam kalangan rakyat seperti ancaman kumpulan militan negara Islam, (IS) dan pengganas di Sabah sekaligus cadangan mewujudkan undang-undang berhubung keganasan.

Selain itu, baginda turut menyelar segelintir pihak yang cuba menggugat perpaduan dengan mengadu domba dan menyebarkan fitnah dalam kalangan masyarakat terutama menerusi media sosial.

Konsep kebebasan bersuara titah baginda hendaklah diamalkan dengan bertanggungjawap dan tidak menimbulkan sebarang ketegangan dalam kalangan rakyat.

Baginda turut menzahirkan rasa sedih terhadap beberapa bencana yang dialami rakyat negara antaranya banjir luar biasa yang melanda beberapa negeri tahun lalu serta nahas pesawat MH17 dan MH370.

Rakyat titah baginda perlu tabah mengharungi dugaan berkenaan dan menaruh keyakinan kehidupan mereka dapat dipulihkan melalui bantuan pelbagai pihak.

Sehubungan itu, baginda menitahkan pihak berkuasa agar mempercepat proses bantuan kepada mangsa termasuk membina rumah kekal bagi yang kehilangan tempat tinggal.

Tuanku Abdul Halim turut mengucapkan penghargaan kepada seluruh sukarelawan yang menyumbangkan pelbagai bantuan dan semangat kesukarelawanan terhadap mangsa-mangsa banjir dan nahas pesawat penerbangan Malaysia terbabit.

Baginda bagaimanapun tidak lupa mengingatkan semua pihak agar menyeimbangkan antara keperluan pembangunan dan pemuliharaan alam sekitar serta mahukan persiapan lebih rapi menerusi pasukan pengurusan bencana untuk persediaan masa depan.

Sehubungan itu, baginda berharap semua pihak meningkatkan komitmen memerangi rasuah secara menyeluruh agar perbuatan terkutuk itu dapat dibenteras.

Rezeki yang halal titah baginda akan melahirkan generasi yang mulia.

Baginda menutup titah pembukaan sesi parlimen dengan menyeru semua ahli parlimen agar sentiasa menunjukkan teladan terbaik kepada rakyat dalam memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan.

BNBBC