23
Kha, Nov
923 ARTIKEL BARU

Ucapan Penuh PM Sempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-26

Liputan Khas
Typography

Berikut merupakan Ucapan Penuh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Perasmian Sidang Kemuncak ASEAN ke-26 :-

Duli Yang Maha Mulia, Ketua-ketua Kerajaan ASEAN, Tuan-tuan Yang Terutama, Tuan-tuan dan Puan-puan,

1. Terlebih dahulu, saya dengan besar hati ingin mengalu-alukan kehadiran Tuanku, Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian ke Kuala Lumpur dan ke majlis perasmian Sidang Kemuncak ASEAN ke-26 ini.

2. Sepuluh tahun lepas, Malaysia berada di dewan ini bagi tujuan yang sama seperti hari ini. Kami berasa sungguh bertuah kerana dapat berkhidmat kepada ASEAN sekali lagi, pada tahun yang begitu penting bagi pertubuhan kita; tahun yang dipenuhi pelbagai perkembangan penting dari segi pembinaan komuniti, termasuk melalui integrasi ekonomi secara lebih erat dan mendalam.

3. 2015 akan merupakan tahun penting dalam sejarah ASEAN. Visi untuk mewujudkan komuniti tunggal akan terlaksana menjelang akhir Disember ini. Di samping itu, adalah juga menjadi tugas bersama kita pada tahun ini untuk menggubal dokumen pengganti bagi Peta Tindakan Ke Arah Penubuhan Komuniti ASEAN. Ia akan menyediakan landasan tentang bagaimana kita dapat mengukuhkan lagi perpaduan sesama kita dan mengeratkan lagi integrasi kita sepanjang 10 tahun akan datang, yang akan membawa kita hingga ke tahun 2025. Ini merupakan dua tugas penting bagi kita dalam merencana masa depan ASEAN dan warganya secara berani, inklusif dan memandang ke hadapan.

4. Oleh itu, wajarlah, 'Warga Kita, Komuniti Kita, Visi Kita' dijadikan tema sempena kedudukan Malaysia sebagai pengerusi. Kita mahu menjadikan ASEAN 'Berpaksikan Rakyat'. Ini bererti wujudnya tadbir urus yang baik, taraf kehidupan yang lebih baik, pembangunan lestari, pemerkasaan wanita, belia dan, paling penting, terdapat lebih banyak peluang untuk semua rakyat. Tuan-tuan dan Puan-puan,

5. Saya juga ingin membicarakan tentang ASEAN sendiri. ASEAN adalah sebuah pertubuhan politik dan ekonomi, serta pertubuhan yang memainkan peranan semakin penting di peringkat serantau dan global.

6. Di samping itu, ia juga merupakan suatu idea. Ia adalah idea tentang siapakah kita, sebagai sekumpulan 10 negara di Asia Tenggara. Ia juga adalah suatu idea, dan suatu visi, yang telah membantu membimbing semakin ramai daripada kita, apabila anggota baharu menyertainya sepanjang tempoh yang kini sudah mencapai 47 tahun.

7. Ia juga mempunyai nilai yang begitu peribadi terhadap diri saya. Ayahanda saya, Tun Razak, adalah seorang daripada lima negarawan yang menandatangani Deklarasi Bangkok pada 1967. Dokumen itulah yang melahirkan ASEAN, dan walaupun saya baru berusia 15 tahun ketika itu, saya masih ingat bahawa saya amat menyedari bahawa ia merupakan suatu perubahan penting mengenai cara negara-negara di rantau kita berurusan antara satu dengan lain.

8. Isi dan perkataan yang terkandung dalam deklarasi itu memang melampaui masa. Sebagai contoh, ia menyebut bahawa: "Dalam keadaan dunia yang semakin saling bergantung, ideal bagi keamanan , kebebasan, keadilan sosial dan kesejahteraan ekonomi yang begitu diidam-idamkan, akan hanya dapat dicapai melalui persefahaman lebih erat, kejiranan yang baik dan kerjasama secara bermakna dalam kalangan negara di rantau ini," yang secara jelas, "sudah digembleng erat melalui ikatan sejarah dan budaya".

9. Kata-kata yang sungguh memberi semangat itu ternyata benar pada hari ini, sama seperti pada masa itu.

10. Bagaimanapun, kita perlu memastikan bahawa ikatan tersebut - dan idea hebat iaitu ASEAN - merupakan realiti jelas dan bersifat peribadi bagi kesemua warga kita juga. Terdapat banyak contoh mengenai hakikat ini.

11. Dalam pergolakan yang sedang melanda Yaman, contohnya, banyak rakyat Malaysia mendapati diri mereka terperangkap dalam keadaan di sana. Kami terpaksa menjalankan usaha pemindahan secara dramatik, memindahkan rakyat kami dari Aden ke Djibouti, dan kemudian ke Jeddah dengan mengggunakan sebuah pesawat tentera Malaysia.

12. Kami memindahkan rakyat kami serta warga ASEAN iaitu Singapura, Thailand, Vietnam, Kemboja dan Indonesia. Sukacita ingin saya nyatakan bahawa kesemua mereka berada dalam keadaan selamat. Di samping itu, saya bersyukur bahawa usaha serupa juga dilakukan kerajaan ASEAN lain, dengan masing-masing menghulurkan bantuan kepada rakyat dari negara lain, sama seperti rakyat mereka sendiri. Demikianlah semangat ASEAN.

13. ASEAN Berpaksikan Rakyat adalah sesuatu di mana warga kita memiliki perasaan bahawa mereka bukan sahaja menjadi sebahagian daripada ASEAN. Tetapi, tanpa mengira siapa mereka - daripada keluarga pesawah, hinggalah kepada peniaga mata wang asing, pemilik perniagaan produk halal, nelayan dan jurutera elektronik - warga kita merasakan bahawa mereka adalah ASEAN, dan masa depannya adalah masa depan mereka juga.

14. Untuk mencapainya, kita perlu mendampingi dan sentiasa mendengar suara mereka. Sebab itulah, Program Pemimpin lewat hari ini, akan mengandungi siri empat pertemuan dengan segmen masyarakat yang bebeza - dengan belia, dengan pertubuhan masyarakat sivil, dengan kumpulan perniagaan dan dengan anggota parlimen.

15. Untuk sepanjang tahun ini, Malaysia telah mengatur lebih banyak program berpaksikan rakyat, termasuk Sidang Kemuncak Perniagaan dan Pelaburam ASEAN, Sidang Kemuncak Keusahawanan 1ASEAN, Pameran dan Persidangan SME ASEAN dan Sidang Kemuncak Pemimpin Muda ASEAN.

16. Kami juga memikirkan tentang generasi pemimpin akan datang kita, dan sejajar dengan itu, kami mewujudkan program Biasiswa Sarjana MTCP-ASEAN untuk membolehkan pelajar dari negara anggota ASEAN menuntut di universiti awam terkemuka Malaysia dan apabila mereka pulang nanti, dapatlah mereka menabur bakti di negara masing-masing.

17. Kami percaya bahawa ASEAN patut memberi pengiktirafan dan meraikan pertubuhan dan individu yang telah memberi pelbagai sumbangan cemerlang terhadap proses pembinaan komuniti sepanjang tahun ini.

18. Sejajar dengan itu, saya dengan sukacita mengumumkan bahawa pada akhir tahun ini, iaitu pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-27, kami akan menjadi hos 'Anugerah Warga ASEAN' bagi meraikan pencapaian luar biasa mereka yang diberi penghormatan. Tuan-tuan dan Puan-puan,

19. ASEAN Berpaksikan Rakyat perlu berusaha demi manfaat warga kita, baik di peringkat dalam negara atau di persada antarabangsa. Di sinilah, konsep Kepaksian ASEAN menjadi kuncinya. ASEAN yang kukuh dan bersatu - menjadi rangka kerja terhadap usaha untuk memelihara keamanan dan kestabilan serantau.

20. Saya berpendapat, perbezaan akan sentiasa ada - harapan saya ia hanyalah perbezaan kecil - antara kita. Ia sesuatu yang tidak dapat dielakkan dalam sebuah perkumpulan sepuluh negara yang mempunyai pelbagai etnik, budaya dan agama. Bagaimanapun, kami sudah biasa menjalani kehidupan dalam kepelbagaian di Malaysia dan begitu juga bagi negara lain. Kami percaya, cara untuk menyelesaikan sebarang perbezaan pendapat secara baik ialah melalui tolak ansur, sikap saling memahami dan saling menghormati. Itulah cara ASEAN.

21. ASEAN yang mempunyai pelbagai konflik dalaman tidak akan mampu melahirkan sebuah komuniti sebenar. Untuk menjadi satu komuniti, kita perlu menyelesaikan konflik dalaman yang wujud di rantau kita ini. Sebab itulah, kami bekerjasama dengan negara lain dalam membina keamanan. Sebagai contoh, kemajuan yang dicapai dalam proses perdamaian Bangsamoro baru-baru ini adalah sesuatu yang amat penting dan kami tidak boleh menghentikan usaha kami untuk mencari penyelesaian berkekalan terhadap konflik itu kerana ia telah meragut banyak nyawa dan menyebabkan beratus ribu manusia terusir dari kampung halaman mereka.

22. Sambil kita meneruskan pembabitan dan hubungan kerjasama kita dengan negara di luar ASEAN, kita juga perlu menangani perbezaan yang wujud tidak jauh dari negara masing-masing secara aman, termasuk tuntutan maritim bertindih, tanpa menyebabkan ketegangan terus meningkat. Perkembangan terbaharu menimbulkan kebimbangan tentang keadaan di Laut China Selatan - dan memandangkan kepentingannya sebagai laluan laut bagi perdagangan antarabangsa, maka sudah tentulah sebarang perkembangan yang berlaku di sana akan menarik perhatian. ASEAN perlu menangani pekembangan ini secara proaktif, juga secara positif dan konstruktif.

23. Menghormati undang-undang antarabangsa, termasuk Konvensyen Pertubuhan Bangsa Bersatu 1982 mengenai Undang-undang Laut, perlu menjadi asas bagi peraturan penglibatan dan kegiatan di Laut China Selatan. Sebagai pengerusi, Malaysia berharap kita akan mencapai kemajuan dalam usaha kita untuk memastikan Kod Tatalaku berkenaan dapat dimuktamadkan dengan lebih cepat. Tuan-tuan dan Puan-puan,

24. Satu daripada dokumen yang akan kita guna pakai pada sidang kemuncak ini ialah Deklarasi Langkawi Mengenai Gerakan Kesederhanaan Global. Kita patut mengguna pakai deklarasi ini kerana di rantau kita sendiri, kita tidak terlepas daripada ancaman puak pelampau. Contohnya daripada penyokong apa yang dikenali sebagai 'Islamic State'.

25. Kami sedar, ada rakyat kami yang menyertai kumpulan tertentu di Syria dan Iraq untuk melakukan kekejaman atas nama Islam. Sememangnya, mereka telah mengambil jalan yang salah arah dan kami mengutuk sepenuhnya tindakan mereka itu.

26. Namun, adalah tidak memadai dengan semata-mata menyuarakan penolakan kita terhadap provokasi dan keganasan. Kita sedia maklum daripada sejarah dan kejadian yang berlaku ketika ini bahawa percikan fahaman pelampau dengan mudah boleh ditiup menjadi api yng marak membakar. Ucapan yang tidak bertanggungjawab dan bersifat mengapi-apikan permusuhan, dengan mudah boleh membawa kepada pembunuhan golongan minoriti yang sudah sejak berkurun lepas menjadi sebahagian daripada warna kehidupan di rantau kita. Kami juga mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan itu.

27. Kita perlu menghidangkan kisah kebaikan tentang kesederhanaan, harapan dan keamanan.

28. Di Asia Tenggara, kita tidak kurang dengan kisah seperti itu. Di Malaysia, kami menerima orang Islam, Hindu, Buddha dan Kristian sebagai rakyat kami. Kami tahu, perbezaan yang wujud, tidak akan menimbulkan permusuhan.

29. Surah 109:6 kitab suci al-Quran memerintahkan umat Islam supaya menghormati agama lain. "Untuk kamu agama kamu, untuk aku agama aku." Kami juga diperintahkan supaya menjadi "komuniti yang bersifat sederhana, adil dan seimbang" (2:143). Tuan-tuan dan Puan-puan,

30. Kita perlu mencari jalan agar ASEAN menjadi - dan dilihat menjadi lebih padu dari segi politik. Sejak sekian lama, pelabur global tertarik untuk ke India dan China. ASEAN boleh dan patut menjadikan dirinya 'kuasa ketiga' di rantau ini, dan perpaduan yang lebih ketara boleh membantu kita untuk berbuat demikian. Antara cadangannya ialah kita mengguna pakai zon waktu seragam bagi seluruh ASEAN. Ini akan menjadi suatu simbol yang mantap tentang perpaduan ASEAN serta baik untuk perniagaan.

31. Lagipun, kita memiliki potensi yang besar. Kita sudah mempunyai kumpulan tenaga kerja ketiga terbesar di dunia. Kita memiliki populasi muda, berbakat dan semakin mahir, yang berjumlah lebih 600 juta orang. Jumlah anggota kelas menengah kita yang semakin meningkat, menjadikan kita antara rantau paling teguh dan dinamik - hingga mendorong sebuah penerbitan terkemuka untuk bertanya minggu lepas sama ada ASEAN merupakan 'Pelaburan Asia' paling hangat.

32. Jumlah perdagangan antarabangsa meningkat hampir tiga kali ganda dalam tempoh 10 tahun lepas, dan kini, kita merupakan blok pengeksport keempat terbesar di dunia. Gabungan KDNK kita ketika ini berjumlah 2.5 trilion dolar - dan angka ini dijangka meningkat kepada 4 trilion hanya dalam masa lima tahun. OECD meramalkan keseluruhan pertumbuhan tahunan kita adalah sebanyak 5.6 peratus dalam tempoh empat tahun akan datang, dan sekiranya trend sekarang berterusan,, ASEAN akan muncul sebagai ekonomi keempat terbesar di dunia.

33. Sekarang adalah masa untuk ASEAN. Sebab itulah kita perlu meneruskan langkah kita untuk menubuhkan Komuniti Ekonomi ASEAN. Menghapuskan sekatan dagang, bukan sekadar mengurangkan tarif, tetapi juga menghapuskan sekatan bukan tarif, seperti peraturan terlalu menyusahkan yang menyekat pedagangan bebas dan adil. Kita perlu mempercepatkan pelaksanaan program ke arah menyelaraskan standard, termasuk meningkatkan pasaran modal dan integrasi kewangan, dan meningkatkan pergerakan barang, perkhidmatan, pelaburan dan profesional tanpa had antara negara kita.

34. Hasil daripada usaha ini akan bersifat transformatif. Ini kerana, menurut anggaran, sekiranya perdagangan antara ASEAN ditingkatkan daripada 24 peratus kepada 40 peratus, maka jumlah kenaikan terhadap ekonomi ASEAN ialah sebanyak 2.5 trilion dolar setahun. Ini seterusnya akan meningkatkan perbelanjaan terhadap infrastruktur sebanyak 7 trilion dollar.

35. Potensi pertubuhan yang wujud itu akan membawa kebaikan mengagumkan terhadap ekonomi dan taraf kehidupan warga kita. Dan semua ganjaran ini, sememangnya, mampu kita capai. Tuan-tuan dan Puan-puan,

36. Para bapa pengasas, melalui Deklarasi Bangkok, mengharapkan agar "kesungguhan bersama negara-negara di Asia Tenggara akan merapatkan antara mereka melalui persahabatan dan kerjasama serta, melalui usaha dan pengorbanan bersama mereka, memberi nikmat jaminan keselamatan, keamanan, kebebasan dan kemakmuran untuk rakyat dan anak cucu mereka."

37. Nikmat itu msih jauh untuk seluruh rakyat kita. Namun, kita percaya, sebuah ASEAN yang benar-benar berpaksikan rakyat, yang berazam untuk membentuk sebuah komuniti, yang setiap anggotanya mengiktiraf kesamaan kita dan di mana hasil kejayaan dikongsi oleh semua, mempunyai peluang untuk menikmatinya.

38. Izinkan saya menyebut sekali lagi: Sekarang adalah waktu bagi ASEAN. Marilah kita bekerja bersama-sama untuk memastikan Abad Asia juga adalah Abad ASEAN.

39. Dengan itu, izinkan saya sekali lagi mengalu-alukan kehadiran anda semua dan saya ternanti-nanti perbincangan yang akan diadakan sepanjang dua hari akan datang.

Terima kasih.

Daftar melalui perkhidmatan langganan e-mel percuma kami untuk menerima pemberitahuan apabila maklumat baru diperolehi.