19
Jum, Jan
674 ARTIKEL BARU

Kenapa Pembangkang Takut Dengan Perhimpunan Agung UMNO?

Editorial
Typography

Bagi Datuk Seri Najib Razak, tahun ini merupakan kali ke-14 beliau berdiri di podium dan pentas dalam dewan PWTC lima tahun selaku Timbalan Presiden Parti dan tahun ke-9 sebagai Presiden Parti UMNO.

Selain daripada persidangan sayap-sayap dan perbahasan oleh jurucakap-jurucakap UMNO negeri, segalanya tertumpu kepada beberapa program utama seperti Perasmian Perhimpunan Wanita Pemuda Puteri pada 5 Disember 2017, Perasmian Persidangan UMNO pada 7 Disember 2017 dan sessi penggulungan oleh Presiden UMNO pada 9 Disember 2017.

Seramai 5,739 perwakilan dari 191 UMNO Bahagian seluruh negara berkampung di Dagangan Dunia Putra (PWTC). Jumlah yang hadir tentulah lebih ramai jika dibandingkan dengan hanya 12 orang yang hadir semasa Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang diadakan pada 2 November tahun lalu.

Dan Jabatan Pendaftar Pertubuhan Malaysia (ROS) tidak mengiktiraf mesyuarat tersebut sebagai EGM atau AGM (Mesyuarat Agung Tahunan).

Perhimpunan Agung UMNO (PAU) kali ini membawa pengertian yang sangat penting dan tanggungjawab yang paling berat untuk setiap kepimpinan UMNO, perwakilan yang hadir dan 3.6 juta ahli UMNO.  

Penting dan berat kerana kita akan berhadapan dengan Pilihanraya Umum ke-14 yang bakal menentukan sama ada perwakilan UMNO akan masih ramai dan berasa bangga berada di PWTC semasa Perhimpunan Agung UMNO tahun 2018 atau sebaliknya.

Segalanya bergantung kepada keputusan Pilihanraya Umum kelak.

Bagaimanakah caranya untuk memastikan Perhimpunan Agung UMNO kali ini berlainan dan membawa pengertian yang lebih mendalam kepada seluruh ahli UMNO terutama pemimpin-pemimpinnya?

Apakah elemen-elemen dalam Perhimpunan Agung UMNO yang akan menambah lagi keyakinan rakyat untuk terus menyokong kerajaan Barisan Nasional pada PRU14 kelak?

Untuk pastikan UMNO tidak komplesen serta sentiasa berada di momentum gerak kerja yang maksima, kita perlu sentiasa diingatkan bahawa parti-parti di dunia yang satu ketika dahulu sama hebatnya dengan parti UMNO, telah kecundang.

Parti GOLKAR di Indonesia tumbang setelah 32 tahun mentadbir negara. Begitu juga dengan Parti Liberal Demokratic Party (LDP) setelah memerintah Jepun hampir 50 tahun. Manakala di India , parti Indian National Congrress INC juga tumbang setelah memerintah hampir 49 tahun. 

Tidak ada yang mustahil tetapi kita diberi akal fikiran untuk berubah.  Sejarah parti-parti ini memberi pengajaran kepada parti UMNO untuk membuat transformasi penting bagi memastikan parti relevan dengan peredaran masa dan era tanpa sempadan.

Produk UMNO inilah yang sentiasa disebut dan di'jual' untuk menambah keyakinan rakyat. Pada 15 Oktober 2009, di dalam ucapan dasar sulung selaku Presiden UMNO sejak mengambil alih pucuk pimpinan pada bulan Mac 2009, Datuk Seri Najib Razak menegaskan bahawa UMNO tidak boleh mudah berasa selesa atau lega bahawa UMNO menjadi parti pilihan rakyat, hanya kerana tiada parti lain yang boleh diharapkan.

Kalau UMNO menjaga kebajikan semua rakyat, maka pastinya rakyat, tanpa mengira bangsa dan keturunan, akan dengan relanya menyokong serta mengangkat kepimpinan parti UMNO.

Datuk Seri Najib Razak juga mengingatkan kita bahawa manusia yang mendapat pengajaran betul serta benar daripada peristiwa sejarah, boleh mengelak daripada melakukan kesilapan dan tindakan yang akan membawa kepada kejatuhan sesebuah negara mahupun tamadun.

Maknanya, untuk menongkah masa depan yang cemerlang, UMNO perlu berakar teguh, dengan beriktibar daripada sejarah dan sistem nilai. Barulah UMNO berupaya untuk tegak menghadapi masa mendatang, dengan persediaan yang rapi serta serasi menurut hambatan zaman.

Begitu juga dengan pencapaian negara di bawah pentadbiran Najib Razak dan Barisan Nasional (BN)di mana segalanya ini perlu diperingatkan berulang-kali oleh setiap kepimpinan dan pembahas UMNO di sepanjang Perhimpunan Agung ini.

Segala propaganda kotor puak pembangkang, portal pro-pembangkang dan jentera pembangkang juga perlu diketengahkan semasa Perhimpunan Agung UMNO ini. 

Tujuannya supaya rakyat dapat menilai di antara realiti kemampuan BN dan retorik puak pembangkang. Penilaian yang hanya merujuk kepada persepsi perlu diperbetulkan dan digantikan dengan fakta-fakta yang tulin.

Kita juga sedia maklum bahawa kerajaan negeri di bawah Pakatan Pembangkang sedang bergelut dengan skandal korupsi, salah guna kuasa dan kegagalan untuk mentadbir negeri. Malah, parti PPBM dan DAP gagal untuk mengurus parti sendiri hinggakan rakyat tidak yakin dengan kewibawaan Pakatan Harapan.

Ironinya, parti-parti di dalam Pakatan Harapan saling tindas menindas sesama sendiri terutamanya parti DAP. Beberapa isu di Pulau Pinang jelas membuktikan kerakusan dan dendam kerajaan DAP yang menindas ADUN-ADUN PKR sehinggakan ada yang menangis meratapi kezaliman DAP.

Dan ini bukan yang terakhir. Penulis yakin parti-parti dalam Pakatan Harapan akan bertikam lidah dan bergaduh sesama sendiri tidak lama lagi. Mereka akan berebut kerusi parlimen dan dewan undangan negeri.

Malah, parti DAP berkemungkinan akan 'mencuri' beberapa kerusi daripada parti PKR. 

Realiti politik di Malaysia hari ini, rakyat mempunyai cuma 2 pilihan sahaja, sama ada coalition, yang dipimpin oleh UMNO, ataupun satu lagi coalition yang dipimpin atau didominasi oleh DAP. Perkara ini yang diperjelaskan oleh Presiden UMNO semasa ucapan dasar Presiden pada 15 Disember 2015,

Dalam masa yang sama, parti UMNO perlu bersedia menghadapi propaganda jentera pembangkang dan portal-portal pro-pembangkang menjelang perhimpunan agung UMNO ini. Seperti tahun-tahun sebelum ini, mereka akan menggunakan skrip kitar semula yang sama.

Di antaranya, mereka akan memburuk-burukkan perhimpunan agung UMNO dengan apa sahaja yang berlaku di dalam PWTC. Banjir di negeri pantai timur pun mungkin dijadikan modal oleh puak pembangkang.

Ucapan pihak pembahas dan kepimpinan UMNO akan diputarbelitkan seolah-olah UMNO terlalu rasis dan menyinggung perasaan bangsa lain. Padahal Fasal 3 dalam Perlembagaan UMNO jelas menyatakan bahawa UMNO memperjuangkan kerjasama antara kaum bagi melahirkan satu bangsa Malaysia yang kuat.

Dinasti dalam DAP akan melenting, begitu juga Dr Mahathir Mohamad, PPBM dan PKR. 

Tujuan propaganda pembangkang ini adalah untuk menenggelamkan segala usaha murni kerajaan BN dan jasa UMNO yang diperkatakan sepanjang Perhimpunan tersebut. Mereka tidak mahu ianya menjadi topik perbualan rakyat. 

'Perang persepsi' ini terus berkemundang dalam politik negara ini. Yang penting ialah UMNO perlu sentiasa siap siagah melawan pembohongan dan putar belit pembangkang. Berkhidmat kepada rakyat adalah tunjang parti UMNO.