21
Sab, Jul
50 ARTIKEL BARU

`Perangkap’ Mahathir Jerat Pakatan Harapan Mengena…

Editorial
Typography

SEJAK dulu lagi Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr. Mahathir Mohamad penuh dengan kerenah dan sikapnya yang kontroversi serta sukar dikawal sesiapa. Gelagat bekas Perdana Menteri ini seolah-olah suatu seni politik ‘sapu sahaja, janji boleh’ - yang setara dengan inti pemikiran politik Machiavelli yang berteraskan kekuasaan.

Sebab itu meneliti intipati ucapan Mahathir pada Persidangan Agung Tahunan PPBM di Shah Alam baru-baru ini, semua pihak termasuk sekutu-sekutunya dalam Pakatan Harapan  harus sentiasa berwaspada dengan `kebijaksanaan’ individu berusia 92 tahun ini.

Bila dibangkitkan Mahathir bahawa kebebasan bersuara media dan rakyat Malaysia akan dikembalikan andai Pakatan Harapan berkuasa kelak, kita semua yang memaklumi sejarah pentadbirannya pasti akan berasa hairan.

Agak-agaknya Mahathir lupa siapa yang menutup mulut pelajar di IPT dengan AUKU dan siapa yang menggantung lesen beberapa akhbar arus perdana yang dimiliki pembangkang ketika itu.  Dan juga mengapakah pemimpin pembangkang di tahan di bawah ISA semasa Ops Lalang dijalankan?

Kebebasan badan perundangan akan dikembalikan? Itu disebut Mahathir juga dalam ucapannya di Shah Alam. Agaknya sekali lagi Mahathir lupa siapa dan mengapakah Ketua Hakim Negara dalam era pentadbirannya, Allahyarham Tun Salleh Abas di pecat?

Ini satu persoalan yang cukup menarik. Bolehkah Mahathir kembalikan sesuatu yang telah dia rampas kemudian telah dikembalikan sepenuhnya oleh Perdana Menteri, Datuk Seri  Najib Tun Razak? Dan apakah yang dia nak kembalikan sesuatu yang memang telah dikembalikan?

Maka berwaspada semua dengan tindak tanduk Mahathir. Sekali ditamparnya, tempiasnya bukan kena seorang tetapi tiga atau lebih dari itu.

Dalam memoir Tun Musa Hitam tempon hari, bekas Timbalan Perdana Menteri itu menyifatkan Mahathir sebagai pemimpin politik yang pintar dan mampu mengeksploitasikan emosi sehingga menyebabkan orang Melayu berfikir beliau memperjuangkan nasib mereka.

“Saya fikir itu sebabnya beliau sering berkata, orang Melayu bodoh. Kemahiran politiknya menakjubkan,” katanya.

Kata Tun Abdullah Ahmad Badawi tau Pak Lah yang pernah merasa `penangan’ Mahathir, pada suatu ketika menganggap beberapa perkara yang dibangkitkan oleh Mahathir adalah tidak benar terutama apabila Mahathir mendakwa Malaysia kini adalah negara polis, selain isu anaknya, Kamaluddin, mendapat projek walaupun tidak mempunyai kemampuan.

“Pasal hal yang berkaitan anak-pinak saya, bila dia kata anak saya Kamal (Kamaluddin) tidak ada kemudahan bila dia ambil projek... itu tak betul.”

Menurut Abdullah, Mahathir turut mendakwa Scomi, syarikat yang Kamaluddin ada kepenting­an, mendapat kontrak mengangkut arang batu daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB) sedangkan ia tidak mempunyai kapal.

Bagaimanapun, Pak Lah berkata, hakikat sebenarnya syarikat itu adalah satu-satunya syarikat yang mempunyai 180 buah kapal sendiri untuk beroperasi.

Apa yang ditanya Mahathir pada Pak Lah sebenarnya berbalik semula kepadanya sekarang apabila beberapa exco Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), sayap belia Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) sebelum ini mempersoalkan kekayaan luar biasa anak-anak Pengerusi PPBM itu.

Berwaspadalah dengan taktik licik Mahathir. Nampaknya jerat Mahathir terhadap Pakatan Harapan mengena.