20
Sab, Okt
44 ARTIKEL BARU

Bukti Kerakusan Nafsu Besar DAP

Editorial
Typography

PADA Perhimpunan Agung UMNO 22 Jun 2002, Tun Dr. Mahathir Mohamad telah menangis di atas pentas, depan perwakilan UMNO dan mengumumkan bahawa beliau akan meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri.

Pengumuman mengejut beliau telah menggemparkan negara. Walaupun dipujuk kepemimpinan UMNO ketika itu, Dr. Mahathir tetap bersara pada 31 Oktober 2003. Ketika itu, beliau berjanji untuk ‘benar-benar’ meninggalkan politik.

 
Lapan tahun sebelumnya, iaitu semasa Pilihan Raya Umum (PRU) 1995, Lim Kit Siang telah berjanji semasa berkempen untuk mengundurkan diri sepenuhnya daripada politik jika projek Tanjung 3 tajaan DAP gagal untuk menjatuhkan Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang.
 
Pada PRU itu, Kit Siang dikalahkan oleh Tan Sri Koh Tsu Koon di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bungah. Kit Siang hanya mendapat 5,384 undi manakala Tsu Koon mendapat 13,087. Setelah keputusan itu diumumkan, Kit Siang sekali lagi mengumumkan beliau akan bersara daripada arena politik.
 
Bagaimanapun, janji dilafazkan Dr. Mahathir dan Kit Siang pada 14 dan 22 tahun lepas tidak ditepati apabila kedua-dua ve­teran itu masih lagi berpolitik, malah mereka adalah yang pa­ling aktif berpolitik mengalahkan semua ahli politik pakatan pembangkang.

Masih terngiang-ngiang jelas di telinga kita apabila Dr. Mahathir dengan lantangnya melabelkan Kit Siang sebagai rasis dan pelampau perkauman. Kit Siang pula mengatakan bahawa Dr. Mahathir adalah rasis nombor satu dalam Malaysia. Bagi Kit Siang, Dr. Mahathir adalah penjahanam negara ini.

Anwar Ibrahim juga pernah berkata bahawa Dr. Mahathir adalah perasuah besar merompak kekayaan negara dan beliau turut menyarankan agar keluarga Dr. Mahathir yang kaya raya disiasat.

Sekarang, pelampau perkauman, rasis nombor satu, penjahanam negara dan perasuah besar ini yang menerajui Pakatan Harapan serta mahu mentadbir negara. Mereka ini juga bercakap menentang rasuah, kronisme, salah guna kuasa dan antirasis. Di manakah logiknya semuanya ini?

Tetapi apabila difikirkan, adalah sangat malang apabila kepemimpinan Pakatan Harapan begitu lembik tidak mampu untuk berdiri di kaki sendiri apabila mereka terpaksa bergantung kepada individu yang berusia 93 dan 76 tahun ini untuk meneruskan ke­sinambungan politik mereka.

Ia juga boleh diterjemahkan sebagai kepemimpinan pakatan itu telah gagal untuk menyerlahkan diri masing-masing dalam arena politik negara. Kedaifan mereka itu yang menyebabkan mereka terpaksa bergantung nasib kepada dua veteran itu.

Kerana itu juga, ada pihak mengatakan bahawa kedua-dua veteran itu tidak boleh dipercayai, malah tiada prinsip kerana lebih mengutamakan agenda peribadi dan mengejar kuasa.

Lim Guan Eng, anak Kit Siang pula melenting cuba menafikan kenyataan tersebut. Seperti biasa, beliau turut menuding jari menyalahkan UMNO dan Pas kononnya memainkan sentimen perkauman dan ekstremis untuk menghina kaum Cina dengan menyebut Cina DAP.

Kenyataan itu menimbulkan persoalan iaitu apakah DAP begitu suci murni dan tidak terlibat langsung memainkan sentimen perkauman dan ekstremisme?

Sejarah tidak akan membohongi kita. Peristiwa berdarah 13 Mei 1969 adalah disebabkan oleh sentimen perkauman yang amat ekstrem diapi-apikan oleh DAP.

Sikap kurang ajar melampau tidak menghormati kaum Melayu ketika itu telah mencetuskan pe­ristiwa yang tidak mungkin akan dapat dipadamkan pada bila-bila.

Cuma yang bezanya ialah sebahagian besar rakyat tidak ambil kisah dengan peristiwa tersebut kerana ia perkara silam. Memang benar ia peristiwa silam tetapi coretan sejarah tersebut masih dibawa hingga ke saat ini di dalam dasar-dasar parti DAP.

Antara lain ialah Deklarasi Setapak yang menggariskan bahawa deklarasi itu memperkukuh pandangan DAP bahawa dalam proses membina negara, kesamarataan etnik harus menjadi prinsip paling penting dan di atas prinsip inilah pengasingan rakyat ke dalam dua kelompok bumiputera dan bukan bumiputera ditentang.

Kata mudah, DAP menentang kewujudan bumiputera, satu dasar jelas telah mencabuli Artikel 153 dalam Perlembagaan Malaysia yang menggariskan hak-hak keistimewaan Melayu dan bumiputera.

Dalam masa sama, isu Kit Siang bercita-cita untuk memegang jawatan tertinggi bukan satu perkara baharu. Beliau berbohong dan hipokrit jika menafikannya. Kit Siang telah melancarkan beberapa siri projek Tanjung di beberapa PRU untuk memastikan cita-cita beliau memegang jawatan tertinggi di Pulau Pinang tercapai. Namun gagal.

Ironinya, bibit-bibit keangkuhan dan kebongkakan kepemimpinan DAP pada era 90-an itu diulangi kepemimpinan DAP hari ini. Kerajaan DAP negeri bertambah angkuh dan berkonfrontasi dengan banyak pihak bukan ha­nya UMNO dan BN.

Komen dan rintihan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mewakili suara rakyat Pulau Pinang tidak didengari malah diperlekehkan begitu sahaja.

Yang terbaharu, Majlis Rakyat Cina Pulau Pinang (PCCC) telah membatalkan sambutan Budaya dan Warisan Tahun Baharu Cina pada tahun depan gara-gara tindakan kerajaan DAP negeri yang tidak memberi kerjasama kepada mereka. Kepemimpinan DAP kuat berdendam, satu lagi sikap buruk parti tersebut.

Beberapa kepemimpinan PKR negeri turut dianaktirikan tanpa mampu dipertahankan oleh kepemimpinan tertinggi PKR.

ADUN PKR Penanti menangis di dalam DUN meratapi kezaliman kerajaan DAP yang tidak mahu mendengar luahannya tentang permasalahan rakyat di kawasannya.

Satu lagi bukti ialah tindakan DAP yang membantah perlantikan Ir Nizar Jamalauddin sebagai Menteri Besar Perak selepas pilihanraya umum 2008. Malah, DAP turut memboikot majlis angkat sumpah Menteri Besar. Ketika itu, parti DAP mempunyai kerusi majoriti di dalam kerajaan campuran yang terdiri daripada DAP, PKR dan PAS.

Senario di Perak dan keangkuhan parti DAP ini merupakan satu doktrin yang parti DAP berkemungkinan besar akan membolot jawatan Perdana Menteri jika Pakatan Harapan menang pada PRU14 nanti.

Parti tersebut hampir pasti memiliki kerusi parlimen yang tertinggi jika dibandingkan dengan parti PAN, PPBM dan PKR. Kerana itu DAP dan sekutunya mesti ditolak pada PRU14 nanti.