26
Rab, Sep
101 ARTIKEL BARU

Mahathir!…Kembalilah Ke Pangkal Jalan

Editorial
Typography

KITA umat Islam negara ini ada ketikanya tidak sanggup berdepan dengan kerenah Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM). Bukannya  apa…kerana dalam usia yang menjangkau 93 tahun ini sanggup melakukan apa sahaja demi untuk menggulingkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Apabila Mahathir sanggup bersumpah dengan al-Quran bahawa arahan memecat bekas Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abbas bukan datang daripada beliau ketika krisis kehakiman pada 1988, kita hanya terdaya menggeleng-gelengkan kepala.

Apa nak jadi ni dengan Mahathir. Mengapa perangainya makin hari makin teruk? Bagi sebahagian orang Islam termasuklah para penyokong PAS, mereka sedar siapa itu Mahathir.

Kata Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah kelmarin, Mahathir tidak layak  bercakap tentang Islam kerana sejak dahulu lagi "begitu alergik dengan agama".

Sudah menjadi rahsia umum Mahathir pernah  menghina Rasulullah SAW dengan mengatakan baginda tiada RM2.6 bilion di dalam akaun dan Rasulullah juga tidak ada akaun 1MDB sehingga ramai yang beristighfar dan terkejut.

Kalau ikut sejarah Mahathir pun, ini bukan kali pertama beliau menghina Rasulullah SAW. Pada  1997,  Mahathir pernah memperlekehkan janggut Rasulullah SAW dengan berkata:

“Siapa tahu janggut Nabi macam mana?

Siapa biasa tengok janggut Nabi, ada gambar? Di zaman tu dia bukan ada Gillette.

Pisau cukur pun tiada zaman tu, jadi macam mana nak cukur. Naik unta sana sana sini. Bukan boleh dapat air di padang pasir.”

Dikatakan oleh kerana keceluparan kata-katanya itulah membuatkan Barisan Nasional (BN) kehilangan kerusi Parlimen Arau dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) 1998.

Jadi, bila Mahathir sanggup bersumpah dengan al-Quran untuk menafikan pemecatan Tun Salleh datang daripadanya, kita akan berfikir sejenak…’biar betul Mahathir ni’.

Kalau begitu, kita cabar juga Mahathir supaya bersumpah dengan al-Quran berkaitan adakah beliau tidak terlibat dan mengarahkan siasatan kes Datuk Seri Anwar Ibrahim meliwat.

Kita cabar beliau adakah beliau tidak terlibat juga dengan kes Memali dan benarkah beliau berada di luar negara ketika itu.

Kita cabar beliau berkaitan skandal Forex. Benarkah beliau tidak tahu menahu berkaitan perkara tersebut.

Kita cabar beliau bersumpah bahawa beliau tidak pernah menggunakan wang rakyat untuk bailout syarikat kroni beliau.

Sebenarnya, jawapan untuk semua soalan tadi telah ada.

Justeru, tidak hairanlah Mahathir apabila berada bersama DAP, beliau perlu menunjukkan yang beliau lebih DAP dari DAP sehingga sanggup memperlekehkan Islam dan junjungan Besar Rasulullah SAW sendiri.

Hanya DAP sahajalah yang sanggup melayan Mahathir. Sebagai orang Islam, kita hanya mampu berdoa agar Mahathir kembali ke pangkal jalan dan beribadat sementara usia kehidupan masih diizinkan-Nya.