12
Sel, Dis
906 ARTIKEL BARU

Pemimpin UMNO Hanya Berpeluk Tubuh Ketika Bos Diserang

Blog
Typography

KUALA LUMPUR: Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee meluahkan rasa kesal terhadap segelintir barisan kepimpinan UMNO yang dilihat hanya berpeluk tubuh ketika 'bos' mereka, Datuk Seri Najib Razak diserang hebat pihak pembangkang.

Menurutnya, sikap berdiam diri pemimpin UMNO memberi peluang kepada pihak pembangkang menyebarkan tanggapan negatif kononnya ada pihak dalam UMNO yang tidak menyokong kepimpinan Najib.

“Ada yang bertanya, kepimpinan UMNO mempunyai barisan Majlis Tertinggi (MT), Wanita, Pemuda dan Puteri tetapi mengapa membiarkan Najib seperti keseorangan berdepan dengan serangan pihak pembangkang,” katanya dalam catatan terbaru di blog, umnobahagiancheras.blogspot.com, semalam.

Beliau dalam kenyataan sama menyatakan persepsi berdiam diri perlu diperbetulkan agar Barisan Nasional (BN) tidak rugi terutamanya menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Sehubungan itu, beliau menegaskan saf UMNO di semua peringkat sewajarnya bingkas bangun mempertahankan parti dan kepimpinan Najib selaku presiden.

“Kita kena terjemahkan sokongan dan kesetiaan kepada presiden dan timbalan presiden, kita kena bangun dan tidak membiarkan mereka menjadi mangsa serangan fitnah pembangkang.

“Dalam keadaan sekarang, kita sepatutnya bersatu dan bersama presiden (Najib) mempertahankan kewibawaan UMNO dan sekaligus menyakinkan rakyat terhadap perjuangan parti,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Syed Ali turut mengingatkan supaya ahli UMNO tidak menggunakan platform media sosial untuk menzahirkan rasa tidak puas hati kerana tindakan tersebut boleh memburukkan antara satu sama lain.

Katanya, beliau bimbang sekiranya perbezaan pendapat yang diluahkan secara terbuka itu akan dieksploitasi pihak pembangkang untuk menyerang UMNO dan sekaligus boleh mempengaruhi fikiran rakyat.

“Apabila timbul kata-mengata atau sangkaan kurang baik terhadap sesama pemimpin UMNO, sudah pasti akan memberi kesan negatif kepada masyarakat umum.

“Inilah yang di tunggu pihak pembangkang dan kumpulan anti-kerjaaan yang sedang bertungkus lumus untuk menjatuhkan pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak,” katanya.