17
Sel, Okt
757 ARTIKEL BARU

Jangan Berkomplot, Tak Ada Krisis Antara Najib Dan Dr M

Blog
Typography

KUALA LUMPUR: Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee berkata, tiada berlaku krisis antara Tun Dr Mahathir Mohamad dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sehingga boleh menjejaskan pentadbiran kerajaan dan parti.

Sebaliknya jelas beliau, perkara itu sengaja diperbesarkan oleh pihak tertentu termasuk media sosial untuk menburukkan imej pentadbiran Najib.

Beliau menolak tanggapan sesetengah pihak kononnya bekas Perdana Menteri berbalah dengan Najib.

Tetapi katanya, kemungkinan berlaku perselisihan pendapat antara kedua pemimpin berkenaan.

“Tidak ada krisis antara mereka, cuma barangali berlaku perselisihan pendapat atau pertembungan pandangan yang berbeza,” tegasnya.

Syed Ali percaya Dr Mahathir tidak mempunyai niat buruk terhadap Najib sehingga memaksa Perdana Menteri meletakkan jawatan.

“Saya tidak percaya Dr Mahathir berusaha untuk menjatuhkan Najib, ini semua provokasi pihak berkepentingan,” tegasnya.

Najib juga kata beliau, tidak bersangka buruk terhadap segala teguran dan pandangan yang disuarakan oleh Dr Mahathir.

“Kedua pemimpin itu berjiwa besar, mereka sayangkan UMNO, tidak mungkin berlaku perbalahan yang boleh menjejaskan kekuatan parti,” tegasnya.

Beliau berkata, kemungkinan ada komplot sengaja memperalatkan Dr Mahathir untuk menggugat kedudukan Najib selaku Perdana Menteri dan Presiden UMNO.

“Kadangkala teguran keras Dr Mahathir sengaja diperbesarkan menerusi media atau laman-laman sosial kononnya Dr Mahathir berbalah dengan Najib,” katanya.

Najib, jelas beliau lagi, merupakan presiden parti yang sedia mendengar pandangan dan kritikan daripada semua pihak termasuk daripada bekas pemimpin.

“Saya tidak nampak berlaku sebarang perbalahan sepertimana digembar-gemburkan oleh sesetengah pihak termasuk pihak media.

Beliau juga mendakwa perbezaan pendapat antara Dr Mahathir dengan Najib sengaja diperbesarkan oleh parti pembangkang.

Menurut Syed Ali lagi, isu percanggahan pendirian Dr. Mahathir dengan Najib juga tidak sepatutnya menjadi perbahasan di kalangan pemimpin UMNO.

“Tak perlu dibahaskan secara terbuka, itu semua agenda pihak berkepentingan, mengapa kita perlu ikut rentak mereka,” tegasnya.

“UMNO parti terbesar, sudah tentu berlaku sedikit pergeseran pendapat dikalangan pemimpin, itu perkara lumrah tetapi bukan membawa maksud berbalah hingga menjejaskan parti.

Sebalikinya ujar beliau, pemimpin UMNO perlu melihat secara positif dalam isu tersebut dan tidak menjadikan laporan media sebagai sumber perbahasan.

“Media termasuk portal berita pro-pembangkang sememangnya akan menjadikan isu Dr. Mahathir dan Najib sebagai laporan sensasi, ini semua tidak menguntungkan UMNO,” katanya.

Tak perlu ‘orang tengah’

Mengulas kesediaan Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Shahidan Kassim yang dilaporkan bersedia menjadi ‘orang tengah’ menyelesaikan krisis itu, Syed Ali berkata: “Pada hemat saya, kalau tidak ada sebarang krisis, mengapa perlu ada orang tengah”.

Beliau khuatir perkembangan itu akan menimbulkan persespi pelbagai di kalangan masyarakat umum terhadap UMNO.

Bagaimanapun beliau menghormati kesediaan Shahidan yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Seeloknya kata beliau, kepimpinan parti perlu bertemu dengan Dr Mahathir menjelaskan keadaan yang sebenarnya.

“Barangkali Dr Mahathir mendapat laporan tidak betul, ini yang kita perlu perjelaskan,” ujarnya.

Seperti Najib, ujar beliau, Dr Mahathir juga seorang pemimpin yang sedia mendengar pandangan dan teguran orang lain.

Beliau yang juga Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan, menegaskan, yang penting semua pihak harus melihat isu tersebut sebagai soal dalaman parti.

“Dr Mahathir orang UMNO, kita semua orang UMNO, mengapa kita nak perbesarkannya,” ujarnya lagi.

“Ini semua mungkin komplot dan agenda pihak tertentu, termasuk pembangkang untuk menghancurkan perpaduan dalam UMNO.

Sehubungan itu, beliau mengulangi sokongannya terhadap kenyataan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein yang menjelaskan sebarang perbalahan sewajarnya dibawa ke meja rundingan.

Tambah beliau, apa juga perbezaan pendapat tidak pelru diperdebatkan secara terbuka terutama menerusi media sosial atau akhbar.