24
Sel, Apr
953 ARTIKEL BARU

Minta Pemantau Asing, Rakyat Tak Lupa Fitnah Pembangkang

Editorial
Typography

PEMBANGKANG baru-baru ini mendesak supaya badan pemerhati asing dijemput memantau perjalanan PRU14 kononnya bagi memberi keyakinan kepada rakyat terhadap integriti pilihanraya yang bakal dijalankan. Antara yang bersuara mengenainya adalah Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Gesaan ini sebenarnya perlu dilihat sebagai suatu bentuk ancaman kepada kedaulatan dan sistem demokrasi negara. Selain itu ia juga secara tidak langsung merupakan satu bentuk penghinaan dan percubaan untuk membunuh semangat kakitangan awam di bawah Suruhanjaya Pilihanraya (SPR). Jasa dan profesionalisme mereka tidak wajar dinafi dan diperlekehkan hanya kerana mahu memenuhi nafsu dan agenda tersembunyi pakatan pembangkang.

Tuntutan pembangkang ini juga sebenarnya tidak rasional. SPR selaku pihak yang bertanggungjawab menjalankan pilihanraya di negara ini sudah mempunyai pengalaman menjalankan pilihan raya umum sebanyak 13 kali. Sekiranya SPR tidak telus, tidak mungkin pihak pembangkang berjaya menguasai beberapa buah negeri seperti Kelantan, Pulau Pinang dan Selangor.

Sesungguhnya perjalanan pilihanraya di Malaysia dilaksanakan secara telus memandangkan kesemua calon bertanding dibenarkan melantik ejen mewakili mereka di setiap pusat dan saluran pengundian sepanjang tempoh mengundi dan kiraan undi.

Tindakan terbaru yang didalangi pembangkang ini sebenarnya tidak lebih daripada satu lagi cubaan untuk membangkitkan sentimen di kalangan rakyat. Namun begitu rakyat Malaysia tidak mungkin lupa akan fitnah dan penipuan pembangkang dengan dakwaan 40 ribu pengundi Bangladesh dibawa masuk pada PRU yang lalu. Sesungguhnya permainan persepsi dan fitnah adalah suatu lumrah dan makanan harian pihak pembangkang.

Berbicara soal penambahbaikan pilihanraya, di sini penulis ingin kongsikan beberapa pembaharuan yang telah diperkenalkan oleh SPR sejak Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 yang lalu. 

i.    Penggunaan dakwat kekal

Dakwat kekal dilaksanakan oleh SPR dalam PRU-13 di mana setiap pengundi diwajibkan jarinya dicalit dengan dakwat kekal sebelum kertas undi dikeluarkan kepada pengundi.

Objektif dakwat kekal ialah untuk mengelakkan daripada berlakunya percubaan oleh mana-mana pengundi untuk mengundi lebih daripada sekali dan memastikan ketelusan dan integriti pilihanraya.

Perkara ini sejajar dengan salah satu daripada lapan tuntutan yang dikemukakan oleh Gabungan Pilihan Raya Adil dan Bersih (BERSIH) yang mendakwa penggunaan dakwat kekal boleh mengelakkan kewujudan pengundi hantu sewaktu hari pembuangan undi.

ii.    Pengundian awal

Sebelum ini banyak pihak yang mempertikaikan ketelusan perjalanan proses Undi Pos kepada anggota dan tentera dan pasangan. Sebagai langkah mereformasikan sistem Undi Pos, SPR telah memperkenalkan proses Pengundian Awal bagi anggota tentera serta pasangan dan anggota polis serta pasangan kepada anggota Polis Gerakan Am (PGA).

Ditetapkan tiga hari lebih awal dari hari pengundian biasa, ia akan dijalankan di dalam suatu tempat mengundi yang ditetapkan SPR iaitu di Ibu Pejabat Kontinjen/Ibu Pejabat Daerah bagi polis; di kem bagi tentera.

Pengundian awal akan dijalankan mengikut kaedah pengundian biasa dengan dikendalikan oleh para petugas SPR dan tidak lagi menggunakan anggota-anggota polis atau tentera.

Tuntutan Bersih sebelum ini turut menggesa SPR supaya mereformasikan undi pos di mana dakwanya semua pengundi seharusnya dibenarkan untuk mengundi melalui undi pos atau mengundi lebih awal sekiranya seseorang individu itu tidak dapat berada di kawasan pengundian semasa hari mengundi.

iii.    Membenarkan orang dipercayai oleh Orang Kelainan Upaya (OKU) untuk membantu proses pengundian

Bagi maksud memberi kemudahan kepada OKU samada cacat penglihatan atau kecacatan fizikal lain pada hari pengundian, SPR telah meminda peraturan 19 Peraturan-peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan Raya) (Pindaan) 2012, diwartakan pada 13 Februari 2012.

Dengan pindaan kepada peraturan ini, mana-mana OKU boleh membawa mana-mana orang yang dipercayai oleh OKU untuk membantu semasa proses pengundian di tempat mengundi.

Orang yang dipercayai dan dinamakan oleh pengundi OKU itu hendaklah seorang warganegara berumur 21 tahun dan ke atas dan tidak semestinya berdaftar sebagai pemilih.

iv.    Pemansuhan bantahan terhadap kertas penamaan pada hari penamaan

Dilaksanakan pertama kali dalam PRU-13, proses bantahan terhadap kertas penamaan pada Hari Penamaan Calon akan dimansuhkan. Ini selaras dengan pindaan Peraturan 7 Peraturan-peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan Raya) (Pindaan) (No.2) 2012 yang diwartakan pada27 April 2012 dan berkuatkuasa pada 30 April 2012.

Sebelum ini selepas tempoh penyerahan kertas penamaan calon (dari jam 9.00 pagi hingga 10.00 pagi), kertas penamaan itu akan dipamerkan untuk semakan atau bantahan oleh mereka yang layak membuat bantahan. Dengan pindaan tersebut, maka tidak ada lagi tempoh bantahan. Selepas setiap kertas penamaan diterima, Pegawai Pengurus akan menyemak secara teliti dari sudut kelayakan setiap bakal calon yang hendak bertanding dalam pilihan raya.

v.    Memberikan akses media yang bebas dan saksama kepada calon yang bertanding

SPR dengan kerjasama Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK), bersedia untuk memberikan akses kepada media awam kepada semua parti politik yang bertanding dalam PRU. Satu mekanisme pelaksanaannya telah ditetapkan, parti-parti politik yang bertanding perlu memohon kepada SPR untuk mendapatkan slot ‘air time’ di televisyen dan radio (RTM).

Setiap parti politik akan diberi tempoh masa siaran yang akan ditetapkan untuk mereka menyiarkan manifesto parti masing-masing dan siaran ini akan dibuat secara rakaman.

Perkara ini turut selari dengan salah satu tuntutan BERSIH iaitu untuk akses media yang bebas dan adil.