25
Rab, Apr
958 ARTIKEL BARU

Kit Siang, Konco-konconya  Penyebar Berita Palsu

Editorial
Typography

TERKEJUT, macam nak pitam rasanya apabila Penasihat DAP, Lim Kit Siang mengeluarkan kenyataan `bongkak’nya  mengatakan Barisan Nasional  serta UMNO lah  penyumbang terbesar berita palsu di negara ini.

Sebab itu dakwanya, kerajaan mahu mewujudkan akta atau undang-undang menyekat penyebaran berita palsu. Hai! Kit Siang kalau nak bohong rakyat, tengoklah harinya.

Benarlah kata orang tua-tua, “Orang baik jarang mengaku jahat, tapi orang jahat seronok mengaku baik.”

Siapa sebenarnya penyebar berita palsu? Bukankah anda Kit Siang dan suku-sakat anda dalam Pakatan Harapan?

Anda dan parti anda sendiri, DAP sudah menguar-uarkan pasal Malaysia ini akan bankrap sejak sejak tahun 60-an lagi. Malah pada 1978, anda Kit Siang turut menulis sebuah buku berjudul “Bom Jangka di Malaysia” dengan  memberi amaran kononnya Malaysia akan bankrap dan menjadi negara gagal tidak lama lagi.

Pada tahun ini, 2018 menjadi tahun ke-40 bagi tuduhan anda bahawa kononnya ‘bom jangka’ dikatakan meletus.

Padahal, dalam laporan terbaharu Bank Dunia pada tahun lalu menyatakan Malaysia adalah satu daripada 13 negara yang dikenal pasti dalam Laporan Pertumbuhan oleh Suruhanjaya Pertumbuhan dan Pembangunan mencatatkan pertumbuhan purata lebih tujuh peratus setahun dalam tempoh 25 tahun.

Pengiktirafan itu menjadikan Malaysia setaraf dengan negara-negara dalam Pertubuhan Ker­jasama dan Pembangunan Eko­nomi (OECD).

Cerita Malaysia hendak bankrap ini kisah lama. Kalau diikutkan sangat fitnah dan dakyah pembangkang, Malaysia sudah pun bankrap pada akhir Oktober 20016  lagi. Yang hairannya, agak ramai pula yang mempercayainya. Padahal, ekonomi negara bahkan ekonomi dunia mempunyai kitaran naik turunnya.

Itu cerita Kit Siang sebar berita palsu `Malaysia bakal bankrap’, ha! cuba tengok seorang lagi ni, Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli.

Bukan sedikit akibat dari pembohongannya bahawa konon penyata kewangan Tabung Haji berakhir 31 Disember 2015 yang dianalisisnya menunjukkan bahawa badan itu tidak mempunyai wang yang mencukupi untuk membayar balik semua pendeposit sekiranya mereka mengeluarkan wang sekali gus.

Ini berikutan pada Januari 2017, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom mendedahkan sebanyak RM500 juta wang simpanan dikeluarkan dari Tabung Haji  sepanjang tahun lalu berikutan pelbagai fitnah yang dilemparkan oleh pembangkang terhadap institusi itu.

Tindakan tidak bertanggungjawab dilakukan oleh Rafizi menyebabkan 3,600 pendeposit menarik diri daripada pergi mengerjakan ibadah itu.

Bukanlah Rafizi itu penyebar berita palsu ke Kit Siang?

Itu belum masuk bab Rafizi menjaja  isu ‘cincin’ sebelum Pilihan Raya Umum Ke-13 hanya untuk me­nim­bulkan kebencian rakyat.

Kemudian setelah diheret masuk ke mahkamah dan disoal, barulah si Rafizi ini bersuara bahawa kenyataan isu cincin isteri pemimpin kerajaan itu hanyalah lawak jenakanya.

Dakwaan sedemikian rupa seolah-olah sesiapa sahaja yang membuat fitnah boleh lepas de­ngan alasan lawak jenaka.

Terbaharu kelmarin, Rafizi dan bekas kerani bank Johari Mohamad masing-masing dihukum 30 bulan penjara  selepas didapati bersalah membocorkan data perbankan berhubung akaun National Feedlot Corporation Sdn Bhd. Tak habis-habis kau ni Rafizi.

Takkanlah Kit Siang juga `bengong’ tidak mengikuti suatu kisah penyebaran berita palsu yang `paling klasik’ apabila Pe­nasihat PKR, Anwar Ibrahim pada kempen pilihan raya umum sebelum ini mendakwa kira-kira 40,000 warga Bangladesh ko­nonnya dijadikan ‘pengundi hantu’. Tetapi sehingga kini tiada langsung permohonan maafnya. Terbukti bohong semata-mata.

Sandiwara pembohongan 16 September 2008, masih ingatkah? Ketika itu ada kalangan wakil pembangkang sendiri telah dibohongi kononnya sejumlah ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang akan me­lompat sudah lebih daripada mencukupi.

Yang di-Pertuan Agong pula dikatakan kononnya sedang menunggu di Istana untuk mendapat pengesahan jumlah ahli Parlimen BN yang akan melompat dan memberi perkenan Tuanku untuk pakatan rakyat membentuk Kerajaan Persekutuan. Malah baginda dikatakan sudah berkenan dan merestui ‘YB Permatang Pauh’ sebagai Perdana Menteri keenam. Dikatakan nombor plat kereta pun sudah ditukar menjadi WMK 6.

Rakyat digula-gulakan manakala wakil rakyat pembangkang disogok cerita kononnya Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan ATM juga memberikan sokongan pembentukan Kerajaan Persekutuan oleh pakatan rakyat.

Kit Siang oh! Kit Siang, anda `butakah’ atau anda sengaja mahu memperbudak-budakkan rakyat Malaysia bahawa anda dan Pakatan Harapanlah penyebar berita palsu di negara ini.

Bukan UMNO, bukan BN, sebaliknya `hantu raya ‘ dalam isu penyebaran berita palsu adalah orang-orang anda sendiri Kit Siang.