19
Rab, Dis
7 ARTIKEL BARU

Azmin Tidak Akan Terlepas Lagi

Editorial
Typography

`BERPERANG' politik dengan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, lawannya kena tahu`seni silatnya'. Tak boleh pakai hentam keromo sahaja tetapi kena faham rentak si licik ini yang biasanya akan menang dengan retoriknya.

Skandal tanah peneroka Ijok adalah antara isu terbaharu yang dikategorikan dalam kes penyelewengan menteri besar itu.

Pengasas Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Badrul Hisham Shaharin atau dikenali Chegubard menyatakan skandal tanah Ijok akan menjadi punca utama kepada kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan di Selangor jika pihaknya tidak bertegas dalam menangani isu tersebut.

Jadi, buktikan sehingga `ke lubang cacing' berlaku penyelewengan kerajaan Selangor di bawah pentadbiran Azmin yang dikatakan membayar kepada dua syarikat yang gagal menunaikan tanggungjawab mereka membangunkan kawasan di Ijok tersebut, malah dibayar pula dengan sejumlah pampasan yang banyak.

Kita yakin jika cukup buktinya, Azmin akan tersungkur kali ini dalam skandal tanah Ijok.

Lagipun,  bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim turut mempersoalkan mengapa tanah terbabit dipulangkan kepada pihak berkenaan, sebelum kawasan itu kemudiannya dijual kepada pihak lain.

Banyak bukti boleh dikehadapankan dalam isu skandal tanah Ijok.

Antaranya, mengapa  Azmin begitu tergesa-gesa melalui kerajaan negeri pimpinannya menyerahkan tanah bernilai RM1.18 bilion di mukim Ijok kepada dua syarikat pada 2016.

Tindakan menyerahkan tanah seluas kira-kira 880 hektar itu sebelum kes berkenaan didengar di Mahkamah Persekutuan, menimbulkan pelbagai persoalan kerana keputusan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan memihak kepada kerajaan negeri dalam isu mendapatkan balik tanah itu.

Apa justifikasi Azmin untuk menyerahkan tanah ini kepada Mujur Zaman Sdn Bhd dan LCBN Development Sdn Bhd sedangkan keputusan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan memihak kepada keputusan Abdul Khalid, iaitu bekas Menteri Besar untuk mengambil semula tanah itu.

Kenapa Azmin tidak menunggu kes ini didengar dulu di Mahkamah Persekutuan memandangkan kerajaan negeri menang kes itu. Kenapa tergesa-gesa membuat keputusan yang merugikan kerajaan negeri dan rakyat Selangor?

Azmin tidak akan terlepas lagi kali ini setelah beberapa penyelewengan membabitkan dirinya termasuklah skandal seks dan rasuah `berlalu' begitu sahaja.