26
Rab, Sep
101 ARTIKEL BARU

Janji Hapus GST, Ampunkan Anwar Bagaimana Wahai Mahathir!

Editorial
Typography

Eh! tiba-tiba sahaja Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr. Mahathir Mohamad buat `perakuan berani yang ikhlas' bahawa pakatan itu  tidak mampu memenuhi semua janji ditabur pemimpin mereka andai berkuasa nanti.

Jadi, adakah ini bermakna janji Pakatan Harapan mahu menghapuskan cukai barang dan perkhidmatan (GST) tidak akan dikotakan?

Atau yang lebih utama lagi ialah janji untuk memohon pengampunan diraja buat Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum melantik Ketua Umum PKR itu sebagai Perdana Menteri kelapan selepas Dr. Mahathir duduki buat sementara jawatan PM ke-7, akan dilunaskan pakatan itu.

Ini semua perlu ditanya balik oleh penyokong dan pengikut PKR setelah Dr. Mahathir secara mengejut mengakui bahawa Pakatan Harapan terpaksa menilai semula kira-kira 60 janji pemimpin mereka setakat ini, sebelum disenaraikan dalam manifesto untuk dikemukakan kepada pengundi menjelang PRU-14.

Senang sahaja berjanji, kemudian dimungkiri. Bahkan, Dr. Mahathir boleh pula mendakwa bahawa kepemimpinan Pakatan Harapan tidak terikat kepada kenyataan dan janji dibuat pemimpin tertentu jika mendapati ia di luar kemampuan kewangan.

Maka kalau sudah empunya diri buat perakuan begitu, adakah ini bermaksud  pembangkang harus memperjelaskan kepada rakyat mengapa GST dilaksanakan kerajaan.

Tidak perlu ke sana sini mentohmah dan memperlecehkan pelaksanaannya.

GST terbukti membantu mengurangkan ekonomi gelap dan menjadikannya lebih sukar bagi mereka yang hendak mengelak diri dari membayar cukai.

Bahkan, sebuah kerajaan hanya akan menjadi kerajaan yang memenuhi aspirasi rakyat jika ia mempunyai sumber ekonomi yang stabil. Sebab itu kerajaan mengambil langkah tepat menerusi GST.

Tahun lalu sahaja GST yang berjaya dipungut adalah RM44 bilion berbanding RM41 bilion pada 2016.

Malah, Singapura baru-bari ini mengumumkan kenaikan terbaharu GST kepada sembilan peratus berbanding tujuh peratus sebelum ini. Namun Malaysia masih kekal pada enam peratus - kadar GST antara yang paling rendah di dunia.

Dan persoalan yang paling popular perlu dijawab Dr. Mahathir sendiri adakah dia jujur mahu membebaskan Anwar dari penjara.

Jika itupun gagal dipenuhinya nanti, apakah maknanya kepada pemimpin, ahli dan penyokong PKR yang masih mengharapkan `belas ihsannya' kelak untuk menjadikan Anwar sebagai PM ke-8.