18
Sab, Ogs
62 ARTIKEL BARU

Cukuplah Mahathir, Mukhriz...Jangan Lagi Tipu PPBM Kedah

Editorial
Typography

SEDIH mendengar laporan kes berebut kerusi bertanding di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pedu  antara orang Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan PKR beberapa hari lalu.

Akhirnya PKR `diberi mandat dan berhak' menempatkan calonnya situ sehinggakan penyokong PPBM  naik angin dan  marah  membakar bendera PPBM di Lubuk Merbau.

Janganlah marah wahai penyokong PPBM. Realitinya sebab apa PKR lebih `layak' berbanding anda dari PPBM kerana keyakinan pihak atasan Pakatan Harapan terutama dari DAP dan PKR tidak ada pada PPBM untuk merampas Kedah dari tangan Barisan Nasional (BN).

Walaupun dimomokkan oleh sebilangan penyokong pembangkang bahawa `Kedah hak mutlak Tun Dr. Mahathir Mohamad dan anaknya, Datuk Seri Mukhriz', hakikatnya tidak begitu.

PPBM Kedah luarannya nampak gah namun dasarnya bercelaru. Apatah lagi sejak seorang demi seorang pemimpin akar umbinya membuat keputusan keluar parti itu termasuk lima pemimpin srikandi PPBM di Kedah, baru-baru ini.

Sememangnya benar bahawa ribuan rakyat yang sering hadir dalam siri ceramah pembangkang terutama dengan kehadiran Dr. Mahathir selaku Pengerusi PPBM tidak langsung boleh dijustifikasikan sebagai parti itu terlalu kuat selagi organisasi di akar umbinya bercelaru dan lemah.

Seperkara lagi, semua maklum perihal kerenah Mukriz,  bekas Menteri Besar Kedah yang tidak mempunyai akar umbi di negeri Jelapang padi itu.

Sepanjang pentadbirannya tidak banyak usaha dilakukan oleh Mukhriz untuk memajukan Kedah. Kelibatnya bersama rakyat  hanya ketara menjelang saat-saat akhir pemecatannya bila dia sendiri melihat nasib tidak lagi menyebelahinya dalam kerajaan dan parti.

Mukhriz dilihat sukar menyesuaikan diri dengan Kedah. Jika di hujung minggu menteri besar atau ketua menteri lain sibuk melawat kawasan, Mukhriz pula akan kemas bajunya bergegas ke lapangan terbang untuk balik ke Kuala Lumpur.

Hatinya dan rumahnya di Kuala Lumpur, bukan di Kedah. Ada satu-satu ketika mesyuarat Exco negeri pun diadakan di Kuala Lumpur.

Isterinya? Isteri Mukhriz berada di Kedah  sekali sekala. Kalau ada event besar sahaja, si isteri akan muncul.

Masih ingatkah semasa Mukhriz  mengadakan sidang media meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar Kedah pada 6 Februari 2016.

Sebaik sahaja selesai, dia segera ke lapangan terbang untuk balik ke Kuala Lumpur.

Kalau dilihat penyokong-penyokongnya yang menyambut di Lapangan Terbang Subang pada hari berkenaan pun hanyalah sekadar seramai satu meja makan yang besar. Mana perginya yang lain?

Begitu juga penghinaan yang pernah dibuat oleh Mukhriz terhadap Menteri Besar Kedah, Ahmad Bashah Hanipa sedangkan pada sebarang masa Ahmad Bashah tidak pernah sekali pun berkata buruk tentang Mukhriz, apatah lagi menghina fizikalnya.

Malahan, sewaktu Mukhriz dibawa balik ke dalam UMNO Kedah, Ahmad Bashah sanggup berundur dan memberikan ruang kepada Mukhriz. Mukhriz yang tidak tahu apa-apa tentang Kedah, diajar dan dibantu.

Dan walaupun Mukhriz selaku Bendahari UMNO Kedah, yang mencari duit untuk pengurusan dan pentadbiran UMNO Kedah adalah Ahmad Bashah. Apa yang diterima oleh Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal sewaktu mengetuai Kedah sebagai Naib Presiden yang menjaga negeri itu, itulah juga bantuan yang diberikan oleh Ahmad Bashah dan UMNO Kedah kepada Mukhriz.

Keadaan berterusan apabila Mukhriz dilantik sebagai Pengerusi UMNO Kedah dan seterusnya Menteri Besar Kedah. Orang yang dihina itulah yang menggalas tugas Mukhriz kerana Mukhriz terlalu sibuk berulang-alik antara Kuala Lumpur-Alor Star dan kemudian bercuti ke luar negara bersama anak isterinya.

Dalam PRU-13 pada 2013, BN Kedah berjaya memenangi 10 kerusi Parlimen daripada 15 kerusi sementara PKR (4) dan Pas (1). Di peringkat DUN pula yang mempunyai 36 kerusi, BN (21), Pas (9), PKR (4) dan DAP (2).

Namun dengan kejadian lompat parti kedudukan terkini kerusi parlimen adalah, BN (10), Bebas (1), PKR (4) sementara DUN pula, BN (20), Pas (7), PKR (4), DAP (2), PAN (1) dan PPBM (2).

Ketika ini, BN Kedah merancang untuk menambah kerusi DUN terutama di bahagian selatan Kedah demi mengukuhkan parti itu sementara pembangkang pula terutama PPBM jelasnya masih terkial-kial mencari calon.