24
Kha, Mei
873 ARTIKEL BARU

Orang Melayu Akan Ajar Pakatan Harapan…Nantikanlah!

Editorial
Typography

Astaghfirullahalazim, apalah nak jadi dengan Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr. Mahathir Mohamad ini. Beristighfar banyak kali kita mendengar kerelaan Dr. Mahathir yang sanggup menjadi umpan bagi Pakatan Harapan meraih undi Melayu.

Dan semua khususnya umat Islam negara ini maklum bahawa Pakatan Harapan di atas kertas sahaja `dikepalai’ tiga Melayu iaitu Dr. Mahathir, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isterinya, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, padahal ketua sebenar yang bertindak sebagai `tok dalang’ adalah DAP.

DAP yang memiliki kerusi terbanyak dalam kalangan parti pembangkang adalah kepalanya, sekali gus bermakna kerelaan Dr. Mahathir menjadi umpan DAP untuk meraih undi Melayu buat parti cauvinis itu untuk berkuasa nanti.

Sayang sekali dalam usia menginjak 93 tahun, Dr. Mahathir rela dijadikan `lembu dicucuk hidung’ oleh DAP.

Barangkali Dr. Mahathir akan berhujah dahulunya Parti Melayu Semangat 46 (S46) pun bersahabat dengan DAP. Tetapi perlu diingatkan, per­sahabatan itu putus apabila DAP berperlakuan musang berbulu ayam yang melukai perjuangan asas parti itu untuk Melayu.

Itu juga antara sebab pembubaran parti S46.

Orang Melayu khususnya Dr. Mahathir mesti ingat bahawa DAP langsung tidak boleh dikongsi persyarikatan politik kerana matlamat perjuangannya tidak bertunjangkan kedaulatan dan kepentingan orang Melayu.

Walaupun ada cakap-cakap mengatakan Dr. Mahathir dikatakan kini bergabung dengan DAP untuk memusnahkan UMNO, perkataan paling tepat adalah beliau sebenarnya bertindak membelakangi parti pejuang kemerdekaan itu.

Ini disebabkan dirinya mencampur-adukkan matlamat peribadi dengan perjuangan parti baharunya. UMNO dibelakanginya dengan harapan boleh membawa pengaruh aura kepemimpinan lama dengan politik arus perdana.

Sedangkan, UMNO masih utuh dan menjadi sandaran orang Melayu.

Dr. Mahathir tidak sepatutnya kecewa apabila ramai pemimpin dan ahli UMNO marah kepadanya kerana bekerjasama dengan Pengerusi DAP, Lim Kit Siang untuk menumbangkan Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Perdana Menteri dan Presiden UMNO.

Ini kerana itulah budaya yang beliau ajar kepada ahli UMNO sejak dahulu supaya mengutamakan parti, negara dan rakyat daripada kepentingan diri.

Apa pun, kerelaan Dr. Mahathir untuk dijadikan umpan meraih undi orang Melayu oleh Pakatan Harapan membuktikan bekas Perdana Menteri yang juga Pengerusi PPBM itu sanggup mengeksploitasi emosi seseorang sehingga menyebabkan orang Melayu berfikir beliau memperjuangkan nasib mereka.

Itu sebabnya beliau sering berkata, orang Melayu bodoh. Kemahiran politiknya menakjubkan.

Dan Dr. Mahathir sanggup mengambil strategi menyerang bagi mengelakkan orang lain mendedahkan salah lakunya.

Tungggulah Dr. Mahathir! Anda tidak akan menjadi `umpan’ sebaliknya orang Melayu akan `mengumpan’ anda untuk `membinasakan’ DAP.