21
Isn, Mei
933 ARTIKEL BARU

Slogan C.A.T DAP Hancur Lebur...

Editorial
Typography

HAIRAN, kenapa kali ini `nampak telus'? Ini apabila kerajaan Negeri Pulau Pinang mengesahkan terdapat beberapa ketidakpatuhan berlaku dalam pengurusan permohonan pengagihan wang bantuan banjir berjumlah RM700.00 kepada mangsa banjir pada 4 dan 5 November tahun lalu.

Pendedahan ini berdasarkan kenyataan yang dikeluarkan oleh Unit Komunikasi Korporat dan Inovasi kerajaan negeri itu setelah satu siasatan dalaman dibuat bagi menyemak punca kejadian itu.

Belum pernah berlaku pendedahan berkaitan soal ketidaktelusan seperti ini di Pulau Pinang, tetapi `tiba-tiba terjadi'. Agak menghairankan ya.

Kalaulah ketelusan dalam isu pengagihan wang bantuan banjir ini dipraktikkan juga dalam kontroversi pembinaan projek terowong dasar laut sepanjang 7.2 kilometer, sudah pastilah kerajaan negeri dikepalai DAP tidak `haru-biru' seperti sekarang ini.

Penyelewengan dalam projek terowong dasar laut memalukan kerajaan DAP Pulau Pinang.

Projek terowong  sepanjang 7.2 kilometer yang menghubungkan Persiaran Gurney ke Bagan Ajam di Seberang Perai dan tiga jalan utama itu dianugerahkan kepada Konsortium Zenith BUCG Sdn. Bhd. membabitkan beberapa syarikat.

Tidak lama kemudian, projek itu mencetuskan pelbagai kontroversi. Ini termasuk kos kajian kebolehlaksanaannya yang terlalu tinggi selain kaedah pembayaran membabitkan pertukaran tanah kerajaan negeri serta pelaksanaannya dibantah penduduk negeri yang bimbang dengan impak ekonomi, sosial dan alam sekitar.

Setakat ini pasukan penyiasat telah merekod keterangan kira-kira 20 individu bagi melengkapkan kertas siasatan kes berkenaan.

Mereka terdiri daripada pegawai-pegawai pejabat kewangan negeri, pejabat perancangan ekonomi negeri, pejabat JKR, pejabat PTG dan pengarah urusan sebuah syarikat.

Terbaharu minggu lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan dua  ahli perniagaan disyaki menerima rasuah RM19 juta kononnya bagi mempengaruhi penutupan kes siasatan projek mega terowong dasar laut yang bernilai RM6.3 bilion di Pulau Pinang.

Suspek yang berumur 37 tahun dan 60-an dipercayai menerima wang berkenaan daripada sebuah syarikat selepas beliau dikatakan mampu “menyelesaikan” siasatan yang dijalankan oleh SPRM.

Dari satu aspek yang lebih besar, imej dan reputasi kerajaan DAP Pulau Pinang yang dibentuk melalui slogan Ketelusan, Akauntabiliti dan Kecekapan (CAT) dalam pentadbiran Lim Guan Eng, kini telah hancur lebur.

Ia bermula selepas Guan Eng didakwa di bawah dua pertuduhan rasuah. Bagaimanapun beliau mahu melaksanakan slogan Ketelusan, Akauntabiliti dan Kecekapan jika beliau sendiri dihimpit dengan isu rasuah.

CAT kini menjadi bahan jenaka dan ramai yang pernah kagum dengan prinsip CAT sebelum ini dapat melihat bagaimana ia menjadi `bahan mainan’.

Dan isu projek terowong dasar laut dan ditambah penyelewengan dalam pengagihan wang bantuan banjir menambah keperitan itu.