25
Isn, Sep
685 ARTIKEL BARU

Nyahkan `Pepijat’ Dari Felda

Rencana
Typography

DIFAHAMKAN nama Felda disebut dalam satu mesyuarat DAP  awal Januari lalu semasa mempersoalkan keikhlasan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) bertaut dengan parti cauvinis itu. Isunya  berkisar soal pengagihan kerusi dengan PPBM dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU-14) nanti.

Bagaimanapun dalam mesyuarat di  Wisma DAP Pulau Pinang, Jalan Rangoon, George Town  yang dihadiri pemimpin kanan parti itu, pengerusi DAP negeri, Chow Kon Yeow  meredakan kebimbangan mereka yang hadir.

Tegasnya, DAP Pusat  hanya akan membenarkan PPBM  bersaing di kawasan Felda. DAP pada masa sama tidak lagi sekadar bertumpu di bandar, malah memfokuskan kawasan separa bandar dalam PRU paling getir itu.

Apakah kawasan Felda masih lagi menjadi benteng pertahanan yang ampuh untuk orang Melayu?

Dalam Felda sahaja ketika ini terdapat 54 kerusi Parlimen dan 92 kerusi DUN. Tanah rancangan orang Melayu itu mempunyai 317 kawasan penempatan peneroka, memiliki satu perempat daripada 222 jumlah keseluruhan kerusi Parlimen serta 96 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun).

Felda Plantation sahaja memiliki tanah seluas 341,000 hektar, majoriti di Sabah dengan keluasan 100,000 hektar.

Di Pahang sahaja, 12 daripada 14 kawasan parlimennya mempunyai penempatan Felda. Di kawasan DUN negeri itu pula 27 daripada 42 kawasan adalah Felda.

Undi masyarakat Felda diakui memainkan peranan besar untuk kemenangan parti-parti politik yang bertanding.

Kehadiran generasi baharu kelihatan sudah mengubah iklim politik peneroka, menjadikan kawasan Felda tidak boleh dianggap hak mutlak mana-mana parti.

Isu perumahan generasi kedua, himpitan kos sara hidup selain masalah penangguhan pembayaran pembelian sawit kepada peneroka dikatakan antara yang perlu ditangani segera.

Meskipun banyak pencapaian yang baik diraih Felda di peringkat kebangsaan dan antarabangsa, pakatan pembangkang yang diketuai induknya DAP  tidak akan berpuas hati atau mengakuinya.

Gerakan-gerakan mencemar reputasi Felda  semakin giat diatur untuk menghancurkan perpaduan kalangan peneroka dan generasi muda Felda.

Apa pun, Felda masih ada harapan untuk BN khususnya UMNO mengekalkan pengaruhnya. Beberapa perkembangan mutakhir ini termasuklah peralihan kepimpinan Felda meredakan kebimbangan banyak pihak terutama peneroka dan generasi keduanya.

Kemenangan beberapa kes di mahkamah yang berpihak kepada Felda turut menaikkan kembali imej Felda.

Antaranya,  pada 13 Februari lalu Felda dan anak syarikatnya, Felda Global Ventures Holdings (FGVH) Sdn. Bhd. beroleh ganti rugi RM70,000 setelah memenangi kes saman mereka terhadap Presiden PKR, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan dua lagi.

Ini  berhubung penerbitan dua artikel berbaur fitnah dalam akhbar mingguan, Suara Keadilan, kira-kira tujuh tahun lalu.

Pernyataan fitnah itu terkandung dalam artikel pertama bertajuk ‘Felda Bankrap’ yang diterbitkan pada 22 Jun 2010 dan artikel kedua berserta gambar bertajuk ‘Kontroversi’ dan ‘Bina Bangunan RM662 juta Hanya Libatkan Tiga Individu’ bertarikh 29 Jun 2010 yang diterbit dan diedarkan oleh akhbar itu.

Pada tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kuantan, Pahang turut menolak saman dikemukakan 571 peneroka daripada Felda Chini dan Chini Timur di Pekan terhadap Felda dan sebuah anak syarikatnya atas dakwaan menipu kadar perahan minyak kelapa sawit serta pecah amanah.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Seri Mariana Yahya membuat keputusan itu selepas mendapati plaintif gagal membuktikan dakwaan itu setelah mendengar keterangan 24 saksi daripada  kedua-dua belah pihak sepanjang 51 hari perbicaraan sejak 2014.

Beliau memerintahkan kesemua plaintif membayar kos ganti rugi berjumlah RM300,000 kepada Felda dan Felda Palm Industries Sdn. Bhd.

Demikian juga pada 29 Mei 2015 Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan tuntutan Felda dan memerintahkan Mazlan dan  Angkatan Edaran Enterprise Sdn Bhd membayar kepada Felda RM350,000 sebagai ganti rugi  am dan ganti rugi teruk.

Felda mesti kekal sokongannya kepada BN. Cuma kadang kala  ada peneroka yang terhasut sehingga menyaman Felda dan akhirnya kalah. Ini termasuklah kes lapan peneroka  yang diarahkan membayar ganti rugi kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

UMNO harus berwaspada dan terus bersiap-siaga.

Dalam keadaan apa sekalipun, pembangkang akan terus menyerang Felda. Mereka akan menghasut peneroka dan generasi muda warga Felda agar membenci Felda dan kerajaan.

 

 

ZULKIFLI JALIL
Utusan Malaysia