24
Jum, Nov
955 ARTIKEL BARU

Indah Bahasa, Sulaman Budi

Rencana
Typography

ANTARA yang menarik sepanjang sesi persidangan Dewan Rakyat dua minggu lalu adalah kenderungan ketara ahli-ahi dewan menggunakan bahasa Melayu yang indah dan betul, yang ada kalanya bersalut pantun, beriring madah. Ternyata, ini suatu perkembangan sihat. Bahawa mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan itu memang sepatutnya menjadi pertuturan lazim setiap warga negara Malaysia, baik di mana jua, tanpa mengira kaum atau anutan fahaman politik.

Ada kalangan ahli Dewan yang kurang mahir berpantun seloka, tetapi turut mencuba menyusun pembayang dan maksud walau kendengarannya sedikit ‘kekok’. Dituturkan dengan teratur, dan kedengarannya tetap menarik. Sudah ramai ahli-ahli Dewan kelihatan gemar menggunakan bahasa Malaysia dengan betul dan cuba mengungkapnya dengan faseh. Ini baik semasa sesi soal jawab, mahu pun semasa membahaskan usul menjunjung kasih titah diraja.

Ahli Dewan dari Kepong, Dr Tan Seng Giaw (DAP), kagum dengan kecenderungan ini. Malah, beliau menyarankan agar suasana ini terus ‘dimeriahkan’ sepanjang sesi persidangan. Nadanya ikhlas untuk melihat khazanah bangsa Melayu ini menjadi amalan dalam perbahasan dan interaksi sepanjang persidangan di Parlimen.

Mungkin boleh ditafsir di sebalik kata-kata Yang Berhormat (YB) dari Kepong itu, bahawa keindahan bahasa yang diamal atau dipertuturkan secara lazim sepanjang sesi persidangan di Parlimen boleh memberi impak yang tersendiri. Antaranya, semua pihak mengakui dan menghormati kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa perpaduan bagi semua kaum di negara ini.

Barangkali juga Dr Tan Seng Giaw berharap, kecenderungan ahli-ahli YB mengguna dan mengamalkan bahasa Malaysia yang betul dan indah di Dewan Rakyat boleh diteladani oleh seluruh sektor rakyat Malaysia. Agar bahasa asasi negara itu menjadi bahasa untuk dipertuturkan secara meluas,  tanpa segan atau keberatan oleh mana-mana pihak.

Namun, tidak kendengaran pula pihak yang menyokong apa yang disebutkan oleh wakil veteran DAP itu secara terbuka. Dan tidak dapat pula dipastikan, berapa ramai wakil-wakil rakyat DAP atau PKR yang merestui atau bersetuju dengan kata-kata rakan seangkatan mereka itu.

Apa pun, masih kelihatan kalangan ahli-ahli YB kerap mengguna atau menyelitkan peristilahan bahasa Inggeris semasa berhujah. Walau pun setiap kali kalimah bahasa Inggeris digunakan diiring  kata-kata ‘dengan izin’, namun tentulah lebih elok jika dapat diminimumkan penggunaan bahasa asing di persidangan Dewan Parlimen di bumi Malaysia ini.

Semoga kecenderungan menggunakan bahasa Malaysia secara betul dan meluas ini turut diamalkan di Dewan-Dewan Undangan Negeri (DUN) seluruh negara. Manifestasi dari suasana ini adalah, semua pihak perlu menerima dan menghormati bahawa bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan negara sebagaimana termaktub di dalam Perlembagaan Persektuan.

Kongres Budaya 2017 yang bakal berlangsung di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 15 April depan tentu akan menyelitkan perbincangan tentang pengunaan bahasa Kebangsaan ini secara meluas di mana-mana premis atau khalayak. Kongres yang bakal diadakan selepas 46 tahun itu dijangka merumuskan pendekatan berkesan bagi mengembalikan budaya rakyat Malaysia sebagai unsur penting dalam pembinaan tamadun bangsa dan tanah air. Ini termasuk melalui penggunaan bahasa kebangsaan dan ciri-ciri kesenian dan kebudayaan yang terdapat di tanah air ini.

Mengamalkan tutur kata yang sopan dan tersusun, berlandaskan nilai bahasa yang tinggi boleh mengelakkan terungkap kata-kata nista, kesat atau kasar.   Dalam kata lain, keindahan pengungkapan dan penggunaan bahasa pertuturan yang baik dan indah dapat menyegarkan roh atau jiwa pihak yang menutur dan yang mendengarnya. Lalu damai pun terpupuk dan harmoni akan menghiasi kehidupan.

Hal ini lebih penting jika dapat diamalkan di Dewan Rakyat atau DUN, yakni institusi tertinggi dalam urustadbir negara atau negeri. Umum tentu mengharapkan apa jua keputusan atau rumusan mengenai dasar dan program memajukan negara dan negeri perlu melalui sesi perbincangan yang menggunakan tata bahasa yang betul, jelas dan mesra.

Sebarang keadaan yang tegang dengan hamburan kata-kata kesat dan tidak bersopan dibimbangi tidak menghasilkan sesuatu keputusan atau ketetapan yang bernas, tepat dan termeteri dalam keadaan yang sempurna. Bagi kalangan umat Islam, hal ini mempunyai kaitan dengan pentingnya mencari kata sepakat yang jujur dan ikhlas demi mengharapkan rahmat dan keberkatan Illahi.

Syukurnya, sepanjang sesi persidangan Dewan Rakyat kali ini tidak kelihatan unsur-unsur ‘pertelingkahan’ pandangan dan pendapat secara keterlaluan sehingga menjadikan suasana terlalu ‘hodoh’ dan ‘tidak menentu’.   Keadaan ini memberi peluang kepada pihak kerajaan menjawab segala soalan dan kemusykilan ahli-ahli Dewan dengan jelas dan rapi.

Setiap kali berlangsungnya persidangan, Dewan Rakyat sering menerima kunjungan rombongan pelbagai pihak termasuk kalangan pelajar, kelompok-kelompok tertentu dalam masyarakat serta pemerhati-pemerhati dari luar negara. Mereka mahu melihat perjalanan persidangan Dewan Rakyat dengan lebih dekat, termasuk tatacara dan tutur kata para ahli Dewan ketika berhujah.

Di sinilah perlunya para ahli Dewan mempamerkan tingkah yang sopan dengan penggunaan tata bahasa yang menarik dan sesuai semasa bersoal jawab atau menyampaikan perbahasan. Apa yang dilihat dan didengar semasa kunjungan itu akan ‘dirakam’ dan akan tersimpan dalam kenangan.

Tutur kata cerminan budi, indah bahasa gambaran hati.  Justeru, jangan perkecilkan soal bahasa, kerana penghujungnya, bahasa adalah lambang ketamadunan bangsa.

NegaraKu Malaysia, Sehati Sejiwa.

 

DATUK SAYUTI MUKHTAR ialah Felo Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa),                         
Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia.
Daftar melalui perkhidmatan langganan e-mel percuma kami untuk menerima pemberitahuan apabila maklumat baru diperolehi.