24
Jum, Nov
955 ARTIKEL BARU

Mencari Kententuan Tidak Menentu…

Rencana
Typography

KESERBA SALAHAN besar yang dihadapi oleh pakatan pembangkang serta tokoh-tokoh pemimpin mereka adalah terpaksa ‘menelan semula’ segala terlajak kata, cemuhan dan kecaman di kalangan sesama mereka sebelum tertubuh kesatuan apa yang dinamakan sebagai ‘Pakatan Harapan (PH)’ seperti yang ada sekarang. Barangkali ada penyesalan di antara satu sama lain, lantaran ada yang tidak pernah menyangka pada suatu ketika mereka akan berpakat dan membina cita-cita besar untuk meruntuhkan kerajaan yang sedia ada.

Mungkin segalanya sudah terlewat. Namun, untuk kelihatan ‘sekata’ pada mata umum, mereka terpaksa menghimpun kesepakatan dari dasar dan perjuangan yang berbeza. Masing-masing terpaksa ‘membungkus’ segala sengketa dan unsur-unsur kecaman lama. Agar rakyat umumnya dapat menerima kononnya pakatan baharu pembangkang yang bergelar PH ini berpadu teguh dan menjadi alternatif terbaik menyaingi pemerintahan yang ada.

Silap, jika mereka mengandaikan rakyat Malaysia tidak dapat membaca senario pakatan politik yang mereka miliki.  Sebenarnya rakyat Malaysia sudah masak dengan percaturan politik mana-mana pihak. Mereka matang berpolitik, setelah melalui sekurang-kurangnya 13 kali pilihan raya umum (PRU) yang berjarak sekitar lima tahun sekali. Itu pun belum termasuk pilihan raya kecil (PRK) yang bilangannya bukan sedikit.

Terbaharu, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, gabungan parti pembangkang yang dibentuk perlu berteraskan Melayu kerana sebahagian besar rakyat di negara ini terdiri daripada kaum tersebut.

Sebagaimana dijangka, kenyataan begini tentunya tidak mungkin disenangi oleh pihak DAP. Setiausaha Agung DAP yang belum disahkan jawatannya, Lim Guan Eng terus tersentak dan bercadang menemui Tan Sri Muhyiddin pada kadar segera untuk mendapat penjelasan lanjut. Bagi ‘melegakan’ perasaan sendiri, Lim berharap, apa yang dilaporkan media berhubung perkara tersebut adalah tidak tepat atau kononnya untuk melaga-lagakan sesama parti pembangkang.

Sebelum ini pun, Tan Sri Muhyiddin pernah menegaskan bahawa beliau lebih ‘mendahului Melayu dari Malaysia’. Ertinya beliau tidak menyokong perjuangan DAP yang berslogankan “Malaysian Malaysia”. Sekaligus, kenyataan terkini Tan Sri Muhyiddin agar Melayu mendominasikan Pakatan Harapan hanya membuatkan “luka lama berdarah kembali” bagi DAP.

Beberapa pemimpin utama PH sebenarnya sebelum ini saling berselisih pendirian di antara satu sama lain. Antara isu-isu yang pernah terjelma ialah tuduh-menuduh tentang ‘rasis’. Istilah-istilah seperti anti-Islam, anti-Melayu, cauvanistik sering menjadi ‘butiran perang’ di kalangan mereka.     

Malah, terdapat beberapa persoalan pokok yang tidak terjawab secara jelas tentang struktur hiraki atau hala tuju kepimpinan dalam PH. Misalnya siapa sebenar yang boleh dianggap ketua utama (de facto) di kalangan mereka? Tun Mahathir Mohamah (PPBM)? Lim Kit Siang (DAP)? Atau Wan Azizah Wan Ismail (PKR)? Dan jika ditakdirkan berupaya memerintah negara, siapa pula yang sebenarnya akan menjadi Perdana Menteri?

Suasana samar begini tentunya turut membuatkan rakyat kurang yakin tentang kedudukan atau kekuatan sebenar pakatan pembangkang. Apa lagi, rakyat tahu, parti-parti dalam PH seboleh-bolehnya mahu Pas menyertai mereka. Matlamat utama ialah bagi membantu mendapat sokongan Melayu. Mereka sedar, ketiadaan Pas banyak menjejaskan aktiviti-aktiviti mobilisasi penyokong. Ketaranya, rapat-rapat umum menjadi hambar dan kurang mendapat sambutan.

Ada parti-parti tertentu mahu ‘memikat’ Pas secara sendirian, bukan atas nama pakatan. Dan ada pula parti yang ‘terpaksa’ merelakan Pas bergabung semula dengan PH semata-mata atas kepentingan meraih sokongan Melayu. Namun hakikatnya,  Pas sudah dapat membaca tujuan tersirat mereka. Akhirnya, bukan sahaja Pas menolak DAP dan Parti Peribumi Bersatu Malaysia (PPBM), malah Pas juga secara terang-terang menolak PKR.

Lalu, suasana di dalam PH semakin sukar mencari ketentuan. Penarikan Pas dari ‘berkawan’ dengan PKR turut menjejaskan struktur kerajaan negeri Selangor yang sedia wujud. Kecelaruan ini sudah tentu tidak boleh membantu Selangor dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang dijangka berlaku dalam masa tidak lama lagi.

Dalam PH, ada yang kelihatan kalangan parti-parti komponen yang semacam ‘hadirnya tidak menambah, hilangnya tidak mengurang’. Senario ini semakin jelas dengan cara DAP (yang meletakkan dirinya lebih mendominasi PH), melayani sesetengah rakan dalam PH. Mungkin ada sesetengah parti yang ada itu dianggap tidak memiliki kekuatan sendiri. 

Masing-masing parti dalam pembangkang kini saling pula menegaskan pendirian untuk meletak calon di kawasan-kawasan yang sebelumnya ini ‘diberi laluan’ kepada rakan-rakan seangkatan. Apa yang tertonjol kini, masing-masing parti sudah merasakan memiliki kekuatan sendiri dan sedia bertanding di mana-mana yang mereka yakin menang. Tegasnya, kemungkinan akan berlaku ‘pertembungan’ sesama sendiri di kebanyakan kawasan Parlimen atau Dewan Undangan Negeri, adalah tidak mustahil.

Pemerhati politik memberi pandangan, PH tidak mungkin ‘bertenaga’ dan diyakini umum selagi prinsip persepakatan mereka belum benar-benar mantap dan tersusun. Rakyat melihat masing-masing parti mempunyai kecenderungan mencari peluang untuk berdiri atau bergerak secara sendirian. Sedangkan rakyat sudah dapat mengukur sejauh mana kekuatan sebenar dimiliki oleh parti-parti berkenaan.

Dalam hubungan ini, Pas kelihatan lebih berpandangan jauh dengan memilih untuk ‘bersendirian’ dari berada dalam kancah PH yang antara lain masih tercari-cari jenama, logo dan slogan perjuangan sebenar untuk menyaingi kerajaan Barisan Nasional (BN) yang sedia diyakini rakyat Malaysia sejak sekian lama.

#NegaraKu Malaysia…semoga kestabilan dan kemakmurannya terus dinikmati semua!

 

Penulis ;

DATUK SAYUTI MUKHTAR

Felo Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa), Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

Daftar melalui perkhidmatan langganan e-mel percuma kami untuk menerima pemberitahuan apabila maklumat baru diperolehi.