24
Jum, Nov
955 ARTIKEL BARU

Kekuatan Ummah Memayungi Semua

Rencana
Typography

TERNYATA gema dari Muktamar Pas ke-63 di Kedah yang baru berlalu terarah kepada penyatuan ummah. Suatu perkembangan yang tentunya melegakan semua pihak, khususnya umat Islam di negara ini. Demi memertabatkan bangsa dan agama, Pas sesungguhnya sudah mengenali siapa yang patut dijauhi dan pihak mana yang perlu dirapati. Dan jika pun Pas benar-benar memutuskan perhubungan dengan PKR dan PPBM yang sebahagian alasannya bahawa kedua-dua parti itu bersekutu dengan DAP, tidak perlu lagi dipersoal atau dijadikan isu.

Sebarang usaha untuk bersatu padu demi kepentingan ummah tidak perlu bertangguh. Lagi pun, sudah banyak unsur-unsur mempersenda, memperlekeh, malah menghina Islam terpamer kepada umum. Segala ini tentunya tidak berlaku jika umat Islam berpadu teguh dan tidak memberi ruang kepada mana-mana pihak luar menyelinap masuk bagi memeceh- belahkan kalangan mereka.

Biarkanlah kalau pun ada sekerat dua umat Islam sendiri yang masih mahu bersongkol dengan pihak-pihak yang terang-terang ‘meluat’ apabila menyebut tentang kesucian Islam dan kedudukan istimewa orang-orang Melayu. Tidak perlu dipersoal apa agenda dan tujuan mereka, sama ada untuk survival peribadi, keluarga atau sekadar ‘menenang jiwa’ segelintir pihak yang kecewa.  Itu hak mereka. Walau pun begitu, ternyata, sikap mereka itu amat kontra dengan aspirasi memelihara maruah dan kedaulatan umat Islam itu sendiri.

Kehidupan adalah perjuangan yang tidak bernoktah. Jika perjuangan terhenti di mana-mana, tentu ada pihak memperoleh peluang menguasai keadaan. Justeru, umat Islam tidak mampu untuk terus-terusan melebar sengketa, membesar pertelagahan kerana apa yang menanti dipenghujungnya adalah kehancuran ummah, sekaligus seolah-olah sedia‘ menyerah kuasa’ kepada pihak lain.

Sebagaimana sering diungkap, membina penyatuan ummah dan sama sebangsa bukan bermakna untuk ‘memusuhi’ sesiapa atau mana-mana pihak. Apa yang dicari adalah kesepaduan dalam konteks bekerjasama dan saling membantu bagi menguatkan kedudukan segenap sektor kehidupan termasuk penguasaan ekonomi, ilmu pengetahuan, taraf sosial dan siasah ummah.

Bersyukurlah. Sejak politik tanah air didominasi oleh umat Islam dan orang-orang Melayu, seluruh warga negara tanpa mengira kaum, latar belakang agama dan budaya dapat hidup dengan makmur damai, selesa sejahtera tanpa dinafikan hak dan keperluan. Malah, warga negara ini yang sentiasa impikan aman harmoni tetap mengharap struktur yang terbina sejak sekian ini tidak terlerai.

Mereka yang rasional pendiriannya, tetap mengharapkan Malaysia terus aman damai seadanya. Yakni mahu terus menikmati kemakmuran dan kemajuan negara atas acuan suasana kehidupan yang sedia ada di negara ini. Sebaliknya menyokong penerapan ‘acuan asing’ yang cuba diusahakan oleh sesetengah pihak yang rakus merebut kuasa hanya akan menempah kepincangan yang akan menyusahakan semua pihak.

Justeru, kecenderungan Pas untuk ‘bermesra’ dengan  UMNO atas kepentingan ummah dan survival bangsa amat dialu-alukan. Kelihatannya, ‘senyuman’ yang sering dilempar oleh Pas disambut baik oleh UMNO. Tidak pernah tercetus sebarang respon sinis atau kata gurau yang menggambarkan UMNO tidak bersedia menjalin persahabatan dengan parti yang masih menerajui negeri Kelantan itu.

UMNO yang akan menyambut ulang tahun penubuhannya ke-71 pada 11 Mei ini tentunya mengalu-ngalu sebarang kecenderungan dari mana-mana pihak pihak khususnya Pas, untuk menguatkan kedudukan ummah, seterusnya mencantumkan kekuatan bagi memakmurkan Malaysia yang berbilang kaum dan latar belakang agama dan budaya.

Alangkah baiknya juga jika umat Islam atau orang-orang Melayu yang pernah ‘tersalah perhitungan’, yang menyertai parti-parti serpihan UMNO dan Pas agar kembali berganding beriringan dalam arus politik perdana yang lebih praktikal dalam memperjuangkan kepentingan ummah. Amat rugi jika penyertaan mereka ke dalam parti-parti berkenaan sekadar terikut-ikut dengan sentimen kecewa atau rajukan yang tidak jelas alasannya oleh sesetengah individu atau kelompok.

Ibarat kata lambangan, “hampirilah kapal yang lebih teguh jika melayari bahtera yang masih terumbang ambing di tengah samudera”. Sejarah penubuhan parti-parti politik ‘seperihan’ di negara ini selalunya bertaraf sementara, sekadar untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU). Gabungan di kalangan pembangkang juga selalunya terbentuk atas dasar ‘ketergesaan’ tanpa haluan yang jelas dan fokus. Akibatnya pakatan mereka rapuh dan tidak bertahan lama. Sentimennya semata-mata untuk menyatakan segala apa yang dilakukan kerajaan tidak betul dan kononnya menyusahkan rakyat.

Mereka tidak sedar, tindakan itu hanya boleh menghakis penghormatan pihak lain terhadap ummah. Mereka seolah-olah tidak mengambilkira, kesannya nanti akan meletakkan kedudukan ummah terhina dan boleh terpinggir di tanah air sendiri.

Tiada sandaran rujukan yang paling tepat bagi umat Islam selain al quran. Justeru, jangan ada yang merasa jemu dan klise jika diulangi peringatan yang dipetik dari kandungan ayat-ayat suci al quran mengenai kepentingan meneguhkan penyatuan di kalangan ummah. Surah al-Hujarat, ayat 10 misalnya, antara lain menyebut: “Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.”

Surah al-Anfal : 1 bermaksud: : “Bertakwallah kamu kepada Allah dan perbaikilah keadaan perhubungan di antara kamu, serta taatlah kepada Allah dan Rasul-Nya, jika betul kamu orang-orang yang beriman”.

Allah SWT juga menyeru: “Dan berpegang teguhlah kamu semua kepada tali (agama) Allah dan jangan bercerai-berai, dan ingatlah nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (sebelum Islam) bermusuh-musuhan, lalu dia  menyatukan hati kamu. Maka menjadilah kamu kerana nikmat-Nya bersaudara, pada hal dahulu kamu sudah berada di tepi jurang nereka, tetapi Dia yang menyelamatkan kamu daripadanya” (Ali-Imran : 103).

Semoga kehidupan sentiasa mendapat rahmat dan keberkatan!

 
DATUK SAYUTI  MUKHTAR
Felo Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) 
Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia.
Daftar melalui perkhidmatan langganan e-mel percuma kami untuk menerima pemberitahuan apabila maklumat baru diperolehi.