11
Isn, Dis
908 ARTIKEL BARU

UMNO : Utamakan Agenda Mencari Kejayaan

Rencana
Typography

MENCAPAI kejayaan yang dicari lebih manis dan bermakna, berbanding mengharap kejayaan yang sekadar ditunggu. Mencari kejayaan boleh diterjemahkan sebagai berusaha, berikhtiar serta mengatur pendekatan dan kaedah tertentu yang sebaik mungkin agar apa yang menjadi matlamat dapat dicapai pada tahap yang maksima. Manakala istilah ‘menunggu’ kejayaan dimaksudkan sebagai mengharap kejayaan ‘datang bergolek’ dengan meletakkan andaian atau perkiraan tanpa banyak usaha dan tindakan bagi menggapainya.

UMNO sentiasa membuktikan parti itu ‘mencari kejayaan’, bukan ‘menunggu kejayaan’. Pencarian mereka bersifat konsisten atau berterusan. Misalnya, gerak kerja parti itu dalam mengurus dan melayani keperluan rakyat dilaksanakan secara berterusan, bukan bermusim atau berkala. Mereka tidak sekadar ‘menemui rakyat’ menjelang  mana-mana pilihan raya, baik Pilihan Raya Umum (PRU), mahu pun Pilihan Raya Kecil (PRK). Hasilnya, pencapaian UMNO pada setiap pilihan raya membanggakan.

Walau pun berada pada situasi yang meyakinkan majoriti rakyat, khususnya orang-orang Melayu, penting bagi UMNO terus mengutamakan ‘pencarian kejayaan’ bagi menentukan kelangsungan pemilikan kuasa politik demi menaungi seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan keturunan. Benar, UMNO lahir untuk memelihara dan mengekalkan kedaulatan Islam dan hak-hak keistimewaan orang-orang Melayu, sejarah membuktikan, parti itu penuh setia dan bertanggungjawab bersama rakan-rakan komponen sejak gagasan Perikatan sehinggalah kepada Barisan Nasional (BN) yang kini sedang menerajui negara.

Atas landasan perjuangan yang bermatlamatkan perpaduan, kesejahteraan dan kemakmuran untuk semua, UMNO yang menjadi tunggak kepada BN, kini terus sederap seganding memajukan penghidupan rakyat dan membangunkan negara tanpa menafi atau mengenepikan hak mana-mana pihak. Dan Malaysia kini terbina dengan megah dan gagah sehingga dikagumi masyarakat antarabangsa.     

Apa pun, tiada istilah ‘sempurna’ bagi sesiapa atau mana-mana institusi meski pun usianya sudah menjangkau 71 tahun.  Demikian juga dengan UMNO.  Justeru, tidak salah bagi UMNO sentiasa mencari dan mengambilkira apa jua sudut atau aspek bagi memantapkan lagi makna ‘kejayaan’ yang boleh dikaitkan peranannya sebagai parti yang sentiasa memahami denyut nadi dan sekaligus memenuhi apa yang dimahu dan diperlukan oleh rakyat.

UMNO perlu mencari kejayaan dalam mengekalkan keyakinan dan kepercayaan rakyat. Hanya dengan sokongan yang berterusan daripada majoriti rakyat, parti itu akan berada pada tahap survival yang tinggi dan mampu meneruskan agenda memakmurkan rakyat dan negara. UMNO tidak mampu membiarkan rakyat yang selama ini ‘berteduh’ di bawahnya terpesong pendirian dan keyakinan mereka hanya disebabkan angkara pihak-pihak yang berusaha memecah-belahkan perpaduan dan cuba menerapkan sesuatu yang ‘asing dan janggal’ ke dalam kerangka penghidupan bernegara rakyat Malaysia yang majmuk sifatnya.

Pengertian mudah di sebalik istilah ‘mencari kejayaan’ dan bukan ‘menunggu kejayaan’ bagi UMNO khususnya dalam menghadapi PRU-14 ini adalah dengan tidak mengambil mudah segala faktor yang boleh mendorong dan menjurus kepada kemenangan besar kepada parti itu, juga kepada calon-calon dari kalangan komponen BN. Sedangkan pada masa yang sama, pihak lain sentiasa agresif berusaha ‘menawan hati’ masyarakat.

Setiap anggota parti di semua peringkat perlu tahu bahawa mereka tetap mempunyai cara dan peranan untuk menyumbang atau berkhidmat kepada parti. Setidak-tidaknya perlu sentiasa mempamerkan imej kesepaduan di kalangan ahli-ahli parti di mana-mana kelompok atau kawasan. Perlu mengambil tahu apa jua bentuk sumbangan, bantuan, khidmat bakti yang boleh dihulurkan kepada masyarakat setempat.

Lakukan bantahan jika terdapat mana-mana pihak sengaja membawa masuk pengundi-pengundi asing untuk didaftarkan di kawasan mereka. Dekati atau dampingi seramai mungkin masyarakat sekitar agar ahli-ahli UMNO dilihat sentiasa ‘di hati rakyat’. Lebih banyak ‘dampingan’ (engagement) perlu dibuat di kalangan anak-anak muda. Menggalakkan proses pendaftaran pemilih dan meramaikan keahlian parti adalah sesuatu yang tidak harus terhenti aktivitinya.

Tidak wajar dengan hanya bersikap “jika aku tidak buat, tentu pihak lain atau ahli lain akan buat…”. Sikap ‘saling berharap’ ini sering berkesudahan dengan ‘tiada siapa yang buat’. Lalu akhirnya, sebarang permasalahan atau khidmat bakti yang sepatutnya boleh diurus atau tangani dengan mudah akan hanya terbiar tanpa dipedulikan.  Dan tentu saja hal begini memberi ruang kepada pihak lain mengambil kesempatan.

Kejayaan tidak boleh disandarkan pada kelemahan atau kecelaruan pihak lawan. Sebaliknya kejayaan perlu dicari dengan teliti dan menepati suasana sebenar di mana-mana lokasi atau kawasan. Setiap kawasan mempunyai isu dan permasalahan setempat, yang tentunya tidak sama bentuk atau sifatnya. Bukan semua isu-isu peringkat kebangsaan misalnya, ‘dipeduli’ sangat oleh masyarakat di kawasan-kawasan pedalaman tertentu.

Cacatan ini bukan bermakna menafikan UMNO telah bertindak melaksanakan segalanya. Namun, tentu tidak salah untuk disebutkan bahawa masih ada ruang untuk diperkemas atau dimantapkan ‘di sana sini’. Matlamatnya ialah agar kemenangan dan kejayaan yang bakal diperolehi nanti biarlah atas usaha ‘yang dicari’, bukan sekadar ‘yang ditunggu’ atau diharap datang dengan mudah.

Jika pendekatan ‘mencari kejayaan’ terus dipergiakan, UMNO sesungguhnya berupaya menambah bilangan 88 kerusi dari sejumlah 114 kerusi yang ditandingi ke Parlimen. Mereka juga mampu menambah bilangan kerusi 244 dari 339 kerusi yang ditandingi bagi Dewan-Dewan Undangan Negeri seluruh negara.

Biar apa pun cabaran dan serangan yang dilakukan pembangkang, matlamat UMNO bersama rakan-rakan dalam BN adalah untuk menentukan kedudukan dua-pertiga kerusi di Parlimen, selain merampas kembali negeri-negeri di bawah pembangkang. Segalanya adalah demi kesejahteraan rakyat dan kestablian negara.

Semoga Malaysia terus aman, makmur, sejahtera. Dan biarlah UMNO terus mara untuk rakyat Malaysia!

 

OLEH ; DATUK SAYUTI MUKHTAR

Felo Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa), Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia.