12
Sel, Dis
884 ARTIKEL BARU

Berpolitiklah... Elak Langgari Sensitiviti

Rencana
Typography

BERPOLITIK walau pun sering dikaitkan dengan seni pelbagai kaedah dan muslihat bagi meraih sokongan umum, diharap janganlah sampai menyentuh sensiviti mana-mana individu atau pihak. Ini bagi mengelak dari tercetusnya perasaan tidak puas hati atau mengganggu emosi pihak-pihak tertentu, sehingga boleh memberi kesan buruk terhadap kehidupan. Apa yang dicari adalah damai dan harmoni.

Paling bernilai dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara adalah sikap saling hormat menghormati di antara satu sama lain.  Dalam hubungan ini, lima prinsip dalam Rukun Negara boleh dijadikan panduan. Aspek yang boleh dijuruskan dalam kenteks ini ialah Kedaulatan Undang-Undang dan Kesopanan dan Kesusilaan.

Bermakna, apa pun tindakan dan program yang ingin dilaksanakan mestilah tidak melanggari batas undang-undang, selain perlu memahami atau mengambilkira sensiviti agama, nilai peradaban dan perasaan pihak lain.

Sudah tentu umat Islam ‘terganggu emosi’ apabila melihat promosi penganjuran apa yang dinamakan sebagai Better Beer Festival 2017 semakin cuba diperluas dan disensasikan. Malah kalangan warga Malaysia bukan Islam yang benar-benar memahami pola kehidupan berpolitik dan bernegara secara sihat di negara ini pun turut tidak ‘senang hati’ melihat trend yang cuba dibawa oleh sesetengah pihak yang terbabit dengan program ini.

Program Better Beer Festival 2017 mungkin tidak menimbulkan sebarang kontroversi jika diadakan secara private event tanpa hebahan dan promosi ‘berlebihan’.  Mungkin ada pihak akan mempersoalkan tentang aspek ‘kebebasan bersosial dan privasi beragama…’. Benar, tiada siapa mengatakan penganjuran program sedemikian salah dari segi hak sosial dan undang-undang. Sama seperti membawa lori membawa khinzir di hadapan majsjid selepas solat Jumaat. Tetapi fikirlah dari segi nilai moral dan adat bermasyarakat yang bersifat majmuk di negara ini.

Tegasnya  setiap tindakan dan perlakuan perlu ada batasannya. Menghormati sensiviti umat Islam di bumi Malaysia ini perlu juga diambilkira. Betul, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pernah memberi jaminan tentang hak dan kebebasan kaum Cina. Tetapi, perlulah difahami secara mendalam. Misalnya, masyarakat bukan Islam boleh meminum arak, tetapi hendaklah di premis yang sesuai. Ini negara Malaysia, yang majoriti warganya adalah Islam.

Malaysia dikenali dan dihormati dunia luar sebagai sebuah negara Islam yang mengamalkan kesederhanaan (moderate), dinamik dan progresif. Jadi, tidak perlu ada pihak kononnya khuatir dengan kedatangan pelancong asing ke negara atas alasan Malaysia ‘memurnikan’ kehidupan secara Islamik dan mesra kaum di negara ini. Pelancong datang bukan untuk berpesta arak di negara ini.

Malah mereka menyanjung tinggi kemampuan kerajaan mengurus kepelbagaian dengan baik dan berkesan. Dunia luar turut menganggap Malaysia sebagai sebuah negara berbilang kaum yang unik dan istimewa. Dan itu juga termasuk dalam ciri-ciri daya taraikan pelancong ke negara ini.

Silap, jika ada pihak tertentu menyimpan niat atau agenda politik, terselindung di sebalik usaha ‘mensensasikan’ penganjuran program ini.  Jika demikian, kelihatanlah semacam sudah ketandusan modal politik untuk menghadapi Pilihanraya Umum ke-14 (PRU-14).

Ada yang menganggap, isu program ini segaja ‘dikontroversikan’ untuk mengalih tumpuan umum terhadap isu-isu pengurusan banjir di Pulau Pinang. Mungkin juga untuk mengalihkan tumpuan masyarakat terhadap prosiding Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Urusniaga Mata Wang Asing (Forex) yang sedang berjalan.

Lebih malang jika tepat pada telahan sesetengah pihak, bahawa isu mengenai Better Beer Festival 2017 ini sengaja dijadikan ‘alat’ untuk meraih populariti daripada kalangan masyarakat bukan Islam.  Sementara, ada juga yang melihatnya sebagai kaedah ‘provokasi’ bagi menguji respon umat Islam di negara ini.

Setelah 60-tahun negara merdeka,  ada lebih baik jika semua pihak sentiasa memelihara dan mengekalkan semangat hidup muhibah dan bersatu padu, tanpa mengira latar belakang agama, kaum atau budaya.

Umum tahu, sebelum ini pun pernah beberapa kali festival seumpamanya diadakan khususnya di Selangor. Dikatakan ada juga bantahan termasuk dari Pas yang ketika itu masih di dalam Pakatan Pembangkang, tetapi mungkin sengaja tidak ‘diperbesarkan’.

Malah, khabarnya Pas turut menggesa para mufti segera mengeluarkan fatwa dan pandangan khusus berhubung penganjuran aktiviti seumpama itu sebagai panduan dan arahan kepada kerajaan.

Syabas kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), atas ketegasan mereka menolak permohonan penganjuran festival berkenaan yang dijangka diadakan pada 6 dan 7 Oktober ini. Pihak DBKL tentu mempunyai asas yang kukuh untuk bertindak demikian.  Manakala tindakan DBKL itu sudah pasti disokong dan direstui oleh mereka yang mementingkan suasana damai, harmoni di bumi Malaysia ini.

Silap perhitungan bagi pihak yang cuba meraih keuntungan politik dalam isu ini. Kesan sebaliknya ialah, ramai umat Islam semakin meragui tentang kedudukan Islam jika ditakdir nanti kuasa politik kerajaan Persekutuan yang ada sekarang akan beralih tangan.

Negaraku Malaysia…semoga kekal makmur, harmoni, sejahtera.

 

DATUK SAYUTI MUKHTAR

Penulis ialah Felo JASA, Jabatan Hal Ehwal Khas, Kementerian Komunikasi dan Multimedia. Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan KLXpress.