17
Sel, Okt
760 ARTIKEL BARU

Tidak Wajar Penjawat Awam Jadi 'Duri Dalam Daging' Kepada Kerajaan

Rencana
Typography

PADA SUATU sesi Konsultasi Program Tranformasi Nasional 2050 (TN50) di Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Putrajaya baru-baru ini, ada suara yang mencadangkan, agar kerajaan yang ada (government of the day) mempastikan hanya mereka yang menyokong kerajaan boleh ditawarkan menjawat jawatan dalam perkhidmatan awam. Cadangan itu membuatkan ada hadirin terkedu seketika. Barangkali ramai tidak menduga ada cadangan yang dianggap sedikit ‘radikal’ itu terpancul dari seorang peserta yang hadir pada majlis berkenaan.

Itu sekadar cadangan. Sesuatu yang bukan senang untuk diamalkan. Sebagai sebuah kerajaan yang mendokong amalan demokrasi yang sihat, sudah tentu kerajaan bersikap terbuka dan mahu memberi kebebasan kepada setiap warganya, termasuk penjawat awam, menentukan pembentukan kerajaan mengikut pilihan masing-masing.

Namun, ada baiknya jika cadangan yang berbentuk ‘terus terang’ (straight forward) itu dilihat dalam pemahaman yang lebih jauh. Individu yang menyuarakan pandangan itu mempunyai asas tersendiri bagi menegakkan cadangan yang dilontarkan. Beliau seolah-olah ‘bosan’ melihat ada kalangan penjawat awam yang hanya tahu mengkritik kerajaan, pada hal mereka adalah sebahagian dari jentera yang menentukan kelicinan pentadbiran kerajaan.

Kata individu itu, jika ada kesalahan berilah teguran, cadangan, pandangan atau laporkan saja kepada pihak-pihak berkenaan untuk diambil tindakan atau diselesaikan mengikut lunas peraturan dan undang-undang yang ada. Tetapi apa yang dikesalkan, ada yang hanya membuat kenyataan berbaur fitnah, direkanya cerita atau sekadar mengayam andaian atau persepsi.

Lazimnya, masyarakat umum mudah terkesan dengan setiap patah perkataan atau kenyataan yang dituturkan oleh sesaorang penjawat awam. Mereka mudah percaya dan akhirnya tersimpul menjadi suatu persepsi. Ini lebih-lebih lagi jika kata-kata atau kenyataan itu terkeluar dari mulut pegawai-pegawai di peringkat kanan.

Terbangkit persoalan, apakah demokrasi membenarkan sesaorang boleh ‘ menjual persepsi’, beralas andaian sesuka hati? Atau, apakah kebebasan bersuara bermakna sesaorang penjawat awam boleh menyebarkan sebarang maklumat yang tidak tepat, atau sesuatu yang masih di peringkat ‘sulit’ mengenai hal-hal pengurusan dan pentadbiran kerajaan dengan sewenang-wenangnya?

Menariknya, tambah individu itu lagi, setiap penjawat awam sepatutnya menganggap diri mereka sedang sama-sama melayari sebuah bahtera dengan misi yang sama, iaitu memberi perkhidmatan terbaik untuk rakyat. Jadi, alangkah tidak wajar jika ada di antara mereka yang sengaja ingin ‘memburuk-burukkan’ kerajaan yang ada, sedangkan mereka sedang memikul amanah kerajaan untuk berkhidmat kepada rakyat dan negara.

Lalu, sikap sesetengah individu penjawat awam yang disifatkan sengaja ‘tidak setia’ dengan misi kerajaan membangunkan negara dan mensejahterakan rakyat ini dianggap sebagai ‘pengkhianat’ yang cuba menebuk bahtera yang dihuni bersama, tanpa menyedari bahawa jika bahtera berkenaan karam, maka akan tenggelamlah semua yang ada di dalamnya.

Semua penjawat awam tentu sedar, jika ditakdirkan pembangkang mengambil-alih pemerintahan, bilangan mereka akan dikurangkan. Pelbagai cemuhan dan kecaman dilemparkan oleh pihak pembangkang. Ada yang menganggap bilangan penjawat awam yang ada sekarang terlalu ramai dan tidak produktif.

Apa pun, bukan ramai yang terbabit dalam hal yang seperti disebutkan ini. Tetapi itu bukan isunya. Yang penting, setiap individu penjawat awam, termasuk yang menganggotai pasukan yang beruniform,  perlu menyerlahkan fokus dan sikap bertanggungjawab tanpa menjadi ‘duri di dalam daging’ kepada pemerintah. Sepatutnya, bersyukurlah dengan segala kemudahan dan insentif yang disediakan kerajaan kepada mereka.

Malah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam uacapannya di Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam Kelima Belas (MAPPA XV) Selasa lalu membayangkan, beberapa khabar gembira dan penambahbaikan untuk penjawat awam akan diumumkan semasa pembentangan Bajet 2018 pada 27 Oktober ini.

Tentulah tidak adil misalnya, pada setiap kali menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) atau Pilihan Raya Kecil (PRK), ada penjawat awam dari sekitar Putrajaya atau Ibu Kota pulang ke kampung, cuba mempengaruhi keluarga atau masyarakat setempat, menabur fitnah, cemuhan dan segala hal negatif terhadap kerajaan, sedangkan di situ mereka ‘mencari rezeki’ dan di situ mereka turut memikul tanggungjawab untuk menentukan ketenteraman dan kestabilan negara sentiasa terpelihara.

Berbalik kepada sesi Konsultasi Program TN50, tidak dinafikan bahawa banyak juga idea-idea bernas yang dilontar, terutama oleh golongan muda mengenai aspirasi mereka bagi menelusuri kehidupan masa depan yang kondusif dan terjamin. Antaranya, ada yang menyuarakan tentang perlunya transformasi cara berfikir dan bertindak tanpa keluar dari acuan dan nilai-nilai ketamadunan bangsa.

Pun tidak kurang, terdapat pandangan dan cadangan agar sistem komunikasi dan teknologi digital perlu diberi perhatian, agar rakyat negara ini terus memacu maju seiring dengan perkembangan dalam aspek berkenaan. Manakala, tidak kurang juga dengan suara-suara yang memperingatkan semua, agar nilai-nilai keagamaan tidak diketepikan.

Ramai yang optimis, jika negara terus stabil dan rakyatnya sedia mengiringi aspirasi transformasi yang bakal dirumuskan nanti, Malaysia akan gemilang dalam kalangan 20 buah negara terbaik di dunia.

Dalam pada itu, tidak terfikirkah kita…berapa banyak negara di dunia, yang mengadakan sesi-sesi konsultasi bagi merangka dasar dan program masa depan rakyat sebagaimana yang dlakukan oleh Malaysia ini? Renung-renungkanlah!

 

Ditulis Oleh;

Datuk Sayuti Mukhtar

Felo, Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa)

 

Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia