14
Kha, Dis
882 ARTIKEL BARU

Kembara Batang Lupar KPWKM 2017 Tinjau Inisiatif Kerajaan Terhadap Rakyat Di Parlimen Batang Lupar

Rencana
Typography

SRI AMAN - Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) bersama 37 pengamal media dari Semenanjung Malaysia dan Sarawak telah mengadakan Kembara Batang Lupar KPWKM 2017 bagi meninjau inisiatif kerajaan dan menerokai sendiri kawasan dan tempat menarik di kawasan Parlimen Batang Lupar di sini, baru-baru ini. 

Menterinya, Dato’ Sri Rohani Abdul Karim berkata selain menjadi platform terbaik bagi menunjukkan apa yang kerajaan telah lakukan kepada rakyat di kawasan Parlimen Batang Lupar, media juga berpeluang menerokai dan menyaksikan sendiri keindahan alam semula jadi dan kepelbagaian kaum setempat serta pembangunan sosioekonomi yang disediakan kerajaan.

“Kembara Batang Lupar KPWKM 2017 ini dilihat sebagai platform paling berkesan untuk mengetengahkan hasil usaha kerajaan yang telah dijalankan di Parlimen Batang Lupar.

“Kita juga dapat memberi peluang kepada kerajaan negeri mempromosikan lokasi pelancongan yang jarang dilawati di sini,” katanya ketika hadir di Majlis Pelepasan Kembara KPWKM 2017 di Hotel Pullman, Kuching.

Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas yang turut serta dalam melepaskan peserta Kembara Batang Lupar KPWKM 2017 memaklumkan bahawa penganjuran kembara seperti Kembara Batang Lupar 2017 tersebut sedikit sebanyak dapat mendedahkan kepada pengamal media mengenai program-program yang telah dijalankan kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk meningkatkan taraf kehidupan rakyat khususnya masyarakat luar bandar.

“Dengan ada program seperti ini, para peserta (pihak media) dapat melibat sendiri program-program yang telah diatur dan dilaksanakan oleh kerajaan BN dan ianya dapat disampaikan kepada rakyat melalui laporan pengamal media ini.

“Peserta juga akan merasai pengalaman bermalam di kampung dan rumah panjang di sana, mengetahui budaya dan cara hidup masyarakat luar bandar yang dapat menjadi cerita menarik untuk ditulis malah menarik minat pelancong luar,” katanya sebelum melepas peserta Kembara Batang Lupar KPWKM 2017 secara rasminya.

Peserta yang menggunakan 15 buah kenderaan MPV dan bergerak secara berkumpulan memulakan perjalanan sejauh 37 kilometer (km) ke Pejabat Daerah Asajaya untuk berhenti rehat seketika.

Diiringi kenderaan peronda polis, peserta Kembara Batang Lupar KPWKM 2017 meneruskan perjalanan dan singgah di Kampung Sampat, Sebuyau bagi melihat perusahaan Obor-Obor di Kilang Ah Kong Enterprise.

Di sini, peserta telah diberitahu mengenai sejarah dan perkembangan kilang ini dan sumbangannya kepada pembangunan kampung ini.

 

Pekerja wanita tempatan menunjukkan obor-obor yang melalui proses rendaman air garam bagi membuang kotoron dalaman

Menurut pemiliknya Lee Nam Moh, kilang ini masih baharu lagi selepas berpindah dari kawasan Sadong Jaya, tetapi dengan bantuan penduduk kampung yang sama-sama membantu mengusahakan obor-obor, kilang ini telah berjaya menghidupkan semula operasinya dan turut mendapat bantuan daripada Ahli Parlimen Batang Lupar Dato’ Sri Rohani Abdul Karim.

"Kilang ini masih baharu lagi selepas berpindah beberapa tahun lepas dari kawasan Sadong Jaya.

"Kebiasaannya sebuah kilang yang baharu akan mengambil masa untuk beroperasi, tetapi di sini kami bertuah kerana telah  dibantu oleh penduduk-penduduk setempat yang bekerja bersama kami selain pekerja yang sedia ada," katanya ketika ditanya mengenai sejarah pembukaan kilang ini.

Peserta turut dihidangkan dengan kerabu obor-obor yang menjadi menu utama dalam masakan obor-obor selain umai obor-obor dan sebagainya 

Selepas dua jam berada di Ah Kong Enterprise, peserta meneruskan kembara ke Pekan Sebuyau untuk makan tengah hari dan menunaikan solat.

Sebelum bergerak ke Rumah Panjang Gem di Kampung Entanggor, peserta kembara telah diberikan tugasan “walk hunt” di Pekan Sebuyau selama setengah jam.

Selesai tugasan, peserta bergerak secara rombongan ke rumah pasangan Baji anak Putih dan isterinya Roti anak Lebang di Rumah Panjang Gem, Kampung Entanggor bagi melihat dan mengambil gambar barangan purba yang dijumpai di kawasan berkenaan.

Di situ, peserta tidak ketinggalan dalam menemuramah Baji dan isterinya Roti mengenai barangan purba yang dijumpainya seperti tembikar, seramik, pinggan, mangkuk dan sebagainya.

Rombongan terpaksa berteduh sementara di rumah itu selama hampir sejam disebabkan hujan lebat dan angin kuat.

Selepas hujan berhenti, peserta meneruskan pengembaraan ke Rumah Panjang Kampung Belimbing Besi kira-kira 20 kilometer dari Rumah Panjang Gem.

Setibanya di situ, rombongan telah dibawa mengelilingi rumah tersebut dan melakukan upacara miring yang merupakan sebahagian daripada  adat masyarakat Iban dalam mengalu-alukan kedatangan tetamu di rumah panjang berkenaan.

 


Penduduk Rumah Panjang Kampung Belimbing Besi mempersembahkan sebuah permainan alat muzik tradisional masyarakat Iban

Selepas dipersembahkan upacara miring dan persembahan nyanyian, rombongan mengambil bahagian dalam sukaneka bersama penghuni rumah panjang.

Turut diadakan Jamuan Rakyat yang mana peserta kembara dihiburkan dengan persembahan tradisional dan makan malam selain beberapa persembahan nyanyian daripada penduduk tempatan.

Turut hadir Ahli Parlimen Batang Lupar Dato’ Sri Rohani Abdul Karim dan beberapa pegawai tertinggi daripada Kementerian Pembangunan, Wanita, Keluarga dan Masyarakat Malaysia (KPWKM).

Rohani dalam ucapannya menggesa penduduk mengekalkan perpaduan dan yakini kerajaan sedia ada dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat.

“Ini telah terbukti apabila kerajaan sedia ada telah berjaya memberikan pembangunan yang berterusan kepada rakyat dan hasilnya dapat dinikmati generasi hari ini dan akan datang.

“Justeru, saya menggesa rakyat agar tidak termakan dengan pujuk rayu pihak luar yang sengaja untuk menghuru harakan kawasan ini sekali gus meneruskan agenda pembangunan yang berterusan,” katanya sambil menerima tepukan gemuruh daripada hadirin yang hadir.

Keesokannya, peserta bersama penduduk Rumah Panjang Kampung Belimbing Besi bersarapan bersama sebelum rombongan Kembara Batang Lupar KPWKM 2017 meneruskan perjalanan yang panjang ke kawasan Maludam, Beladin dan Pusa.

Rombongan Kembara Batang Lupar KPWKM 2017 meneruskan perjalanan kembara ke Maludam dengan menaiki Feri Batang Lupar melalui Sungai Batang Lupar ke Pangkalan Triso.

Seperti kebanyakan penduduk, peserta kembara turut sama menunggu feri dalam tempoh yang agak lama sebelum berjaya menaiki feri pada jam 10.00 pagi.

Cuaca yang baik telah mengiringi perjalanan kami dan rombongan Kembara Batang Lupar KPWKM 2017 selamat sampai ke destinasi seterusnya di Rumah Kifli bin Le di Kampung Maludam.

Pada pagi ini, peserta Kembara Batang Lupar KPWKM 2017 berpeluang menjejak kaki ke Taman Negara Maludam yang sebelum ini jarang dikenali biarpun telah digazetkan sebagai taman negara.

Sebelum menaiki bot, peserta telah diberikan taklimat oleh pegawai Jabatan Taman Negara Maludam berhubung dengan sejarah, keluasan dan perkara yang berkaitan Taman Negara Maludam.

Rombongan Kembara Batang Lupar KPWKM 2017 menyusuri Sungai Maludam bagi menikmati panaroma Taman Negara Maludam

Rombongan kami bertuah kerana menaiki bot yang dikendalikan oleh Kifli bin Le menyusuri Sungai Maludam.

Menurut Kifli seorang bekas kakitangan awam yang berpengalaman membawa bot milik kerajaan selama beberapa tahun, menyusuri Sungai Maludam ini bukanlah seperti yang disangka

“Selain kemahiran, seseorang jurumudi bot perlu mempunyai pengalaman mengenai setiap laluan sungai supaya perjalanan membawa penumpang dan pelancong tidak mengalami masalah.

“Ini kerana setiap laluan sungai ini mempunyai selok belok yang berbeza dan jika tidak boleh menyebabkan bot yang dinaiki tersangkut atau rosak lebih-lebih lagi ketika air surut.

“Biarpun Taman Negara Maludam ini tidak sepopular seperti Taman Negara Bako dan Taman Negara Niah, tetapi masih ramai pelancong khususnya mereka yang dari Jepun, Australia dan Amerika Syarikat yang datang ke sini untuk melihat binatang seperti buaya, orang Belanda (proboscis monkey), rusa, burung dan sebagainya,” katanya yang tidak keberatan menceritakan tentang Taman Negara Maludam ini.

Bagaimanapun, kami sedikit kecewa selepas lawatan kami ke Taman Negara Maludam tidak menemui haiwan orang Belanda mahupun orang utan atau kera seperti yang telah diceritakan pegawai Taman Negara Maludam sebelum ini.

Namun, yang pasti rombongan Kembara Batang Lupar KPWKM 2017 yang kebanyakannya pertama kali menjejak kaki ke Taman Negara Maludam berasa teruja apabila dapat menikmati keindahan alam dengan air sungai yang bersih dan suasananya yang nyaman biarpun disinari matahari.

Sampai di pangkalan utama, kami telah dijamu dengan makanan tempatan Maludam seperti cucur ‘payak’, bubur kacang, pekasam dan kuih tradisional di rumah Kifli bin Le.

Biarpun sedikit lewat dari jadual asal, rombongan telah meneruskan perjalanan ke Rumah Ibu Tunggal Beladin pada sebelah tengahari seperti mana dalam jadual asal.

Perjalanan yang mengambil masa hampir setengah jam itu telah sampai ke destinasi di mana Pengerusi Persatuan Ibu Tunggal Beladin telah menunggu kehadiran rombongan kami.

Sapaan yang mesra serta senyuman yang tidak pernah pudar menyebabkan keletihan yang kami rasai hilang begitu sahaja.

Di rumah Ibu Tunggal Beladin, kami telah disajikan donut ‘lemantak’ yang hanya didapati di kawasan Beladin. Mereka turut menyajikan demonstrasi cara-cara menyediakan kuih ‘lemantak’ yang diperbuat dari tepung sagu.

 

Salah seorang pekerja  menunjukkan cara menggoreng donut lemantak

Selain donut lemantak, kami turut dihidangkan dengan ‘pais udang’ yang diperbuat dari tepung sagu dan udang yang kemudiannya dibakar menggunakan arang.

Pais udang ini merupakan makanan tempatan Melayu di kawasan Beladin ini dan sedap dimakan apabila masih panas.

Kami sempat menemu ramah Pengerusi Persatuan Ibu Tunggal Beladin Puan Suhana Sari, 43 tahun bertanyakan perihal persatuan ini dan hubungannya dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

“Rumah Persatuan Ibu Tunggal Beladin yang ada sekarang ini adalah atas usaha Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat merangkap Ahli Parlimen Batang Lupar Dato’ Sri Rohani Abdul Karim.

“Dengan adanya rumah ini, beberapa ibu tunggal yang merupakan ahli Persatuan Ibu Tunggal Beladin dapat menjayakan aktiviti yang boleh memberikan pendapatan kepada mereka,” ujarnya dengan rasa bangga.

Selepas hampir satu jam berada di rumah Persatuan Ibu Tunggal Beladin, kami telah bergerak ke Masjid Al-Amin bagi menunaikan solat.

Di sebelah masjid, tersedia ratusan sarang madu kelulut yang diusahakan penduduk tempatan yang mendapat bantuan daripada Ahli Parlimen Bagang Lupar Dato Sri Rohani Abdul Karim. 

Selesai solat, kami telah diberikan penerangan berhubung dengan penternakan madu kelulut. Ini termasuklah cara-cara menternak dan pasaran madu kelulut hasil daripada penternakannya di sini.

Menurut pengusahanya, Zashazeren Morsidi berkata perusahaan madu kelulut ini masih baharu bagi kebanyakan orang di kawasan dearah Beladin ini.

“Penduduk di sini masih belum banyak mengetahui cara atau bagaimana menternak madu kelulut di dalam rumahnya.

“Ini disebabkan penternak madu kelulut itu masih baharu dan belum mendapat sambutan yang memberangsangkan disebabkan kekurangan maklumat.

“Jika perusahaan madu kelulut ini diusahakan mengikut syarat yang ditetapkan sudah pasti penternak akan beroleh keuntungan yang berlipat kali ganda dan sekali gus menjana ekonomi setempat,” kata Zashazeren yang baru berkecimpung dalam penternakan madu kelulut ini.

 


Pemilik madu kelulut Zashazeren menunjukkan madu yang terletak di dalam sarang

Kami berpeluang merasai sendiri madu kelulut dengan menghisap madunya terus dari sarang madu kelulut dengan menggunakan straw. Manis dan pekat, itulah yang boleh digambarkan ketika merasai sendiri madu kelulut yang dikatakan berpotensi merawat pelbagai jenis penyakit.

Kesempatan ini, peserta telah diberi potongan harga istimewa membeli madu kelulut yang original terus dari ladang dan ini telah menggamit beberapa rakan peserta untuk membelinya sebagai buah tangan untuk dibawa pulang ke tempat masing-masing.

Peserta kembara hanya berpeluang makan tengah hari pada jam 2.00 petang selepas melihat penternakan madu kelulut.

Selepas makan tengah hari, destinasi seterusnya kami dibawa ke sebuah rumah kedai yang menempatkan Beladin Fashion Centre yang terletak di Pekan Beladin, hanya beberapa minit dari Masjid Al-Amin.

Di situ, rombongan kami telah diterangkan mengenai silibus yang digunakan bagi mengajar pelajar-pelajar dalam kemahiran menjahit dan mencipta pakaian fesyen.

Kelas menjahit ini dikelolakan bagi membantu penduduk tempatan yang berminat mendalami ilmu menjahit dan seterusnya memahirkan diri dalam mengambil upah menjahit pakaian.

 

Salah seorang pesreta rombongan Kembara Batang Lupar KPWKM 2017 sedang menemuramah pelajar

“Kami belajar perkara asas dalam ilmu menjahit dan kini semakin mahir dalam menjahit baju serta mula mengambil upah baju dalam musim perayaan dan buka sekolah.

“Kemahiran ini sangat bermakna bagi kami bagi menambah pendapatan keluarga selain memperbanyakkan tukang jahit yang berkemahiran di daerah Beladin ini.

“Saya selalu mengesyorkan kepada penduduk untuk mendalami ilmu jahitan ini yang mempunyai masa depan yang cerah untuk membantu rakyat terutamanya suri rumah bagi menambah pendapatan bulanan,” kata Azie dengan penuh jujur ketika ditanya soalan mengenai penglibatannya dalam Beladin Fashion Centre.

Kedai Beladin Fashion Centre ini telah dirasmikan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat merangkap Ahli Parlimen Batang Lupar Dato’ Sri Rohani Abdul Karim.

Selepas mengamati kesungguhan tenaga pengajar dan peserta di Beladin Fashion Centre, kami bergerak ke Kampung Kalok, Pusa dengan menyeberangi Sungai Batang Saribas, sekali lagi menaiki feri.

Mengikut jadual, rombongan sepatutnya sampai di Kampung Kalok pada jam 4.30 petang, tetapi sedikit terlajak dan hanya sampai di Dewan Kampung Kalok pada jam 6.30 petang.

Biarpun sampai lewat, tetapi kehadiran kami tetap disambut dengan penuh adat dan mereka mengalu-alukan kedatangan kami dengan hati terbuka.

Majlis yang sepatutnya bermula pada petang terpaksa ditangguhkan pada sebelah malam, selepas Isyak bagi membolehkan penduduk bersiap sedia menerima rombongan kami yang dalam kuantiti yang ramai.

Kehadiran kami ternyata menarik perhatian ramai penduduk kampung hadir di Dewan Kampung Kalok bagi menyaksikan secara dekat penyerahan peserta-peserta Kembara Batang Lupar 2017 kepada keluarga angkat.

Pelbagai persembahan diadakan bagi menyambut kehadiran rombongan Kembara Batang Lupar 2017, tetapi yang paling mencuri tumpuan ialah persembahan tradisional ‘bermukum’ dan bertandak.

 

Dua orang penduduk kampung memukul gendang sebagai persembahan tradisonal masyarakat Melayu Sarawak yang dikenali 'bermukum'

Persembahan ‘bermukum’ dijayakan oleh dua orang lama yang tidak asing lagi dalam memukul gendang dan menggunakan pantun dalam bahasa Melayu Sarawak untuk melontarkan nyanyian.

Dalam jam 10.30 malam, peserta bersama keluarga angkat bergerak ke rumah masing-masing untuk berkenalan lebih lanjut dan tidur.

Hari ketiga, Ahad, seawal pagi peserta-peserta rombongan telah berkumpul di dewan untuk minum pagi bersama dengan keluarga angkat masing-masing.

Perasaan sebak dan air mata mengiringi keluarga angkat dan peserta Kembara Batang Lupar KPWKM 2017 biarpun hanya beberapa jam sahaja bersama.

Pertemuan yang tidak diduga dan perpisahan yang dirancang telah mencetuskan satu fenomena yang sukar dilupakan biarpun keletihan masih lagi dirasai kerana ada yang hanya tidur beberapa jam sahaja akibat bersembang terlalu lama dengan ahli keluarga angkat.

Tepat jam 8.00 pagi, rombongan meneruskan perjalanan ke Kampung Tambak, Pusa bagi melihat perusahaan gula apong yang diusahakan Abang Abdul Manaf bin Abang Mahmud, 38 tahun.

 

Abang Abdul Manaf menujukkan bagaimana memproses gula agong dari air nira

Peserta telah diberi peluang melihat bagaimana proses gula apong dari mula hingga akhir serta bagaimana mendapatkan bahan asas membuat gula apong iaitu air nira terus dari pokok nipah.

Selepas itu, peserta turut juga merasai cara membuat kuih takak atau kuih perahu yang kebiasaannya disajikan dengan makanan kuih tradisional kuih takak dan kuih celorot serta minum air nira yang panas.

Selepas itu, rombongan Kembara Batang Lupar KPWKM 2017 bergerak menuju ke stesen minyak Petronas yang terletak di Layar, Betong bagi mengisi minyak untuk ke destinasi seterusnya Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) di Lingga, Sri Aman.

 

Peserta PAWE Lingga merakam gambar beramai-ramai bersama rombongan Kembara Batang Lupar KPWKM 2017

Di PAWE Lingga, satu majlis telah berlangsung upacara menanam pokok bunga yang disempurnakan oleh Azman bin Yusoff Timbalan Ketua Setiausaha Strategik KPWKM.

Selepas itu, satu taklimat telah diadakan bagi menerangkan fungsi dan peranan PAWE Lingga ini di mana perasmian bangunan PAWE Lingga telah disempurnakan Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat Dato Sri Rohani Abdul Karim merangkap Ahli Parlimen Batang Lupar.

Dalam taklimat itu juga, Zulkifli bin Ismail Timbalan Pengarah Operasi Jabatan Kebajikan Masyarakat menjelaskan PAWE Lingga merupakan salah satu pusat aktiviti yang paling aktif di Malaysia.

“Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) diwujudkan bagi membolehkan warga emas mempunyai tempat beriadah dan mengisi masa lapang selepas bersara dari pekerjaan mahupun tempat untuk pertemuan setempat.

“Suka saya maklumkan di sini bahawa PAWE Lingga merupakan salah satu pusat aktiviti warga emas yang sangat aktif di Malaysia dan ini memberi kelebihan kepada pusat ini untuk terus dinaik taraf dengan pelbagai kemudahan yang diperlukan,” ujarnya yang diselangi tepukan gemuruh daripada peserta-peserta PAWE Lingga dan penduduk tempatan yang hadir.

 

Puan Urie Pipit menunjukkan tikar anyaman yang merupakan salah satu produk yang dihasilkan

Rombongan terus bergerak ke Kampung Sebakak bagi melihat perusahaan anyaman yang diusahakan oleh Ibu Tunggal Puan Urie Pipit.

Di situ, rombongan telah diberikan peluang untuk melihat hasil kerja anyaman yang telah diusahakan penduduk seperti tikar, gelang manik, beg tangan dan sebagainya.

Bagi Puan Urie Pipit, kehadiran peserta Kembara Batang Lupar KPWKM 2017 memberikan semangat kepadanya dalam menghasilkan lebih banyak produk anyaman ini pada masa akan datang kerana apa yang ada pada hari ini adalah juga merupakan hasil inisiatif Ahli Parlimen Batang Lupar Dato’ Sri Rohani Abdul Karim.

“Dato’ Sri Rohani banyak membantu kami di kampung ini dalam meneruskan perusahaan anyaman ini dengan memberikan bantuan dan mencari pasaran dalam memasarkan produk kami.

“Pendapatan kami banyak bergantung kepada penjualan produk anyaman sama ada di Sri Aman atau luar Sri Aman.

“Kami banyak berterima kasih kepada Dato Sri dan keprihatinannya terhadap keperluan sangat kami hargai,” katanya ketika diminta memberikan pendapat berhubung dengan pembukaan perusahaan anyaman ini.

Apabila tiba di Sri Aman, tidak sah jika tidak melawat Kubu Alice tinggalan sejarah daripada pemerintahan Rajah Brooke semasa memerintah Sri Aman.

 


Peserta Kembara Batang Lupar KPWKM 2017 melihat koleksi sejarah di Kubu Alice

Di situ, peserta akan dapat melihat pembangunan yang dinikmati penduduk Sri Aman sejak dari zaman pemerintahan Rajah Brooke hingga ke hari ini. 

Malah, peserta Kembara Batang Lupar KPWKM 2017 khususnya dari Semenanjung Malaysia berpeluang melihat keunikan budaya dan adat resam kaum-kaum yang ada di Sri Aman.

Destinasi terakhir sebelum bergerak ke Kuching, rombongan telah berehat seketika di Kompleks Penyayang Sri Aman bagi mendengar taklimat yang disampaikan oleh Ketua Pengarah KPWKM berhubung dengan fungsi dan peranannya di Sri Aman.

Menurut Ketua Pengarahnya, Dato’ Suriani binti Dato’ Ahmad, Kompleks Penyayang Sri Aman merupakan yang pertama seumpamanya di Malaysia hasil inisiatif Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang prihatin terhadap keperluan dan kepentingan kebajikan masyarakat di Sri Aman dan sekitarnya.

“Keprihatinan menteri terhadap kebajikan masyarakat khususnya penduduk di Sri Aman dan sekitarnya telah mendorong beliau menubuh dan membina kompleks ini. 

“Kompleks ini merupakan yang pertama seumpamanya di Malaysia dan selepas ini kompleks yang sama juga akan dibina di Johor,” katanya.

Sebelum bergerak ke Kuching, rombongan telah disajikan minum petang oleh pengurus Kompleks Penyayang Sri Aman dan kebanyakan peserta mengambil kesempatan ini untuk menyegarkan muka dan berehat seketika selepas memulakan perjalanan sejak awal pagi lagi.

Tepat jam 4.30 petang, rombongan telah bersedia bergerak ke destinasi terakhir di Hotel Pullman bagi acara penutup yang disempurnakan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Dato’ Sri Rohani Abdul Karim.

Perjalanan mengambil masa 4 jam lebih itu diiringi hujan di sepanjang jalan dari Sri Aman ke Kuching sambil diiringi kenderaan polis menyusuri jalan yang kini dalam pembinaan untuk Lebuh Raya Pan Borneo.

Rombongan yang bergerak dalam satu konvoi turut berhenti seketika di Batu 11 Jalan Kuching-Serian bagi memastikan semua peserta berada dalam satu barisan konvoi.

Selepas semuanya selamat, perjalanan diteruskan dan semua peserta Kembara Batang Lupar 2017 selamat sampai di Hotel Pullman tepat jam 9.00 malam.

Pada malam itu, majlis penutupan telah disempurnakan oleh Dato’ Sri Rohani Abdul Karim yang mentakrifkan Kembara Batang Lupar KPWKM 2017 telah berjaya dan mencapai objektif penganjurannya.

96 Normal 0 false false false EN-US X-NONE X-NONE /* Style Definitions */ table.MsoNormalTable {mso-style-name:"Table Normal"; mso-tstyle-rowband-size:0; mso-tstyle-colband-size:0; mso-style-noshow:yes; mso-style-priority:99; mso-style-parent:""; mso-padding-alt:0cm 5.4pt 0cm 5.4pt; mso-para-margin:0cm; mso-para-margin-bottom:.0001pt; mso-pagination:widow-orphan; font-size:12.0pt; font-family:"Calibri",sans-serif; mso-ascii-font-family:Calibri; mso-ascii-theme-font:minor-latin; mso-hansi-font-family:Calibri; mso-hansi-theme-font:minor-latin; mso-ansi-language:EN-US; mso-fareast-language:EN-US;}

Dalam majlis itu juga, Dato’ Sri Rohani Abdul Karim telah menyampaikan cenderamata kepada setiap peserta terlibat dan turut menyampaikan hadiah kepada kumpulan terbaik dalam ‘treasure hunt’ yang diadakan di sepanjang kembara ini.