22
Kha, Feb
740 ARTIKEL BARU

Menyekat Berita Palsu Dianggap Berpolitik?

Rencana
Typography

BAGI mereka yang ‘berserabut’ dengan agenda politik,  apa saja yang terlintas di hadapan mata mahu ditafsir atau dikaitkan dengan politik. Ini lebih-lebih lagi jika dilihat isu yang berbangkit itu tidak menyebelahi mereka.  Lihatlah misalnya, apa reaksi golongan ini ekoran negara sedang membincangkan cadangan menggubal undang-undang baharu bagi membendung penyebaran berita palsu?

Ada pemimpin politik yang kemaruk mahu berkuasa terus menuduh, kerajaan sengaja mengemukakan usul ini kononnya sebagai muslihat untuk menyekat ‘kebebasan bersuara’ bagi memudahkan cara mengekal kuasa. Tuduhan itu dianggap liar oleh sesetengah pihak. Jauh dari menampakkan nilai profesionalisma dalam berpolitik.

Tidakkah wajar jika golongan taksub berpolitik ini berfikir lebih jauh, bahawa gejala penyebaran berita-berita palsu ini turut memberi kesan buruk terhadap aspek-aspek sosial, ekonomi dan keselamatan?

Maklumat adalah suatu sumber ‘perlu’ bagi kehidupan. Banyak urusan kehidupan harian bergantung pada maklumat. Ada kala, maklumat yang berunsur perkembangan semasa boleh memandu masyarakat berwaspada,  bersiap-siaga,  bersedia dengan rapi sambil tahu mengatur langkah susulan dengan bijak dalam sebarang keadaan.

Tidak dinafikan, ada keputusan pilihan raya umum di beberapa negara bertolak dari pengaruh atau sentimen melalui penyebaran berita-berita palsu. Dan harga yang terpaksa dibayar oleh penduduknya hanya beberapa hari kemudiannya adalah huru hara, sengketa, ketegangan malah ada yang terus musnah.

Suasana harmoni masyarakat terjejas apabila terseret dengan gejala penyebaran berita-berita palsu. Kawan boleh menjadi lawan hanya dalam sekelip mata. Satu-satu kelompok bangsa dan anutan agama mungkin bersengketa dan bermusuhan melalui pengaruh sebaran berta-berita palsu yang bersifat mahu ‘melaga-lagakan’ di antara mereka.

Tidak pernah terbetikkah dalam pemikiran orang Melayu dan umat Islam di negara ini bahawa berlakunya ‘pecah-belah’ di antara mereka disebabkan pengaruh berita palsu yang mungkin sengaja direka dan ditiupkan oleh pihak-pihak yang sememangnya mempunyai agenda untuk  merosakkan perhubungan mereka?

Gejala penyebaran berita-berita palsu jika tiada usaha membendungnya, seolah-olah hanya bersedia mengundang kecelaruan dan kekeliruan dalam kehidupan masyarakat. Akan tiba suasana di mana tiada siapa yang boleh lagi mempercayai sesiapa atau mana-mana pihak.

Secara mudah, maklumat-maklumat yang berunsur fitnah, rekaan, manupulasi, putar (spin), khabar angin atau ‘adu-dumba’ berada dalam kategori yang sama. Semuanya boleh dianggap sumber palsu dan pemusnah. Islam melarang keras mereka yang terlibat dalam gejala ini. Malah, mereka ini digelar sebagai golongan fasik dan munafik.

Sudah banyak berlakunya keruntuhan rumah tangga, kehilangan atau terjejas prestasi kerjaya, kerugian dalam perniagaan, terlepas peluang untuk memajukan diri ekoran sebaran berita palsu. Ada kes-kes yang memfitnah barangan halal atau tidak halal, yang kemudiannya membuat peniaga rugi, manakala pengguna terencat keyakinan.

Ada pihak yang memfitnah sehingga menjejas pasaran saham mana-mana syarikat. Dan pernah berlaku tindakan pendeposit mengeluarkan wang simpanan Tabung Haji secara ‘panik’, semata-mata terpengaruh dengan berita palsu kononnya Tabung Haji akan mengalami kerugian.

Lebih dahsyat apabila ada pihak dalam negara cuba menggunakan khidmat pihak ketiga di luar negara menyebarkan pelbagai berita palsu bagi memburuk-burukkan negara sendiri. Kesannya, para pelabur dan pelancong luar kurang berminat untuk berkunjung atau  melabur, dan penghujungnya adalah kerugian terpaksa ditanggung oleh rakyat negara terutama dalam aspek peluang pekerjaan dan penjanaan ekonomi.

Sebenarnya gejala berita palsu ini sudah lama berada dalam kehidupan masyarakat. Masa dahulu dihidupkan melalui sebaran ‘surat-surat layang’, tetapi kini lebih rancak dengan adanya teknologi media sosial. Namun, kemajuan teknologi bukan salah. Yang salah adalah cara teknologi itu digunakan. Seperti mana juga pisau dan lebuh raya. Kehadirannya bukan untuk ‘membunuh’, tetapi jika digunakan dengan baik dan betul, akan mendatangkan banyak manfaat kepada penghidupan.

Jadi, apa untungnya penyebaran berita palsu? Hanya mereka yang mempunyai tujuan tersirat tahu menjawabnya. Masyarakat umum dengan mudah dapat membaca kenapa ada sesetengah pihak beriya-iya menolak cadangan penggubalan undang-undang menyekat berita palsu.

Pada hal isu cadangan menggubal undang-undang ini adalah bertepatan dengan keperluan semasa. Kepentingannya adalah demi kesejahteraan rakyat dan negara, bukan sekadar ‘mainan politik’ mana-mana parti.  Jangan pula ada pihak yang ‘takut pada bayang-bayang sendiri’. Suasana Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) tetap meriah, malah ‘lebih sihat’ dan lebih demokratik jika gejala sebaran berita-berita palsu ini dapat dibendung.

Rakyat pada umumnya telah menampilkan mesej jelas, menyokong sebarang usaha dan cadangan menggubal undang-undang khusus bagi menyekat gejala sebaran berita-berita palsu ini.  Pelbagai segmen masyarakat memberi reaksi positif.

Ertinya, majoriti rakyat Malaysia tetap memilih kebenaran dari kepalsuan!

 

DATUK SAYUTI MUKHTAR ialah Felo Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa), Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia