27
Jum, Apr
960 ARTIKEL BARU

Politik Rakus Dan Oportunis Mahathir

Editorial
Typography

SESIAPAPUN  terutama orang muda yang mengenali Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam dua tahun kebelakangan akan terkejut bahawa beliau tidaklah seperti `Mahathir yang dulu’.

Namun bagi mereka yang kenal lebih mendalam hati dan mainan politik Pengerusi Pakatan Harapan ini khususnya mereka yang kini dalam lingkungan lewat 40-an dan ke atas, gelagat Mahathir hari ini bukanlah sesuatu yang pelik.

Kemahiran politik putar belitnya menakjubkan.

Beliau biasanya apabila dalam keadaan seorang manusia biasa berdepan tekanan atau masalah besar,  Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) ini sebaliknya, dengan mengambil strategi menyerang bagi mengelakkan orang lain mendedahkan salah lakunya. Dan tindak balasnya boleh mencetuskan ‘gelora’.

Contoh paling klasik ialah bagaimana selama kira-kira 20 tahun  Mahathir memusuhi Datuk Seri Anwar Ibrahim sehinggakan kes liwat melibatkan bekas anak emasnya itu dikatakan sebagai `permainan' beliau, tiba-tiba sekelip mata Mahathir boleh membuat pusingan U merapati Anwar.

Ini sehinggakan `matlamatnya' kian tercapai apabila dilantik pula sebagai Pengerusi Pakatan Harapan dan calon sementara `PM ke-7' pakatan itu.

Cuma, persoalannya apakah penyokong PKR akan lupakan apa yang telah dibuat oleh Mahathir terhadap pemimpinnya dulu sehingga membawa kepada gerakan reformasi.

Kita dapat lihat ketika himpunan reformasi di Masjid Negara serta di segenap atas jalan raya, penyokong-penyokong yang membela Anwar kerana teraniaya oleh diktator ini. Saban hari dan minggu di Dataran Merdeka pastinya akan ada demonstrasi haram. Ada yang ditangkap dan bermandi water cannon dan ‘menikmati’ rasa gas pemedih mata.

Ini semua perlu dijelaskan kepada pendukung reformasi. Adakah setelah berbaik dengan Mahathir, cerita dongeng yang Anwar hebahkan kepada mereka bahawa konspirasi menjatuhkan beliau adalah tidak benar? Segala pertuduhan yang disabitkan kepada Anwar ketika itu adalah benar belaka?

Hanya atas dasar ini sahaja, Anwar akan memaafkan Mahathir kerana Mahathirlah yang telah menginsafkan Anwar selayaknya.

Kepada pendukung gerakan reformasi, perjuangan anda sudah dirompak oleh Anwar dan keluarganya. Niat suci murni perjuangan pada ketika itu mahu mengejar keadilan dan mendapat pahala kerana mempertahankan orang yang dianiaya telah ditipu oleh mangsa perjuangan mereka.

Perjuangan reformasi sudah terkubur dan sudah tidak ada lagi yang perlu diperjuangkan. Diktator yang difikirkan berdosa terhadap Anwar selama ini kini bergelar hero kepada Anwar dan keluarganya.

Ingatkah lagi semasa pemerintahan Mahathir, Tunku Abdul Rahman mengkritik banyak tindakannya yang disifatkan sebagai membebankan rakyat. Ketika itu isu-isunya sama sahaja dibangkitkan - negara bakal muflis, kos sara hidup tinggi, rasuah dan kronisme.

Malah lebih teruk pada masa itu, Ketua Hakim Negara dan lima Hakim Mahkamah Persekutuan telah dipecat. Walaupun  Mahathir mendakwa ia bukan keputusan eksekutif, namun akhirnya pada 2008, kerajaan telah membayar ex gratia kepada keenam-enam hakim ini.

Ops Lalang pula bagaimana? Bukankah Lim Kit Siang, sekutu akrab Dr. Mahathir sekarang pernah menjadi tahanan ISA di era beliau?

Antara kata-kata Almarhum Tunku ketika mengulas pemecatan ketua hakim berkenaan:

“There is no law, no justice, no freedom of speech. Anybody who speaks out goes to prison. So he has got all the members of the opposition in prison... This is what worries me and all the responsible citizens of this country, no matter what race they come from. We are all worried.”

Mahathir tidak sepatutnya kecewa apabila ramai pemimpin dan ahli UMNO marah kepadanya kerana bekerjasama dengan Kit Siang, Brown dan George Soros untuk menumbangkan Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Perdana Menteri dan Presiden UMNO.

Ini kerana itulah budaya yang beliau ajar kepada ahli UMNO sejak dahulu supaya mengutamakan parti, negara dan rakyat daripada kepentingan diri.

Lihat bagaimana Tun Abdullah Ahmad Badawi atau mesra dengan panggilan Pak Lah menjadi bahan kritikan Mahathir.

Bagaimanapun Pak Lah jarang bertindak balas secara terbuka. Begitupun beliau pernah beberapa kali mengeluh dalam Kabinet. Punca kemarahan Mahathir timbul daripada keputusan dibuat Pak Lah untuk tidak meneruskan projek-projek utama yang telah diputuskan semasa pentadbiran beliau. Pembatalan Jambatan Johor-Woodland, atau lebih dikenali sebagai Jambatan Bengkok dan projek-projek jalan raya berkembar KL-Utara, disifatkan sebagai ‘melanggar perjanjian’ utama oleh Pak Lah yang menyakiti perasaan bekas Perdana Menteri itu.

Pada 1993, Ghafar Baba ditumbangkannya melalui politik proksi. Penyokongnya mendakwa Mahathir  lah yang ‘merestui’ sepenuhnya tindakan  Datuk Seri Anwar Ibrahim mencabar Ghafar dalam  perebutan jawatan nombor dua itu.

Peristiwa itu menyaksikan Ghafar ‘dibelasah’ oleh UMNO sehinggakan pencalonannya tidak mencukupi dan terpaksa menarik diri. Jasa seorang ketua yang berkhidmat setia untuk UMNO dilupakan begitu sahaja. Sedikit penghormatan dengan memberi pencalonan kepada beliau pun UMNO tidak sanggup.

Ghafar berundur daripada jawatan Timbalan Presiden UMNO dan Timbalan Perdana Menteri apabila kedudukannya sebagai Timbalan Presiden UMNO dicabar oleh Anwar. Tujuannya bagi mengelak perpecahan dalam parti dan mempertahankan kestabilan negara. Surat peletakan jawatan ditulis pada kertas ­Penerbangan Malaysia di bilik VIP Lapangan Terbang Antarabangsa Subang untuk berlepas ke Korea Selatan bagi tugas rasmi.

Dalam satu lagi berita bergambar semasa itu, ramai menaruh simpati dan sedih melihat foto Ghafar sedang menjinjing sebuah beg plastik dalam perjalanan hendak ke Indonesia. Ia sehari selepas beliau ditumbangkan sebagai orang nombor dua dalam kerajaan dan parti.

Jadi, mengenali Mahathir, kita akan maklum bagaimana politik rakus dan oportunisnya.