27
Jum, Apr
960 ARTIKEL BARU

Pilihan Raya Dikendalikan Sendiri Oleh Rakyat Dan Pengundi

Editorial
Typography

SEDAR atau tidak bahawa urusan pilihan raya di Malaysia bukanlah dilaksanakan secara bersendirian oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tetapi ia dikendalikan secara bersama antara SPR, rakyat Malaysia khususnya para pengundi dan juga semua calon atau parti-parti politik.

Untuk pengetahuan umum, jumlah kakitangan SPR hanyalah sekitar 700 orang sahaja yang kebanyakkannya akan bertugas di Pejabat-Pejabat Pilihan Raya Ibu Pejabat atau Negeri bagi menguruskan hal-hal berkaitan pentadbiran dan operasi.

Manakala seramai 250 ribu orang petugas sementara yang dilantik adalah terdiri daripada orang awam ataupun rakyat Malaysia yang diberi kepercayaan untuk mengendalikan Pilihan Raya Umum Ke-14.

Disamping itu urusan penjalanan PRU-14 juga akan turut dibantu oleh lebih 200 ribu orang petugas daripada parti-parti politik yang bertanding dalam pilihan raya itu.

Peranan kakitangan tetap SPR lebih menjurus kepada mengurus hal-hal pentadbiran dan operasi secara keseluruhan selain memberi panduan kepada Pegawai Pengurus.

Manakala anggota petugas sementara Pilihan Raya Umum yang dilantik pula berperanan sebagai pelaksana dalam semua urusan penjalanan pilihan raya khususnya dalam urusan pengundian dan pengiraan undi.

Selain daripada itu petugas-petugas parti-parti politik juga berperanan sebagai pemerhati atau pemantau penjalanan urusan Pilihan Raya Umum seperti bertindak sebagai pemerhati di barong-barong semakan, pemerhati di tempat mengundi semasa proses pengundian, pemerhati proses pengiraan di tempat pengiraan undi, pemerhati semasa proses pengeluaran kertas undi pos, pemerhati proses pembukaan sampul undi pos dan sebagainya.

Bagi menjalankan Pilihan Raya Umum Ke-14, SPR akan melantik Pegawai-Pegawai Pengurus dan Penolong-Penolong Pegawai Pengurus bagi mengendalikan pilihan raya berkenaan.

Manakala Pegawai Pengurus pula akan bertanggungjawab untuk melantik petugas-petugas lain bagi membantu mereka dalam mengendalikan pilihan raya itu seperti Penyelia Pusat Mengundi, Ketua Tempat Mengundi, Kerani Pengundian, Kerani Mengira Undi, Pembantu Arah Pusat Mengundi, Kerani Pengundian dan Pengeluaran Undi Pos, Kerani Pembukaan dan Pengiraan Undi Pos,Kerani Semakan Daftar Pemilih, pekerja am, pemandu dan sebagainya.

Kebanyakkan petugas sementara yang dilantik bagi mengendalikan pilihan raya itu adalah terdiri daripada penjawat awam, guru sekolah, pekerja swasta, masyarakat setempat, orang perseorangan dan sebagainya yang mempunyai pengalaman dan latar belakang politik yang pelbagai.

Namun semasa menjalankan tanggungjawab itu mereka mesti bersikap bebas dan berkecuali walaupun mereka menyokong calon atau parti politik tertentu.

Oleh yang demikian tuduhan bahawa SPR melakukan penipuan semasa pilihan raya adalah tidak wajar dan merupakan satu penghinaan kepada petugas-petugas pilihan raya yang terdiri daripada rakyat dan pengundi serta petugas parti-parti politik itu sendiri.

Jika mana-mana pihak menuduh SPR melakukan penipuan semasa pilihan raya bermakna mereka juga menuduh rakyat Malaysia dan petugas-petugas parti politik itu sendiri kerana mereka itulah yang berada di barisan hadapan semasa pilihan raya umum khususnya dalam proses pengundian dan pengiraan undi.

 

SAYUTI MUKHTAR