22
Isn, Okt
36 ARTIKEL BARU

Pembangkang Retak : Tolak Logo PKR & PAN Boikot Calon PKR

Editorial
Typography

Belum sempat hari penamaan calon pada 28 April ini, pakatan pembangkang telah bertambah retak dan bertelingkah sesama mereka.

Pertama, Khalid Samad mendedahkan pertelingkahan pembahagian kerusi Pakatan Harapan di Selangor. Beliau berkata 2 perkara yang menyebabkan tertangguhnya keputusan agihan kerusi di Selangor.

“Kerusi ini sangkut (tertangguh) atas dua sebab. Nombor satu (kerusi) jamin menang, nombor dua jamin kalah. Yang jamin menang semua nak, yang jamin kalah semua tak nak.

“Sebab itu dia sangkut, jadi nak beri pun orang tolak dan mana yang nak ambil, semua orang tarik,”  katanya.

Kita menjangka rundingan pembahagian kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Selangor tidak akan selesai sehingga di hari penamaan calon kelak. Malah, berkemungkinan besar akan berlaku tidak puas hati hingga menyebabkan berlakunya sabotaj dan demonstrasi di kalangan pembangkang.

Kedua, konflik sesama pembangkang sudah berlaku di DUN Paya Jaras. Dilaporkan bahawa Yang Di Pertua PAN Sungai Buloh, Dr. Ustaz Mohd Habib Al Intani memberitahu, pihaknya telah bermesyuarat dan mengambil keputusan untuk mengadakan himpunan 'Tolak Calon Lompat PKR. Paya Jaras Milik Kami' Sabtu ini.

“Himpunan ini adalah bertujuan memberikan tekanan dan amaran kepada PKR agar kembali berpegang kepada perjanjian agihan kerusi yang asal serta tidak cuba sailang kerusi mana-mana parti komponen PH yang lain.

“Saya juga dengan ini mengarahkan 327,227 ahli akar umbi parti supaya turun beramai-ramai mempertahankan hak parti kita yang cuba diambil oleh parti yang tamak haloba walaupun tak cukup jentera.

“Akhir sekali, suka saya mengingatkan bahawa kami ahli akar umbi di kawasan ini akan melakukan #undirosak jika PKR terus berdegil meletakkan Khairuddin sebagai calon di sini,” katanya.

Ketiga, kerjasama di antara parti-parti pembangkang yang kononnya akan hanya menggunakan satu logo PKR juga hanya sekadar propaganda untuk menipu rakyat. Mereka mendabik dada kononnya pakatan pembangkang ‘berjaya’ bersatu. Tetapi parti DAP Sarawak telah membuka pekung pakatan pembangkang apabila DAP Sarawak akan menggunakan logo DAP bukannya PKR.

Perbezaan tentang satu perkara yang fundamental ini jelas menunjukkan pembangkang bukan satu pakatan politik yang boleh dipercayai.

Kita tidak lupa dengan Pilihanraya Negeri Sarawak 2016 yang membuktikan betapa teruknya kerjasama di antara DAP dan PKR sehinggakan mereka bertembung di 6 kerusi DUN.

DAP juga malu besar apabila kalah di kerusi yang dimenangi pada PRN-10 yang lepas. Kerusi-kerusi itu ialah DUN Batu Kawah, Meradong, Repok dan Dudong dan Piasau. Malah, Presiden SUPP Datuk Dr Sim Kui Hian telah berjaya merampas kerusi DUN Batu Kawah daripada parti DAP.

Kita menjangka akan ada lagi perbalahan di antara parti-parti pembangkang. Mereka akan cuba untuk menutup pekung tersebut dengan menuding jari kepada pihak lawan serta menabur pelbagai fitnah menjelang PRU 14 ini seperti yang mereka lakukan sebelum ini.

Fasa 1 untuk memburuk-burukkan Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia dan proses pilihanraya telah dilaksanakan oleh kepimpinan pembangkang sejak 2 bulan yang lepas.

Fasa 2 ialah beberapa media asing yang dibayar pembangkang juga telah menjalankan propaganda mereka.  Begitu juga dengan NGO-NGO asing yang turut menyibuk mengkritik sistem pilihanraya.

Di antaranya ialah NGO asing Progressive Alliance (PA) yang telah mengecam negara kononnya wujud "ketidaksamaan sosial, politik dan ekonomi". PA juga menggesa kerajaan membenarkan pemerhati dari luar negara untuk memantau Pilihan Raya Umum ke 14 nanti.

 Yang gagal dilaporkan atau sengaja disembunyikan oleh portal-portal pembangkang ialah:

1. Salah satu daripada parti politik yang terlibat dengan PA adalah parti DAP.

2. Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng merupakan salah seorang ahli lembaga Progressive Alliance.

Fasa 3, pembangkang sudah mua kerap menabur fitnah di media sosial. Mereka menggunakan akaun-akaun palsu dan apps yang menjadi tumpuan mereka ialah Facebook, Twitter, Whatsapp dan Blog.

Berkemungkinan besar pembangkang masih menggunakan fitnah pengundi-pengundi warga asing dengan menyebarkan video-video blackops untuk memburuk-burukkan parti Barisan Nasional. Mereka akan menyamar sebagai ahli BN dan sebagainya. Pembangkang telah melakukannya sebelum ini.

Beberapa lagi fasa dan propaganda yang bakal digunapakai oleh pembangkang menjelang hari penamaan calon dan tempoh berkempen. Kita boleh baca dan dapat input daripada pihak dalaman pakatan pembangkang. Jika manifesto PH pun boleh terbocor, apa lagi perkara-perkara lain di dalam pembangkang.

 

 

Sumber

http://klxpress.com.my/bahasa-melayu/21-politik/31804-pru14-pan-pkr-mula-berebut-kerusi.html

https://www.malaysiakini.com/news/419504