23
Isn, Apr
913 ARTIKEL BARU

Tsunami Melayu Hanya ‘Angan-Angan’ Pembangkang

Editorial
Typography

FAKTOR undi Melayu nampaknya memainkan peranan penting bagi pihak yang ingin memenangi Pilihanraya Umum ke-14 (PRU14) tidak lama lagi. Undi daripada kaum tersebut bakal menjadi penentu kepada siapa yang akan menerajui tampuk pentadbiran negara. 

Perkara tersebut disedari oleh Pakatan Harapan (PH). Mengharapkan mereka masih menerima sokongan kuat daripada pengundi-pengundi Cina, justeru pimpinan PH kini dilihat sedang berusaha untuk meraih sokongan daripada para pengundi Melayu pula bagi memastikan cita-cita mereka untuk merampas Putrajaya daripada Barisan Nasional (BN) menjadi realiti.

Maka dengan itu bermulalah propaganda mereka menjaja cerita kononnya pada PRU14 nanti ‘tsunami Melayu’ akan berlaku. Dakwa mereka, sokongan para pengundi Melayu ketika ini adalah menjurus kepada mereka. Memang tinggi ‘confident level’ puak pembangkang ini.

Namun begitu penulis sedikit keliru dengan dakwaan puak-puak ini. Masakan tidak, di sebalik keyakinan mereka terhadap sokongan orang Melayu itu, jika kita amati tawaran-tawaran atau janji-janji pilihanraya yang dibuat mereka, tidak ada satu pun agenda mereka untuk memperjuangkan kaum Melayu.

Justeru, bagaimana puak yang menjunjung ‘Malaysian Malaysia’ ini boleh dengan confident mendakwa bakal berlaku tsunami Melayu, sedangkan mereka tidak memperjuangkan Melayu. Dalam manifesto mereka pun tiada tawaran untuk orang Melayu. Takkan orang Melayu tergerak nak sokong kalau tiada tawaran untuk orang Melayu dan Islam.

Ini jelas berbeza dengan BN. Tanpa meminggirkan kepentingan kaum-kaum lain di negara ini di dalam manifestonya, agenda Islam dan Melayu juga turut diberikan fokus yang tertentu.  

Sebenarnya tsunami Melayu ini hanyalah propaganda puak pembangkang ini untuk mengelirukan pengundi-pengundi Cina. Hakikatnya mereka kini sudah sedikit-sebanyak kehilangan kepercayaan daripada masyarakat Cina. Untuk itu mereka mula mereka-reka cerita kononnya pada PRU14 nanti puak mereka akan menerima sokongan kuat daripada pengundi Melayu dengan harapan ia bakal mempengaruhi pengundi Cina supaya kekal menyokong mereka.

Penulis percaya tsunami Melayu yang diangan-angankan oleh puak pembangkang ini hanya akan kekal sebagai angan-angan mereka yang tidak kesampaian. Sebaliknya pada PRU14 nanti puak pembangkang ini yang akan dilanda ‘tsunami Malaysia’ apabila majoriti rakyat Malaysia menolak untuk mengundi mereka kerana sudah muak dengan helah, tipu-daya serta pembohongan yang sememangnya sudah sebati dengan mereka.