24
Ahd, Sep
701 ARTIKEL BARU

MYTV Wujudkan 200 Saluran TV, RTM Bakal Ada 7 Saluran

Teknologi
Typography
IMG-20140604-WA0075KUALA LUMPUR - Malaysia bakal mempunyai perkhidmatan penyiaran Televisyen Digital Terestrial (DTT) menjelang 2016 sekali gus menjadi negara Asean yang menerajui bidang itu, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek. Beliau berkata saluran TV percuma dikenali sebagai MYTV merupakan sebahagian daripada agenda transformasi kerajaan bagi keperluan sistem penyiaran pendigitalan. "Kalau apa yang kita rancangkan ini menjadi kenyataan, Malaysia adalah antara negara ASEAN yang ke depan sekali dalam bidang ini. DTT yang berasas kepada teknologi baharu bukan sahaja merangkumi liputan menyeluruh tetapi juga dapat meningkatkan kualiti industri kandungan dengan lebih maju," katanya pada majlis pelancaran MYTV di Pusat Konvensyen Sime Darby Bukit Kiara Rabu malam. Hadir sama Pengarah Puncak Semangat Sdn Bhd, Datuk Hilmi Mohd Noor iaitu syarikat yang dipertanggunjawab melaksanakan projek DTT, Pengarah Projek Nik Abdul Aziz Nik Yaacob dan Ketua Pegawai Pembangunan Industri Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia, Datuk Mohd Ali Hanafiah Mohd Yunus. DTT bakal dilaksana melalui empat fasa bermula dengan Kelantan, Terengganu dan Pahang pada Januari 2015, fasa 2 merangkumi Sabah dan Sarawak; fasa 3 bermula di Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor manakala fasa terakhir meliputi Selangor, Lembah Klang, Putrajaya serta semua kawasan bandar. Sektor DTT yang dinamik juga dilihat mampu memperkukuh kemampuan Malaysia dalam mempertingkat daya inovasi, reka bentuk, hasil cipta dan pasaran produk baharu untuk menyumbang ke arah pertumbuhan ekonomi negara. Ahmad Shabery berkata projek DTT akan dimulakan di kawasan pedalaman kerana selain semangat menyediakan kemudahan terkini kepada rakyat bawahan, modul itu juga lebih mudah memandangkan cabaran teknikal untuk bertukar daripada sistem analog kepada digital adalah besar. "Kami berharap untuk memiliki 100 hingga 200 saluran dalam pasaran dan boleh membangunkan lebih banyak saluran pada masa akan datang," katanya. Merujuk United Kingdom yang mengambil masa 12 tahun untuk memiliki saluran penyiaran digital sendiri, beliau optimis projek DTT negara dapat disiapkan dalam tempoh dua tahun seperti dirancang dengan memperlihatkan pengalaman Malaysia yang pernah melalui proses itu. Sementara itu, Hilmi berkata projek DTT adalah permulaan kepada era industri penyiaran tanah air yang akan memberi tumpuan kepada tiga aspek kumpulan utama iaitu stesen penyiaran, penerbit rancangan dan penonton. "Gerak kerja kami merangkumi semua peringkat akar umbi untuk memastikan setiap rumah di negara ini dapat menikmati DTT serta faedahnya menjelang pertengahan tahun 2016," katanya. -BERNAMA