20
Rab, Sep
664 ARTIKEL BARU

Parlimen Belia Kurang Sambutan Dalam Kalangan Bukan Melayu

Akhbar Cina
Typography

Sebanyak 433 calon akan merebut 120 kerusi dalam Parlimen Belia mulai 22 Oktober hingga 31 Oktober ini.

China Press melaporkan penyertaan bukan bumiputera termasuk kaum Cina dalam Parlimen Belia sama ada sebagai calon atau pengundi berdaftar adalah tidak menggalakkan.

Mengikut statistik setakat tahun lalu, sebanyak 200,000 orang telah mendaftar sebagai pengundi Parlimen Belia tetapi jumlah pemuda keturunan bukan Melayu adalah tidak sampai 10 peratus.

Daripada 433 calon yang ada, hanya 40 orang pemuda keturunan Cina dicalonkan untuk bertanding.

Walaupun bermodelkan Parlimen sebenar, tetapi sistem pemilihannya adalah berbeza kerana pendaftaran pengundi, pencalonan Ahli Parlimen, kempen dan pengundian adalah diadakan melalui Internet.

Parlimen Belia dijadualkan mula bersidang di Dewan Rakyat pada Januari tahun depan.

Walaupun tidak mempunyai kuasa dalam menentukan dasar negara, tetapi wakil belia berkenaan akan menyampaikan suara hati orang muda ketika membahaskan rang undang-undang.

Isu yang dibangkitkan belia juga dapat dibawa ke Parlimen atau Kabinet melalui Menteri Belia dan Sukan.

Sementara itu, salah seorang calon daripada Young Malaysians Movement, Li Han Wei memberitahu, pertubuhannya mencalonkan 16 orang untuk bertanding di lapan negeri.

Han Wei berkata, sambutan orang muda Cina yang kurang memberangsangkan dikhuatiri menyebabkan komposisi Parlimen Belia berpihak kepada satu kaum.

Keadaan itu seterusnya akan menyebabkan Parlimen Belia tidak dapat mewakili keadaan sebenar Malaysia.

"Sebanyak 90 peratus calon adalah pemuda Melayu. Jika ia dibezakan mengikut kaum, maka peluang kemenangan pemuda Cina dan India adalah kecil," katanya.

-Malaysia Gazette