14
Kha, Dis
882 ARTIKEL BARU

#PAU2017 : Perhimpunan Harus Ada `Magik' Menang 2/3 PRU-14

Editorial
Typography

PERHIMPUNAN Agung UMNO 2017 kali ini perlu mempunyai magik. 

Sekiranya jurucakap negeri masih dengan cara lama, memuji terlampau, cuit mencuit pada personaliti, meluahkan idea yang sudah tidak mengikut arus atau bercakap untuk syok sendiri, ‘mengembang’kan pe­ngerusi perhubungan negeri masing-masing, melambung menteri-menteri dan membodek ahli-ahli Majlis Tertinggi (MT), maka perhimpunan kali ini tidak akan ke mana.

Ahli UMNO sendiri tidak mahu melihat jurucakap yang mahu ‘cari makan’. Mereka mahu melihat dan mendengar idea dan pandangan luar biasa bagi mempersiap-siagakan parti menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Persoalannya, mahu memuaskan hati orang dalam Dewan Merdeka atau rakyat di luar sana. Tempoh empat atau lima bulan mendatang ini suatu tempoh yang singkat menjelang PRU-14.

Rakyat menanti apa tindakan dan janji yang akan UMNO lakukan pada agama Islam, umat Melayu serta bumiputera. Dalam masa yang sama boleh menjamin kebaikan pada semua bangsa dalam negara ini.

Usul ke arah kembali memperkasakan parti menawan hati rakyat. Dan seterusnya memperkukuhkan keyakinan rakyat bahawa parti-parti pembangkang jauh lebih teruk jika diberi peluang untuk memerintah seperti mana berlaku di Pulau Pinang dan Selangor waktu ini.

Cabaran hari ini cukup getir. Kalau diperhati dan diteliti, tindak tanduk pembangkang pun kita sudah cukup cuak. Ibarat lidah tidak bertulang, segala yang dibuat kerajaan BN yang diketuai UMNO semuanya tidak betul.

Walaupun pertumbuhan ekonomi negara mencatat peningkatan, yang diadu-domba oleh `pihak di sana' hanyalah `negara ini sedang menuju kebankrapan'.

Manusia yang mendapat pengajaran betul serta benar daripada peristiwa sejarah, boleh mengelak daripada melakukan kesilapan dan tindakan yang akan membawa kepada kejatuhan sesebuah negara mahupun tamadun.

Jatuhnya empayar Melaka kira-kira 500 tahun lalu bukan kerana Melayu kurang hulubalang atau kependekarannya.

Rebahnya kota Melaka bukan kerana kemiskinan atau kefakiran. Tetapi tersungkur menyembah bumi kerana terlerainya perpaduan dan berlakunya pengkhianatan.

Begitu juga nasib tamadun-tamadun besar di dunia yang hancur, mereput dan runtuh. China, terhina akibat siri perang candu, Empayar Rom, dirobek perpecahan dari dalam dan Khilafah Othmanniyah, punah dek kerana kehalusan strategi pecah-belah dan perintah.

Bertitik-tolak dari situ, perwakilan UMNO yang akan berhimpun di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) minggu depan harus menjadikan kisah-kisah ini sebagai teladan dan sempadan. Jangan sekali-kali kita terperangkap olehnya.

Kata George Santayana, seorang pemikir tersohor:

“Mereka yang ingkar daripada memahami dan tidak belajar daripada sejarah akan dihukum dengan mengulangi kesalahan dan kesilapan yang sama.”