24
Jum, Nov
946 ARTIKEL BARU

Wujud Daerah Baharu Samalaju – Majang Renggi

Uncategorised
Typography

KUCHING – Kerajaan Negeri Sarawak bakal membangunkan Samalaju sebagai pusat industri maju yang merupakan salah satu daripada komponen terpenting dalam Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE).

Justeru itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Samalaju Majang Renggi berharap agar diwujudkan daerah baharu Samalaju bagi memastikan sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

“Dengan adanya daerah baharu itu nanti ianya juga dilihat dapat memudahkan proses urbanisasi sesuai dengan status Samalaju sebagai Pusat Perindustrian,” katanya pada petang tadi pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ketika turut serta dalam perbahasan atas Bacaan Kali Kedua Rang Undang-Undang Perbekalan (2018) 2017 dan Usul merujuk Resolusi Anggaran Pembangunan bagi Perbelanjaan 2018 oleh Ketua Menteri Sarawak dan Menteri Kewangan pada 8 November 2017 yang lepas.

Mengikut rekod, sehingga kini Samalaju telah menerima pelaburan mencecah lebih dari RM30 bilion membabitkan industri pembuatan dan kejuruteraan berat, seterusnya membolehkan ia menjadi sebuah bandar baharu bertaraf moden dengan kemajuan dan pertambahan penduduk yang dijangka akan menjangkau lebih dari 30 ribu orang menjelang tahun 2020 nanti.

Dalam perbahasan tersebut juga, Majang turut mengesyorkan agar diwujudkan Pelan Pengurusan Buangan Terjadual terutamanya di Taman Perindustrian Samalaju (TPS).

Pelan pengurusan buangan terjadual berkenaan amat perlu dilaksanakan memandangkan kawasan tersebut menempatkan beberapa kilang industri berat yang melibatkan penghasilan dan penggunaan bahan seperti aluminium, silicon polihabluran, silicon logam, ferro-alloy dan juga industri lain.

 

“Dengan kemasukan lebih banyak pelabur yang memilih TPS sebagai tapak operasi utama mereka, cadangan membina sebuah loji Pulih Guna Buang Terjadual amat perlu di mana ianya merupakan alternatif jangka masa panjang dalam menangani masalah sisa daripada aktiviti perindustrian yang bakal bertambah di kawasan ini di masa depan,” ujarnya lagi. 

 

Daftar melalui perkhidmatan langganan e-mel percuma kami untuk menerima pemberitahuan apabila maklumat baru diperolehi.