12
Sel, Dis
906 ARTIKEL BARU

Rakyat Sarawak Harapkan 'Apai Besar' Bawa Transformasi Sarawak

Kolumnis 1
Typography

Dalam ucapannya di Saratok ketika menghadiri Program Sejiwa Senada minggu lalu, Tan Sri Adenan Satem memuji Datuk Seri Najib Razak yang disifatkannya amat prihatin dengan rakyat Sarawak apabila mencipta rekod sebagai Perdana Menteri paling kerap melawat dan membantu membangunkan negeri ini.

"Dalam kalangan Perdana Menteri, Najib paling kerap melawat dan paling prihatin terhadap keperluan rakyat negeri ini, terutama dalam konteks pembangunan," kata Ketua Menteri. Najib adalah Perdana Menteri yang paling kerap ke Sarawak dan menjelajahi hampir segenap pelosok Sarawak.

"Dari Kuching hinggalah ke Lubok Antu, Saratok, Sibu hinggalah ke Hulu Baram dan banyak lagi kawasan (pedalaman) sudah dilawati beliau. Najib ialah Perdana Menteri paling kerap melawat Sarawak...meninjau kehidupan rakyat," ujar Adenan.

Tujuannya, untuk merasai gerak nadi dan denyut rasa 2.7 juta rakyat Sarawak.

Lebih mudahlah bagi Perdana Menteri untuk memahami masalah dan aspirasi mereka.

Beliau tidak sekadar membaca laporan di kamarnya di Putrajaya atau mendapat taklimat daripada pegawai kanan berkaitan masalah luar bandar Sarawak.

Memang, kawasan luar bandar masih perlu banyak tumpuan dari segi kemudahan air, elektrik, internet, prasarana, kemiskinan, ekonomi, peluang pekerjaan, serta kualiti hidup.

Rapat jurang pembangunan bukan kerana pilihan raya negeri yang bakal menjelang, tetapi atas komitmen dan keikhlasannya ingin melihat Sarawak dapat berdiri sama tinggi dengan negeri maju yang lain di Malaysia.

Sudah pasti, untuk minggu-minggu yang akan datang beliau akan lebih kerap ke negeri ini.

Iltizam politiknya adalah untuk memastikan jurang pembangunan, pertumbuhan ekonomi, kualiti hidup dan sebagainya dirapatkan.

Beliau menyedari hakikat, sebarang 'dwistandard' dari segi layanan dan perbezaan yang ketara dari segi pembangunan antara negeri, hanya mengundang padah pada jangka panjang. Beliau tidak boleh mengabaikan keperluan dan kebajikan penduduk luar bandar.

Bagaimana beliau mendapat tenaga dan kekuatan, tanpa mengenali erti letih dan penat, memang menakjubkan.

Kadang kala sebaik kembali dari luar negara, selepas penerbangan berbelas-belas jam, beliau sudah menjejakkan kaki di Bumi Kenyalang. Hampir seluruh pelosok Sarawak beliau lawati, sekali gus mencerminkan komitmennya untuk membawa Sarawak ke dalam arus perdana pembangunan.

Rakyat di luar bandar tidak boleh dibiarkan, apatah lagi dua per tiga daripada kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) terletak di luar bandar dan pedalaman Sarawak. Golongan inilah yang memberi kemenangan kepada kerajaan.

Langkah yang diambil Najib serasi dengan tumpuan Adenan yang memberikan perhatian kepada pembangunan di luar bandar.

Dengan RM1 bilion disalurkan ke luar bandar dan pedalaman Sarawak oleh kerajaan negeri dan dengan 11 kerusi baharu yang diwujudkan berikutan proses persempadanan semula kawasan pilihan raya oleh Suruhanjaya Pilihan Raya, semua itu bakal mengubah wajah kawasan terbabit.

Rakyat diutama Kerusi-kerusi DUN itu bakal memberi ruang dan suara kepada etnik minoriti melalui kerusi Mulu.

Dengan itu, DUN Sarawak akan menjadi lebih representatif.

Pada satu majlis, Adenan turut mohon bantuan daripada Najib, yang digelarnya 'Apai Besai' atau 'Ayah Besar' bagi penduduk Sarawak atas keupayaan Perdana Menteri selesaikan pelbagai macam masalah rakyat.

Kepada 'Apai Besar' rakyat Sarawak bergantung harap.

Perdana Menteri komited untuk merealisasikan impian rakyat pelbagai etnik di negara ini, termasuk etnik minoriti yang sebahagiannya masih berada di pinggiran.

Seperti kata Adenan, Perdana Menteri bukan sekadar omong kosong.

Najib membuktikannya dengan memberikan Sarawak Lebuh Raya Pan Borneo yang kini dalam pembinaan.

Sesuatu yang tidak pun dipedulikan oleh perdana menteri sebelum beliau.

Sejak pembentukan Malaysia 53 lalu, inilah projek ikon terbesar dan termahal, melebihi RM25 bilion yang bakal beri kesan limpahan yang ketara terhadap sosioekonomi Sarawak.

Beliau melantik tujuh orang menteri dari Sarawak dalam Kabinet Persekutuan, selepas kemenangan besar parti komponen BN negeri pada 2013.

Pemimpin politik berkenaan, jumlah terbesar dalam sejarah, pasti dapat melantunkan Sarawak ke papan atas dari segi pembangunan, membantu Perdana Menteri dan Ketua Menteri, dengan lebih berkesan lagi dalam merealisasikan hasrat mereka mentransformasikan Sarawak.

Adenan turut menyifatkan Najib sebagai seorang pemimpin yang memiliki hati yang amat besar dan komited untuk membawa pembangunan ke Sarawak.

Beliau akui bahawa proses rundingan dengan Kerajaan Persekutuan berkaitan hak dan autonomi sesuai dengan Perjanjian Malaysia dan Suruhanjaya Cobbold, berjalan lancar kerana beliau punya hubungan baik dengan Perdana Menteri.

"Hubungan dengan Perdana Menteri begitu mesra. Saya mengenalinya sejak beliau berumur 20 tahun. Senang berunding dengan Perdana Menteri. Jika ada perkara yang hendak diselesaikan, angkat telefon saja, selesai. Hubungan yang baik penting untuk selesaikan masalah," jelas Adenan dalam wawancara dengan TV1, sempena ulang tahun kedua menjadi Ketua Menteri kelima Sarawak, baru-baru ini.

Mungkin kerana keikhlasan dan komitmen yang diperlihatkan itu, Perdana Menteri mendapat sokongan lebih 60 peratus penduduk Sarawak, mengikut kajian Majlis Profesor Negara Oktober lalu. -Berita Harian-

Penulis ialah Profesor Madya dan penganalisis politik di Universiti Malaysia Sarawak