20
Jum, Okt
761 ARTIKEL BARU

GETS Beri Sinar Harapan Baru Kepada Graduan Lepasan Di Sarawak

Kolumnis 1
Typography

Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr.) Adenan Satem memberi sinar baru kepada graduan lepasan yang masih menganggur dan belum mendapat pekerjaan di Sarawak dyngan memperkenalkan program Latihan Pengukuhan Graduan Sarawak atau Graduate Enhancement Training Sarawak (GETS).

Penubuhan GETS ini bertujuan membantu graduan menganggur di negeri ini mendapat pekerjaan menerusi latihan.

“GETS merupakan program pengukuhan kebolehpasaran yang ditawarkan kerajaan negeri dengan kerjasama rakan daripada industri, di mana graduan akan ditempatkan sebagai pelatih GETS bersama syarikat terbabit untuk tempoh 12 bulan.

“Syarikat akan melantik mentor yang dedikasi dan memberi tugasan serta tanggungjawab sewajarnya untuk membantu pelatih GETS mendapatkan kemahiran berkaitan industri yang penting bagi mengukuhkan kebolehpasaran mereka,” ujar Adenan semasa merasmikan Pameran Kerjaya dan Latihan Sarawak (SCaT) 2016 sekali gus melancarkan GETS di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK).

Sepanjang menjalani latihan 12 bulan, pelatih GETS akan disediakan dengan kursus dalam bahasa Inggeris, kemahiran insaniah dan kemahiran keterampilan diri.

Semasa latihan juga kerajaan akan memberi elaun latihan kepada pelatih GETS iaitu RM1,000 bagi pemegang Ijazah Sarjana Muda dan RM800 bagi pemegang Diploma.

“Pengenalan GETS adalah untuk membolehkan graduan memperolehi pengalaman kerja berharga melalui latihan kerja sebagai pelatih untuk maksimum tempoh satu tahun di sebuah syarikat perniagaan atau perindustrian dan mereka akan menghadiri kursus khas berstruktur.

Graduan lepasan ijazah dan diploma yang sedang mencari pekerjaan boleh terus menghubungi Unit Pembangunan Tenaga Kerja di Pejabat Ketua Menteri untuk mendaftarkan diri sebagai pelatih GETS.

“Saya berterima kasih kepada syarikat Rakan GETS dan berharap lebih banyak lagi yang akan menyertai kemudian. Dengan bekerjasama seperti ini, kita boleh mengurangkan pengangguran dan meningkatkan pertumbuhan ekonomi negeri untuk manfaat kepada rakyat,” kata Adenan lagi.

 

Kerajaan negeri sentiasa mengambil berat tentang pengangguran terutama di kalangan graduan dalam menikmati alam pekerjaan selepas tamat pengajian.