27
Sel, Jun
634 ARTIKEL BARU

PRN Sarawak Ke-11 Medan Gilap Pemimpin Pelapis Sarawak

Kolumnis 1
Typography

SETIAP kali berucap pada majlis rasmi, Tan Sri Adenan Satem pasti menyatakan beliau memerlukan mandat lima tahun sahaja lagi sebagai Ketua Menteri Sarawak.

Bagi Adenan, tempoh lima tahun itu lebih daripada cukup untuk memastikan kelangsungan agenda pembangunan negeri yang tentunya membawa kemakmuran berpanjangan kepada rakyat.

Mungkin juga disebabkan faktor usia dan keadaan kesihatan yang 'memaksa' beliau yang lebih mesra dipanggil 'Tok Nan' untuk tidak kekal lama di jawatan berkenaan, seterusnya memberi banyak masa serta ruang untuk dihabiskan bersama isteri, anak dan cucu kesayangannya.

Setiap kali Tok Nan menyatakan demikian, soalan sering berlegar ialah siapa bakal mengisi 'kasut besar' beliau dan keupayaan pengganti itu melaksanakan pelbagai inisiatif, termasuk '50 Prinsip & Tindakan' diperkenalkannya sejak dua tahun yang berjaya memenangi hati 'Anak Sarawak'.

Malah, '50 Prinsip & Tindakan' itu turut menimbulkan 'perasaan cemburu' dalam kalangan rakyat negeri lain, khususnya di Semenanjung yang sememangnya mengharapkan mereka juga memiliki pemimpin berjiwa rakyat seperti Tok Nan.

Justeru, Pilihan Raya Negeri Ke-11 (PRN-11) yang semakin hampir bukan sekadar pilihan raya biasa, sebaliknya sebagai medan menentukan calon pengganti Tok Nan sebagai Ketua Menteri dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sarawak, yang mampu memastikan kesinambungan pelbagai usaha dilaksanakan beliau untuk negeri ini dan rakyatnya.

Ini diakui Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Datuk Dr Sim Kui Hian yang menganggap PRN-11 lebih daripada sekadar memastikan kemenangan besar BN, selain misi menawan kembali beberapa kerusi yang sebelum ini kecundang kepada pembangkang.

"PRN-11 bukan sekadar kita mahu menang besar, sebaliknya melebihi jangkauan itu kerana ia menentukan siapa bakal memimpin negeri pada masa depan yang mampu meneruskan kesinambungan 'faktor Adenan," katanya.

Kenyataan Kui Hian ketika kunjungan ke rumah terbukanya sempena Tahun Baharu Cina baru-baru ini ternyata banyak kebenarannya.

"Adenan sudah menyatakan beliau perlu lima tahun sahaja (mandat). Soalnya sekarang, siapa penggantinya. Justeru, PRN-11 pasti menampakkan siapa calon bersesuaian," katanya.

Semakin hampir ke kemuncaknya, semakin jelas pilihan raya negeri kali ini bukan sekadar untuk memberi mandat lima tahun kepada Adenan, sebaliknya percaturan perlahan untuk menentukan siapa penggantinya bagi tempoh lima tahun itu atau kurang, jika kemungkinan proses peralihan kuasa dilakukan lebih awal.

Isnin lalu, Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Alfred Jabu Numpang mengumumkan persaraannya selepas 42 tahun bergelumang dalam politik dan bakal digantikan anak lelakinya, Gerald Rentap Jabu, yang disahkan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Layar disandangnya sejak empat dekad lalu.

Ia sememangnya sudah dijangka, begitu juga 'kepulangan' Menteri Perusahaan Peladangan dan Komoditi, Datuk Seri Douglas Uggah Embas bertanding di DUN Bukit Saban menggantikan penyandang kerusi itu, Robert Lawson Chuat, yang direhatkan sementara sebelum beralih ke kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) nanti.

Khabarnya, Uggah kembali bukan dengan 'tangan kosong', sebaliknya beliau dikatakan bakal dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri II bagi mengisi kekosongan ditinggalkan Jabu yang juga mentornya.

Ada juga desas-desus mengenai kewujudan jawatan Timbalan Ketua Menteri I selepas PRN-11 yang dikatakan bakal diisi Menteri Perumahan dan Pelancongan Sarawak, Datuk Amar Abang Johari Abang Openg.

Jawatan Timbalan Ketua Menteri I dan II ini sememangnya penting kerana bertindak sebagai 'orang kanan' Adenan menerajui pentadbiran Sarawak, sesuai dengan kedudukannya sebagai negeri terbesar di Malaysia, ditambah lagi dengan penurunan lebih banyak kuasa pentadbiran (empowerment) kepada kerajaan negeri oleh Kerajaan Pusat.

Proses perubahan dan pembentukan pemimpin masa depan negeri ini sudah mula menampakkan jalurnya, malah pemimpin pelapis juga diberi peluang untuk menyerlahkan keupayaan dan potensi masing-masing.

Kemasukan hampir 35 peratus muka baharu dalam senarai calon 'Pasukan Adenan' di 82 kerusi bakal ditandingi BN Sarawak kali ini juga dilihat sebagai usaha membentuk generasi pemimpin pelapisan, selain 'meremajakan' kepemimpinan negeri.

Sesiapa sahaja dalam senarai calon kali ini, juga dalam senarai Kabinet Sarawak yang bakal dibentuk adalah calon berpotensi pengganti Tok Nan.

Siapa calon pengganti itu?

Mungkin bayangannya akan muncul dalam tempoh kurang enam bulan dari sekarang.

Tok Nan seorang yang bijak dan cukup memahami percaturan politik. Tentunya, beliau tidak akan menunggu saat-saat akhir memilih penggantinya. -Berita Harian-