20
Jum, Okt
761 ARTIKEL BARU

Strategi Diplomasi Ala Roosevelt Tok Nan Diakui Berjaya

Kolumnis 1
Typography

SEJAK hari pertama mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sarawak yang kelima pada Februari 2014, Tan Sri Adenan Satem yang turut dikenali sebagai 'Tok Nan' berhasil melaksanakan pelbagai lonjakan pembaharuan dalam pentadbiran dan pengurusan negeri Sarawak.

Sama ada dalam sektor ekonomi, politik, mahupun sosial, prestasi Tok Nan bahkan diakui sendiri oleh Pengarah Pilihan Raya PAS, Datuk Mustafa Ali menerusi hasil tinjauan rambang menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-11.

Baru-baru ini ada sebuah dimensi strategik di mana Tok Nan kurang mendapat ulasan sedangkan beliau menunjukkan keupayaan yang bukan calang-calang - iaitu dalam aspek diplomasi.

Sebagai ahli politik yang tidak pernah tewas pada semua kerusi negeri mahupun Parlimen yang ditandinginya sejak 1979, Tok Nan pastinya berpengalaman dan arif dalam seni berkait kekuasaan.

Tidak hairanlah apabila Majlis Angkatan Tentera turut menganugerahkan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) itu dengan pangkat Brigadier Jeneral Kehormat Askar Wataniah pada Februari lalu.

Hal yang menjadi fokus adalah langkah beliau sejurus selepas majlis pemakaian pangkat terbabit apabila beliau memanjangkan jemputan kepada Duta Besar China ke Malaysia, Dr Huang Huikang melalui Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Langkah Tok Nan ini dikira unik kerana beliau boleh menjemput duta terbabit atas kapasiti Ketua Menteri mahupun menerusi Wisma Putra.


Umum mengetahui China adalah sebuah kuasa besar yang terbabit dalam tuntutan bertindih wilayah di Laut China Selatan, termasuk dengan Malaysia. Dalam konteks Sarawak pula, Tok Nan yang menerima pendidikan undang-undang dari Australia pastinya mengetahui bahawa sejak 2013 lagi pihak Pengawal Pantai China sudah berkali-kali dikesan memasuki perairan berhampiran Beting Patinggi Ali terletak di Utara Sarawak.

Hal ini disensasikan lagi melalui pendedahan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim pada November 2015 di mana beliau yang bertanggungjawab ke atas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) sudah kerap kali mengirimkan bantahan diplomatik kepada Beijing susulan kehadiran kapal milik negara terbabit di perairan negara.

Dr Huikang pula bukan asing dalam kontroversi hubungan dua hala Malaysia-China.

Duta Besar China ke Malaysia itu pernah mengeluarkan kenyataan yang nyaris dianggap sebagai mencampuri urusan hal ehwal dalaman negara pada September 2015 di Jalan Petaling, namun beliau menegaskan kenyataannya itu dipetik di luar konteks.

Malah, Hishammuddin turut mengarahkan agar timbalannya, Datuk Mohd Johari Baharum dan Panglima Tentera Laut, Laksamana Datuk Seri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin untuk turut menyertai pertemuan dengan Tok Nan itu.

Pertemuan Tok Nan dengan Dr Huikang berlangsung pada 10 Mac lalu bertempat di pejabat beliau.

Apa yang mengejutkan, pertemuan terbabit tidak meletus menjadi medan pertelingkahan mengenai wilayah Laut China Selatan, sebaliknya, ia berakhir dengan Duta Besar China mengumumkan lima bidang kerjasama dua hala Kerajaan China dengan kerajaan Sarawak iaitu dalam sektor pertanian, infrastruktur, pendidikan, pembangunan kapasiti, serta usaha sama dan persahabatan.

Perancangan awal kerjasama itu turut diperincikan dengan Dr Huikang mengutarakan kemungkinan pembinaan taman herba China secara bersama antara wilayah Yunnan di China dengan Sarawak khusus bagi sektor pertanian.

Gagasan 'One Belt, One Road' (OBOR) yang dibangunkan China pada peringkat antarabangsa turut diselitkan Dr Huikang dengan janji menggalakkan pelaburan dari China untuk memesatkan pembangunan infrastruktur di Sarawak.

Dalam sektor pendidikan pula, Dr Huikang memberi jaminan Kementerian Pendidikan China akan mempertimbangkan untuk mengiktiraf universiti tempatan di Sarawak serta pendidikan aliran Cina.

Dalam aspek kerjasama dan persahabatan, hubungan sedia ada antara Sarawak dengan wilayah Fujian dan Yunnan sebagai bandar berkembar turut dipuji oleh Duta China itu. Pada pertemuan terbabit, beliau turut mengakui kedaulatan wilayah Beting Patinggi Ali milik Malaysia.

Pendekatan Tok Nan ini dikenali sebagai 'ala Roosevelt' bersempena persamaannya dengan prinsip Presiden Amerika Syarikat Theodore Roosevelt, iaitu 'bercakap secara santun, sedang pada masa sama membawa kayu besar' (speak softly, and carry a big stick).

Hal ini terzahir menerusi hakikat bahawa jemputan Tok Nan dipanjangkan kepada Duta China itu menerusi Menteri Pertahanan, bukannya melalui saluran biasa.

Ternyata, strategi diplomasi ala Roosevelt yang diaplikasikan Tok Nan terhadap China ini menjanjikan pulangan yang cukup lumayan buat pembangunan jangka panjang negeri Sarawak. -Berita Harian-