17
Kha, Ogs
856 ARTIKEL BARU

Adenan Bertegas Henti Keluarkan Lesen Balak, Buka Ladang Sawit Komersial Untuk Pelihara Hutan

Kolumnis 1
Typography

Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Adenan Satem menegaskan langkah menghentikan pengeluaran lesen konsesi balak dan pembukaan ladang kelapa sawit komersial yang baharu di Sarawak bertujuan memelihara hutan di negeri ini daripada kemusnahan dan mengekang kegiatan pembalakan haram dan menjaga kepentingan rakyat negeri ini.

“Saya telah buat keputusan jangan ada konsesi balak lagi, jangan beri lesen hutan lagi, cukup sudah. Habis hutan kita diambil orang. Saya mahu memelihara hutan kita sebaik mungkin.

“Kita mesti pertahan (hutan), jangan biar orang curi kayu balak kita, ia adalah kekayaan Sarawak. Sebelum ini ada pencuri melakukan penebangan haram, mereka jadikan hutan Sarawak macam nenek mereka punya. Tebang kiri, tebang kanan, curi kiri, curi kanan. Tidak ada lagi penebangan haram,” tegas beliau.

Adenan bagaimanapun menjelaskan pengeluaran lesen bagi pembukaan ladang sawit diusahakan Felda, Felcra, Salcra dan syarikat ladang rakyat melibatkan Tanah Adat Peribumi (NCR) masih boleh dipertimbangkan.

Menurut Adenan, dalam tempoh setahun ini pihak berkuasa mengadakan lebih 200 serbuan ke atas kem pembalakan haram, menangkap mereka yang terlibat dan merampas kayu yang telah ditebang secara haram.

Hasil serbuan itu memperlihatkan pengurangan kegiatan pembalakan haram, katanya.

Adenan, berkata usaha untuk membanteras aktiviti pembalakan haram di negeri masih lagi diteruskan dan dipergiatkan dari semasa ke semasa di mana pemantauan dari udara turut dilakukan dengan menggunakan helikopter.

Mengenai pembukaan ladang sawit, langkah menghentikan pengeluaran lesen bagi ladang sawit komersial baharu di negeri ini berikutan terlalu banyak pertikaian melibatkan tanah antara penduduk kampung setempat dengan pihak syarikat.

 

Menurutnya berpuluh-puluh kes sedang dalam perbicaraan di mahkamah dan mengambil masa lama untuk selesai dan sudah tentu menjejaskan penduduk berkenaan.