17
Kha, Ogs
857 ARTIKEL BARU

Sarawak Negeri Contoh Amalkan Perpaduan Kaum, Hidup Harmoni

Kolumnis 1
Typography

Sejak sekian lama, rakyat Sarawak telah hidup dalam perpaduan dengan kepelbagaian kaum dan suku kaum, agama dan budaya.

Perpaduan ini dicapai menerusi keharmonian sosial di mana setiap kaum dan suku kaum berhak mengamalkan kepercayaan dan kebudayaan masing-masing serta menghormati antara satu sama lain tanpa syak wasangka.

Atas kepercayaan ini, Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak mengangkat Sarawak sebagai model keharmonian sosial negara atas kejayaannya mewujudkan suasana aman damai dalam kalangan penduduk pelbagai kumpulan etnik dan subetnik yang paling banyak berbanding negeri-negeri lain di Malaysia.

Keharmonian inilah yang seterusnya membawa kepada pencapaian ekonomi yang berterusan, sekali gus membawa kepada penyaluran lebih banyak projek pembangunan, terutama di kawasan luar bandar di negeri ini.

Mengambil kira itu, Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Adenan Satem menolak sekeras-kerasnya kemasukan anasir-anasir melampau yang boleh menjejaskan perpaduan kaum di Sarawak.

Pemahsyuran Kuching sebagai ‘Bandaraya Perpaduan’ pada 1 Ogos 2015 telah menjadikan Kuching sebagai bandar raya pertama di Malaysia dan juga di dunia yang menerima gelaran tersebut.

Menurut Pengerusi Pemegang Amanah Yayasan 1Malaysia, Dr Chandra Muzaffar, kelayakan Kuching adalah berdasarkan suasana interaksi kaum yang positif yang menjadi amalan negeri itu seperti perkahwinan campur serta kepekaan penghuninya terhadap budaya etnik masing-masing.

Penggunaan bahasa Sarawak sebagai bahasa pertuturan utama di negeri itu turut menyumbang kepada perpaduan rakyat.

 

Katanya berdasarkan kepada persekitaran di Sarawak, ia jelas menjadi bukti bahawa kerajaan Barisan Nasional (BN) mampu membawa kejayaan cemerlang, menerusi keharmonian dan kestabilan yang dikecapi bersama.