17
Sel, Okt
781 ARTIKEL BARU

Wujudnya Bahagian, Daerah dan Daerah Kecil Baru Di Sarawak Bertujuan Lancarkan Pentadbiran Kerajaan

Kolumnis 1
Typography

Mewujudkan Serian sebagai Bahagian Ke-12 di Sarawak, mewujudkan 9 buah Daerah baharu merangkumi Tebedu, Subis, Beluru, Sebauh, Tanjung Manis, Kabong, Pusa, Telang Usan dan Bukit Mabong (Tunoh) dan 4 Daerah Kecil baharu antaranya Bario, Lapok, Mulu dan Long Bedian bertujuan memastikan sistem penyampaian kerajaan berkesan kepada rakyat.

“Perubahan dalam sempadan pentadbiran dengan mewujudkan bahagian baru, daerah dan daerah kecil ini adalah untuk memenuhi jangkaan peningkatan rakyat bagi memastikan sistem penyampaian dan perkhidmatan serta pelaksanaan program dan projek berjalan lebih lancar,” kata Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr.) Adenan Satem.

Pengiktirafan Serian sebagai bahagian baharu di Sarawak adalah bagi menghargai masyarakat Bidayuh yang menjadi penduduk majoriti kawasan berkenaan yang telah menyumbang kepada pembangunan negeri dan negara ini.

“Jika kita ada bahagian Samarahan bagi Melayu, Betong (Iban), Mukah (Melanau), Sarikei dan Sibu (Cina) serta Limbang (Orang Ulu), maka Serian adalah bahagian yang majoriti Bidayuh,” katanya.

“Hari ini, 11 April 2015 merupakan hari bersejarah bagi Serian kerana dengan ini saya mengisyitiharkan daerah Serian, Tebedu dan daerah kecil Siburan sebagai bahagian.

Sebelum ini, Serian merupakan salah sebuah daerah dalam pentad­biran bahagian Samarahan sejak 1987.

Serian dahulunya dikenali sebagai daerah kecil Hulu Sadong adalah di bawah bidang kuasa bahagian pertama iaitu Kuching.

Serian berkeluasan 1,762.4 kilometer persegi merangkumi daerah kecil Tebedu yang merupakan pintu masuk bagi sempadan Kalimantan Barat, Indonesia dan mempunyai penduduk seramai 92,200 orang yang majoritinya Bidayuh, diikuti Iban, Melayu, Cina dan lain-lain.

Mengulas lanjut, Adenan berkata, masyarakat Bidayuh layak untuk mendapat pengiktirafan itu memandangkan mereka juga merupakan penyumbang kepada pembangunan negeri dan negara.

“Komuniti Bidayuh harus bangga dengan apa dimiliki sama ada budaya, bangsa dan tradisi yang perlu dikekal serta dipelihara.

 

“Kita mahu kaum ini terus bangga dengan kejayaan mereka, di samping kekal memelihara tradisi dan budaya,” ujarnya.